LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Friday, June 29, 2012

Kuih Cucur Badak.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.



Selamat petang:) makan kuih apa hari ini? soalan bila tiada idea nak tulis  hehe.Cucur Badak adalah kuih kegemaran diri sendiri....Lima biji sekali makan je terutama sekali bila intinya pedas.Lagi pedas lagi sedap.

Memang unik nama  kuih muih orang melayu :)..Contohnya...Cucur Badak,Badak Berendam,Kuih Anak Dara Dua Sebilik,Kuih Ketayap,Kuih Tahi Itik,Kuih Belebab,Kuih Seri Muka dan banyak lagi .......Ada sesiapa yang boleh beritahu nama kuih yang paling ganas?hehe..Kuih Lompat Tikam:)...


Bahan-bahannya:

500 gm keledek.
1-1 1 /2 cawan tepung gandum.
2 tbsp tepung kanji.

Cara-caranya.

Keledek di kupas kulitnya dan di rebus dengan sedikit garam hingga empuk.
Kemudian lenyek hingga hancur.
Masukkan tepung kanji dan gaul hingga sebati.
Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit sehingga dapat dibentukkan bulat-bulat
Leperkan doh dan masukkan inti kelapa,
Tutup kemas-kemas agar tidak terkeluar semasa menggorengnya nanti.
Goreng dengan minyak yang banyak dengan menggunakan api yang sederhana agar kuih masak dengan cantik dan sekata.



Untuk resepi Intinya sila KESINI.

Thursday, June 28, 2012

Apple Almond Puff Pie

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Selamat petang semua..dan selamat berbuka puasa pada mereka yang berpuasa sunat Khamis di bulan Syaaban yang penuh keberkatan ini.Semoga ibadah puasa kita di terima olehNya.Insyallah.

Lama betul Cm tak buat Puff sendiri.Selalunya beli kulit puff Kawan tetapi kali ini terajin sikit...sikit je rajinnya hehe. Dulu pertama kali belajar membuat kulit puff ni ,boleh dikatakan setiap hari Cm buat sampai semua orang kat rumah ni dah jemu....Semalam bila lihat Inahar masak Puff terus Cm ambil resepi intinya.Terima kasih Inahar.
Kulitnya.

Bahan-bahannya:

400 gm tepung gandum.
2 biji telur.
125 gm air.
1/2 tsp serbuk cream of tartar.
1/2 tsp baking powder.
1 tsp garam.
80 gm butter.
225 gm marjerin pastry.

Cara-caranya:

Satukan semua bahan-bahan diatas kecuali marjerin pastry ke dalam mangkuk.Uli hingga sebati.Kemudian gelek doh agar terbentuk empat segi bujur.Aturkan marjerin pastry yang di potong dalam bentuk  kiub kecil di bahagian tengah  doh.Lipatkan bahagian hujung ke dalam seperti gambar rajah dibawah.lakukan proses yang sama di hujung yang satu lagi.



Kemudian gelekkan agar terbentuk empat segi bujur sekali lagi.Lakukan proses yang sama 4 kali.Kemudian potongkan mengikut saiz yang dikehendaki.Gelekkan nipis baru di letakkan inti.Tekan tepi doh dengan hujung garfu.Sapukan dengan kuning telur .bakar hingga masak  atau hingga warna perang keemasan.


Inti.

Bahan-bahannya:

2 biji epal hijau-potong kiub kecil.
1/2 cawan kismis.
2 tbsp butter.
4 tbsp serbuk badam.
Sedikit garam.
3 tbsp gula perang.
1 tsp serbuk kayu manis.
1/2 tsp serbuk kayu manis.

Cara-caranya:

Panaskan butter dalam kuali.Masukkan potongan buah  epal.Gaul rata.Kemudian masukkan semua bahan-bahan selebihnya.Masak sehingga inti agak pekat.Siap untuk di gunakan.

Wednesday, June 27, 2012

Nasi Goreng Butter...Tukang Masak Kenit.


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.

