LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
Showing posts with label Kebun mini saya. Show all posts
Showing posts with label Kebun mini saya. Show all posts

Monday, June 27, 2022

Burung Tekukur Tua Di Kebunmini saya

 Assalamualaikum,

Saya memang suka berkebun walaupun tanah sekangkang kera,saya menanam pokok-pokok herba keperluan dapur sendiri seperti serai,kunyit,lengkuas,halia,kaduk,basil,bunga telang ,pokok kantan dan banyak lagi.Gambar di bawah ini ketika saya baru mula  dirikan para untuk tanaman labu dan timun tetapi sekarang  para ini telah di gantikan dengan buluh kerana besi lama tu telah berkarat.


Beberapa minggu lepas suami saya terjumps seekor burung Tekukur yang telah mati dan kami   tanam dibawah pokok buluh di kebun mini saya.Semalam ada seekor lagi burung Tekukur di atas para pokok labu yang nampaknya sungguh uzur.Jika tidak silap saya di kebun mini  ini  ada sepasang burung Tekukur yang selalu turun minum di kolam ikan saya.Terlintas di fikiran adakah burung ini pasangan kepada burung yang telah mati tempohari?Jika benar,sungguh setia betul, kata orang hanya maut yang dapat memisahkan mereka....pagi tadi tiada lagi kedengaran bunyi suara burung tekukur seperti biasa..sedihnya....saya cuba mencari bangkai burung ini tetapi gagal.



Setiap yang hidup pasti akan mati.Jangan bersedih...saya cuba memujuk hati sendiri.Banyak pengajaran yang dapat kita kutip dari kehidupan seekor burung ini umpamanya tentang rezeki. Ada sebuah hadis yang di kaitkan dengan burung....

"Seandainya kalian sungguh-sungguh bertawakal pada Allah,Sungguh Aliah akan memberi kalian rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki kepada seekor burung yang pergi dalam keadaan lapar dan kembali dalam keadaan kenyang. (HR.Tirmidzi ,hasan shahih)




Saturday, May 9, 2020

KEBUN MINI SAYA



Sejak berpindah ke rumah baru dua tahun lepas masa banyak dihabiskan di kebun sekangkang kera di depan rumah saya.Suami pun telah bersara jadi banyak masa bersama di kebun mini kami.Saya rasa sangat seronok hilang segala rasa stress bila melihat pokok pokok yang di tanam tumbuh dengan suburnya apa lagi sayuran yang kami tanam adalah organik yang bebas dari racun.

Saya menanam beberapa rumpun pokok tebu hitam pemberian jiran di rumah lama saya.Alhamdulillah tumbuh dengan subur sejak hujan seminggu dua ini.

Pokok Pisang serendah.

Pokok pisang Nangka berbuah buat kali kedua.

Saya menanam timun diatas raised bed.

Insyallah posting yang akan datang saya akan tunjukkan cara cara nak masak acar timun dengan hasil timun dari Kebun Mini Saya ini...asalnya blog saya ini adalah blog masak- masak .bila anak anak semua dah keluar "sarang"hehe masak memasak bukan menjadi keutamaan lagi.Masak-masak dah jadi pilihan nombor dua ....sehingga bertemu lagi Wassalam.

Friday, May 8, 2020

Assalamualaikum,

lama makcik tak post apa apa aktiviti masakan atau kebun.Selamat berpuasa semoga sihat sihat semuanya.Inilah hasil kebun makcik beberapa hari lepas,Alhamdulillah,Timun tak habis makan separuh saya frozenkan.

Buluh madu pun galak tumbuh sebab hari hujan seminggu dua ini.Rebung madu saya frozen juga tetapi saya potong dan rebus sehingga lembut baru di masukkan ke dalam freezer...oh ya ada yang bertanya macamana nak frozenkan timun?mula mula cuci dan keringkan kemudian belah dua untuk keluarkan bijinya.Masukkan ke dalam plastik dan simpan dalam freezer.

okay sehingga bertemu lagi bye...

Sunday, September 25, 2016

Sambal Kicap


Assalamualaikum dan selamat sejahtera;


Pagi tadi saya letak gambar sambal kicap ini di FB dan ada kawan-kawan yang bertanyakan bagaimana cara-cara nak buat sambal ini.Sebenarnya tiada resipi hanya pakai campak-campak saja atau agak-agak.Orang dulu-dulu tiada sukatan yang tepat jika memasak tapi hanya agak-agak mengikut pengalaman atau trial and error .
Tetapi jangan risau untuk membuat sambal kicap ni tak susah insyallah jadi dan sedap.

Bahan-bahan yang di perlukan...

6-7 biji cili api-terpulang pada selera masing-masing jika suka pedas letaklah lebih.

1 ketul kecil gula Melaka.

1 sudu makan gula pasir.

1 sudu teh garam.

1 ketul kecil..agak2 sebesar ibu jari belacan-panggang sekejap.

4 sudu makan cuka

4 sudu makan kicap manis.

Cara-caranya:)


  • Tumbuk cili api sehingga hancur.
  • Masukkan gula melaka,garam,gula pasir,kicap serta cuka.Lenyek sehingga semua bahan-bahan sebati.
  • Siap untuk di hidangkan  dengan keropok lekor,mangga muda ,soto dll.Selamat mencuba ya.





Cili Api Jeruk

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Bahan-bahan yang di perlukan...
Cili api.
Garam.
Gula.
Cuka makan.
Botol kaca yang sesuai.


Kali ini  saya ingin berkongsi cara-cara untuk menjeruk cili api agar ia bertahan lama.Selalunya jika kita simpan dalam peti ais dalam tempoh yang lama cili akan reput atau rosak dan jika   kita simpan dalam freezer pun cili akan jadi lebam dan akhirnya rosak juga.Jalan paling selamat adalah dengan di jadikan jeruk.
Saya ada menanam 5 pasu pokok cili api dan semuanya berbuah serentak.Alhamdulillah seronok sangat apabila melihat pokok_pokok itu berbuah dengan lebatnya.Tak habis untuk kegunaan harian kerana kami sekeluarga bukan pemakan cili tegar  jadi saya mengambil keputusan untuk menjeruk lebihan cili api yang saya petik petang tadi agar bertahan lama.


Inilah hasil tuaian petang tadi.Saya cuci bersih dan keringkan betul-betul sebelum di jeruk.

Cili api yang sudah di keringkan airnya tadi perlu di gaul dengan garam serta gula.

Kemudian cili api tadi di isikan kedalam botol yang telah di rendam dengan air mendidih dan keringkan sebelum di gunakan.Akhir sekali tuangkan cuka makan kedalam botol cili sehingga penuh.

Sekarang jeruk cili api kita sudah siap.Dalam