Hari ini Tukang Masak Kenit telah ambil alih tugasan memasak di dapur Cm.Satu-satunya nasi Goreng yang beliau mahir adalah nasi Goreng Butter.Katanya butter mesti yang berkualiti.hehe.Bahan-bahan yang mesti ada adalah sosej.Tanpa sosej nasi goreng ni di kira gagal.Resepi asal Tukang Masak Kenit Perolehi dari  A kawan satu kelasnya di sekolah.Dia sungguh kagum dengan kawannya itu.Pada adik-adik yang ingin mencuba Makcik ucapkan selamat mencuba tetapi dengan pengawasan ibu ya:)








Tuesday, June 26, 2012

Serunding Kelapa

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Selamat tengahari dan selamat menjamu selera ya...Cm dah siap makan dan dah siap kemas dapur.Siap solat  baru rasa lega...tanggung jawab sebagai seorang muslim wajib di dahulukan.Bagi anak-anak di luar sana jangan abaikan solat lima waktu ya..solat tiang agama..jika tiang kuat maka keseluruhan binaan akan kuat insyallah......

Hari ini  Cm makan nasi Ambeng.Satu menu baru bagi kami sekeluarga.Angah cakap dia tak pernah makan dan begitu juga dengan suami Cm..tapi tak apa.Selera kami anak beranak flexible... boleh cuba.kali pertama agak pelik tetapi kali kedua tentu dapat menerimanya.Cm pulak tolak batu dengan kayu je hehe.

Bahan utama nasi Ambeng adalah Serunding Kelapa.Jika tak ada serunding kelapa maka tak lengkap lah umpama nasi kerabu tanpa budu........Jom kita lihat bahan-bahannya.


Bahana-bahannya:

1 biji kelapa-ambil yang putinya saja.
Sedikit serbuk kunyit.
4 ulas bawang merah.
2 ulas bawang putih.
1 hirisan lengkuas.
1 tsp jintan manis.
1 tsp jintan putih.
1 tsp biji ketumbar.
5 biji cili kering-rebus.
2 batang serai.
2 helai daun limau purut.
1 keping asam gelugur.
Garam dan gula secukup rasa.




Cara-caranya:


  1. Gaul kelapa dengan serbuk kunyit dan goreng tanpa minyak sekejap.
  2. Jintan manis,jintan putih,ketumbar,serai,lengkuas,bawang merah,bawamg putih dan cili kering dikisar halus.
  3. Panaskan minyak dan tumis hingga wangi.Masukkan kelapa parut,garam,gula,asam keping dan daun limau purut.
  4. Perlahankan api dan masak perlahan-lahan  hingga agak kering.
  5. Siap:)

Monday, June 25, 2012

Nasi Goreng Belacan.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Jom makan nasi goreng...sebenarnya si adik yang minta nasi goreng.Masih panas lagi ni.Nasi goreng yang ringkas tapi boleh tahan rasanya.Kata si Adik dia nak makan nasi goreng pedas....Jadi Cm tunaikan permintaannya.

Bahan-bahannya:

2 cawan nasi sejuk.
3 ulas bawang putih.
3 ulas bawang merah.
4 biji cili api.
Sedikit belacan.
1 biji telur.
Garam secukup rasa.
Gula secukup rasa.
Sedikit kicap manis.
Sedikit sos tiram.

Cara-caranya:


  • Masukkan bawang putih,bawang merah,cili api dan belacan ke dalam Chopper.Cincang halus semuanya.
  • Kemudian panaskan sedikit minyak masak dan tumis bahan-bahan tadi hingga wangi.
  • Masukkan garam,gula,sos tiram dan kicap manis.
  • Gaul hingga rata.
  • Masukkan nasi sejuk.Kacau sehingga rata.
  • Akhir sekali masukkan telur.Kacau hingga sebati.
  • Siap:)
Kepada anak-anak di luar sana yang ingin mencuba memasak sendiri boleh lah guna resepi ini tetapi kena minta izin dari emak dulu ya.sebenarnya Si Adik yang berumur 13 tahun  telah pandai memasak nasi goreng butter sendiri tetapi dengan pengawasan rapi " ketua" tukang masak.insyallah nanti Cm letakkan resepi dari Tukang Masak Kenit:)

Sambal Ikan Kembung Cili Padi.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Selamat berpuasa buat kawan-kawan yang berpuasa sunat hari ini.Dugaan agak besar jika berpuasa dalam cuaca yang panas terik begini.Kuatkan semangat hanya tinggal beberapa jam lagi untuk berbuka.Insyallah....Nikmat bagi orang yang berpuasa adalah apabila tiba waktu berbuka.....

Satu lagi menu yang sungguh simple dari dapur Cm tetapi jangan pandang sebelah mata ya...simple tapi siapa yang pernah rasa sambal ikan Cili Padi ni tentu tahu penangannya hehe.terima kasih pada kawan Cm Kak Yah.Dia ni orang Minang.Jika makan masakannya pasti terangkat:)

Bahan-bahannya:

3 ekor ikan kembung.
1/2 cawan cili api.
2 labu bawang besar,
2 ulas bawang putih.
1 keping asam gelugur.
Sedikit belacan.
Garam secukup rasa.
Gula merah secukup rasa.
Minyak untuk menggoreng.
Sedikit serbuk kunyit.

Cara-caranya:


  1. Ikan kembung disiang dan di bersihkan.Kelar rapat-rapat dan diperap dengan garam serta serbuk kunyit.
  2. Bawang besar,bawang putih,belacan  dan cili api di kisar kering.
  3. Panaskan minyak dan goreng ikan hingga garing.Ketepikan,.
  4. Ambil sedikit minyak lebihan goreng ikan tadi dan tumis bahan-bahan kisar hingga wangi.
  5. Masukkan gula garam dan asam keping.kacau hingga rata.Masak hingga sambal agak garing.
  6. Masukkan ikan dan gaul perlahan-lahan agar sambal lekat sekata pada badan ikan,
  7. Siap untuk dimakan dengan nasi putih.





Sunday, June 24, 2012

Cucur Udang Dengan Karot.



Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Bagaimana nak paksa anak kecil makan sayur?Susah sebab jika lagi dipaksa lagi dorang tak mahu.Setiap kali Cm masak cucur ,Cm pastikan ada sayur yang Cm "curi" letak di dalamnya.Si adik akan makan tanpa di kutip buang sayurnya.atau mungkin tanpa disedarinya..tak perasan sebab cucur Mama terlalu sedap hikhik:)

Bahan-bahannya:

500 gm tepung gandum.
2 biji telur.
1 tangkai daun bawang.-potong halus.
1 batang karot.-cincang halus.
15 ekor udang-buang kulit dan cincang.
Garam secukup rasa,
2 tsp lada sulah.
2 biji cili masak.
1 labu bawang besar.-cincang halus.
Air secukupnya.

Cara-caranya:

Satukan semua bahan-bahan diatas.Masukkan air secukupnya.Cm agak-agak je masa masukkan air.Pastikan adunannya tidak terlalu pekat atau tidak terlalu cair agar senang kita jemput menggunaka hujung jari untuk dimasukkan ke dalam minyak panas.Jika nak gunakan sudu pun boleh.Lagi senang.


Goreng hingga perang dan sedap dimakan ketika masih panas dengan cili sos atau mayonis.

Saturday, June 23, 2012

Kek Kelasi Mabuk..Tak Berapa Nak Mabuk:)





Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Bila sebut nama kek ini  suami Cm tergelak besar dengan di ajukan macam -macam soalan.Kenapa Kelasi Mabuk?Siapa kasi nama tu?Kenapa tak letak Kek Drunken Master?hehe tiada jawapan.Umpama siapa letak nama Kuih Tahi itik?:)

Sudah lama nak buat kek ni tetapi bila lihat resepinya ada 14 biji telur,Cm tangguh dulu sebab telur selalu tak cukup.Hari ini Cm beli dua "sakok' telur jadi boleh lah mencubanya.

Terima kasih Madiha,Along Roz dan Ha Sue kerana depalah yang membuatkan Cm mencuba kek ni.Cm buat Pandan paste sendiri.cuba cara Sonia.Thanks Sonia.Banyak mana pun  guna paste Homemade tak terasa bersalah. Tiada apa apa yang perlu di "was-was'kan..semuanya hanyalah jus dari daun pandan...Cm tambah dengan pewarna hijau apple untuk memekatkan lagi kalernya.



Hari raya tahun ini pastinya Cm akan bikin Kek kelasi mabuk ni hehe.Cm suka sebab rasa kek ini tak berapa manis.elok sangat lah sebab nak compensate dengan kandungan telur yang begitu banyak.pesanan dari Cm..jangan makan banyak..makan sikit-sikit:)agar tak muak.Pesanan penaja.

Bahan-bahannya:

450 gm butter.Guna yang berkualiti ya:)
14 biji telur .Asingkan 8 biji putihnya.
150 gm tepung gandum.
200 gm horlicks.
150 gm gula halus.
Sedikit esen vanilla.
2 tsp Pewarna hijau epal.
1/4 cawan Homemade Pandan Paste.

Cara-caranya:

Pukul telur dan gula hingga kembang.Kemudian masukkan butter dan pukul lagi hingga putih& gebu.Masukkan horlicks,tepung,vanilla,pewarna hijau dan pandan paste.Pukul hingga sebati.bahagikan kepada dua bahagian.

Lapisan Kek Putih.

8 biji putih telur.
10 tbsp gula halus.
3 tsp tepung gandum.
6 biji limau kasturi.

Cara-caranya:

Pukul putih telur hingga kembang.Kemudian masukkan gula dan pukul lagi hingga kental.Bila terbalikkan mangkuk,telur tak tumpah.Masukkan tepung dan teruskan pukul hingga sebati .Masukkan jus limau kasturi dan di pukul hingga rata.
Cara-cara mengukusnya:

Kukus sebahagian dari adunan hijau selama 1/2 jam.Kemudian Tuangkan adunan putih keatasnya.Kukus lagi selama 1/2 jam.Akhirnya tuangkan baki adunan warna hijau ke atas adunan putih dan kukus selam 40 minit.

*Apabila lapis hijau pertama di kukus dan hampir masak barulah Cm bancuh adunan putih agar adunan putih tak mendap atau bantat jika lama sangat terdedah  sementara menunggu adunan hijau masak.Jika ini berlaku lapisan putih jadi keras dan tak cantik:)

Friday, June 22, 2012

Isi Ayam Goreng Dengan Nenas.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Ayam lagi?Tak apa. tak .apa...memandangkan penduduk agak padat dan semuanya peminat ayam..maka no ha la....hari-hari ayam pun tak mengapa.tetapi buat Big Boss Cm masak asam pedas ikan patin yang tak berapa nak pedas hehe.Suami Cm lebih suka ikan dari ayam.

Kebetulan ada lagi baki buah nenas yang puan Neo bawa tempohari jadi hari ini Cm ubah suai dengan memasukkan nenas ke dalam ayam goreng.Tak mengecewakan.Sedap dan kena dengan selera Cm dan anak anak. Sepatutnya masuk cili api biar ada kick sikit tetapi semua orang tak boleh makan pedas jadi Cm tak bubuh cili.Rasa agak 'Tumpul" tanpa cili:)

Bahan-bahannya:

3 keping dada ayam dipotong kiub.
2 tbsp tepung jagung.
2 tbsp tepung gandum.
1/2 tsp serbuk lada hitam.
1 biji perahan jus oren.
1 tsp parutan kulit oren.
Garam secukup rasa.
Gula perang secukupnya.
1 tangkai daun bawang.
4 tbsp sos cili Thai.
2 biji cili merah-potong kecil memanjang.
1 cawan nenas di potong kiub.
Minyak  untuk menggoreng ayam secukupnya.

Bahan-bahan untuk Tumis:

1 labu bawang besar.
3 ulas bawang putih.
2 cm halia.
Cara-caranya:



  1. Ayam di perap bersama jus oren,parutan kulit oren,garam,serbuk lada hitam,tepung jagung,tepung gandum,
  2. Panaskan minyak dan deep fry ayam hingga garing.Ketepikan.
  3. Blend bawang merah,bawang putih dan halia hingga hancur.
  4. Guna sedikit lebihan minyak goreng ayam.Tumis bahan-bahan yang di blend hingga naik baunya.
  5. Masukkan garam,gula merah dan sos cili Thai.kacau rata.
  6. Kemudian masukkan ayam goreng dan gaul hingga sebati.
  7. Masukkan kiub nenas,cili potong dan potongan daun bawang serta sedikit air.Masak biar kuah agak kering.
  8. Siap untuk di hidangkan dengan nasi putih.


Thursday, June 21, 2012

Ayam Goreng Gajus Dan Cili Kering.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Selamat petang.Menu berasaskan ayam adalah  menu wajib  setiap hari terutama kerana  si adik yang enggan makan ikan.Macam-macam cara Cm usahakan agar dapat bertukar kepada ikan tetapi gagal.Si adik hanya makan ikan keli,ikan pari dan ikan tenggiri,itupun mesti kena caranya tetapi jika ayam tiada hal ....Ayam goreng,ayam kukus,ayam kari,ayam kicap semuanya boleh.Masalahnya cuma satu....bahagian dada ayam si adik cuba elakkan....

Untuk elakkan pembaziran Cm cuba buat "trick" sikit.Dada ayam di potong kiub dan dimasak bersama biji gajus dan cili kering.Alhamdulillah sambutan baik sekali.kena "tipu" sikit hehe.

Bahan-bahannya.

3 keping dada ayam.Potong kiub.
10 tangkai cili kering.Gunting 3-4 bahagian.
1/2 cawan kacang gajus.-goreng dengan minyak sekejap.
3 cm halia.
3 ulas bawang putih.
1 labu bawang besar.
1 tangkai daun bawang(Tak letak.).
1/2 tsp serbuk lada hitam.
1 tbsp sos tiram.
1 tsp minyak bijan.
1 tbsp tepung jagung.
2 tbsp air.
minyak untuk menggoreng.

Sos:

1 tbsp kicap manis.
1 tbsp sos tiram.
1 tsp cuka.
garam dan gula secukup rasa,


Cara-caranya:


  • Perap ayam bersama sos tiram,minyak bijan dan tepung jagung& 2 tbsp air.
  • Masukkan bawang putih,halia dan bawang besar kedalam chopper dan cincang halus.
  • Panaskan minyak dan goreng ayam hingga hampir ranggup.Ketepikan.
  • Dengan menggunakan baki lebihan minyak tadi goreng cili kering hingga garing.Ketepikan.
  • Panaskan minyak masak dalam kuali dan tumiskan bahan-bahan cincang hingga wangi.Masukkan ayam. dan kacau rata.
  • Kemudian satukan semua bahan-bahan sos dan tuangkan kedalam kuali.
  • Kacau biar rata dan rasakan masin dan manisnya agar seimbang.
  • Akhir sekali masukkan gajus,cili kering dan potongan daun bawang.&gaul hingga mesra.Siap.
  • Sedap dimakan ketika masih panas dengan nasi putih.


Lempeng Gandum & Kuali .

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.



Dah sarapan?kepada yang berpuasa Khamis  selamat berpuasa.Insyallah semoga puasa kita diterima Allah.Yang penting kita lakukan dengan penuh keikhlasan semata-mata keranaNya.Untuk sarapan anak-anak pagi ini Cm masakkan lempeng gandum.Bila lihat lempeng gandum ni teringat zaman kanak-kanak dulu.Emak selalu masak lempeng tetapi saiz yang agak tebal.Kami makan dengan gula.

Sekarang cara makan lempeng dah di upgradekan.Bentuk pun dah cantik:)...selalunya kami cicah dengan kari atau sambal ikan bilis.Lempeng buatan mak agak tebal dan garing tapi kesedapan tiada tolok bandingnya.Semoga mak sentiasa berada didalam kedaan sihat walafiat sehingga akhir hayat.

Sebenarnya Cm sangat teruja nak guna kuali tak melekat yang Zuhri hadiahkan pada Cm.Seronok..bukan tak mampu nak beli sendiri tetapi bila hadiah dari anak sendiri rasa lebih bermakna.Zuhri tahu yang Cm suka memasak sebab tu lah dia selalu hadiahkan barang-baramg keperluan memasak:)..nampak gayanya akan ada resepi lempeng atau yang seangkatan dengannya seminggu dua ni hehe:)

Bahan-bahannya:)

2 cawan tepung gandum.
2 cawan air.
1 biji telur.
sedikit garam.

Cara-caranya:)

Satukan semua bahan-bahan diatas  kedalam blender.Blend hingga sebati.Panaskan kuali yang tak melekat dan tuangkan sesenduk adunan.lenggang-lenggangkan kuali agar dapat lempeng yang sekata ketebalannya..Apabila masak boleh lah dihidangkan mengikut kreativiti masing-masing samada nak makan begitu saja atau di gulung seperti yang Cm lakukan ini.

Selamat bersarapan ya:) oh ya sebenarnya adunan lempeng ni kita boleh agak-agak je.Jika nampak agak pekat boleh ditambah air atau jika cair sangat ,tambahlah tepung.Jika suka rasa telurnya lebih,tambahkanlah telur.jangan terlalu terikat sangat dengan resepinya.Masakan ni seni..jadi seni sangat sabjektif:)guna kemahiran masing-masing.....bak kata orang dulu dulu air tangan masing-masing tak sama walaupun dari resepi yang sama.:)



Wednesday, June 20, 2012

Cokodok Pisang & Durian Belanda.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Hari ini Cm ke pasar agak lewat kerana masalah kereta yang "tak mau" nak hidup enjinnya.Tetapi apabila mekanik datang dan hidupkan enjin tanpa usik apa-apa pun ..elok je hidup enjin nya...agaknya dia bagi amaran agar "ganti" kereta baru ni hehe....apabila masuk dalam kereta  baru kami sedar yang  air cond tak berfungsi.Alamak tengah panas pulak tu...Cm terpaksa buka tingkap dan kembangkan  lubang hidung luas luas agar dapat udara secukupnya dari luar sambil Zuhri ketawa..lucu agaknya......
Semasa singgah kat Pasar tadi budak yang jual pisang tu panggil Cm.katanya ada pisang cantik untuk buat Cekodok.Dia dah kenal Cm kerana selalu beli pisang dan buah-buahan dengannya.Tujuan utama Cm singgah kat gerainya kerana nak tanya samada buah Durian Belanda ada ke tak.....katanya ada dan harganya Rm16 untuk se kilo.mak datuk..mahal sungguh.Masa kat kampung dulu-dulu Durian Belanda terbuang begitu saja.Tak ada orang nak makan apa lagi nak membelinya.Cm ubah fikiran.Tak jadilah nak beli Durian Belanda baik beli pisang je.Apabila Cm bertanya kenapa mahal sangat  buah Durian Belanda ..jawabnya sebab buah ni datang dari negeri Belanda....hehe temberang betul:)


Bahan-bahannya:

15 biji pisang awak yang masak ranum.
2 biji telur.
3+ cawan tepung gandum.
1/2 tsp garam.
1/2 cawan gula merah.
1/2 cawan kelapa parut.

Cara-caranya:

Lenyek pisang hingga hancur.masukkan telur,gula merah,kelapa,garam dan kelapa parut.Gaul hingga sebati.Kemudian masukkan tepung sedikit demi sedikit.Jika agak lembik tambahkan sedikit lagi tepung.Kacau hingga rata.

Panaskan minyak.Basahkan hujung jari dan jemput sejemput dan masukkan kedalam minyak panas.Goreng hingga perang dengan api yang sederhana.Lakukan proses yang sama  sehingga selesai.




Nasi Goreng Ikan Masin

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Selamat pagi.Alhamdulillah pagi-pagi lagi Cm dah siap masak nasi goreng untuk sarapan.Sarapan yang agak berat kerana malam tadi kami hanya makan bihun soto untuk dinner.Suami Cm memilih untuk makan roti je pagi ini.
Sebenarnya semua orang tahu bagaimana nak masak nasi goreng ni tetapi Cm nak letakkan jugak resepinya agar anak anak Cm dapat buat panduan jika teringin nak makan nasi goreng di perantauan.

Bahan-bahannya:

4 cawan nasi sejuk.
3 keping kecil ikan tenggiri jeruk.
1 pokok sayur kailan.
5 biji cili api-jika suka pedas boleh lah ditambah.
2 biji telur.
Sos tiram.
Kicap manis.
Sedikit gula.
1 tsp serbuk lada hitam.
5 ulas bawang putih.

Cara-caranya:


  • Panaskan sedikit minyak  masak dan goreng ikan masin hingga garing.Ketepikan.
  • Bawang putih dan cili api  di ketuk kasar.Tumiskan bawang putih & cili api dengan lebihan minyak goreng ikan masin tadi.
  • Masukkan sayur kailan,sos tiram,kicap manis,sedikit gula dan serbuk lada hitam.Kacau rata.
  • Masukkan nasi dan gaul hingga rata agar nasi dan rencah-rancahnya tadi sebati.
  • Ikan masin diasingkan tulangnya.Masukkan kedalam nasi goreng.kacau-kacaukan.
  • Akhir sekali buatkan lubang ditengah-tengah nasi dan pecahkan telur.Kacau telur agar berketul-ketul baru di gaul bersama nasi hingga rata.
  • Siap..sedap dimakan ketika nasi masih panas:)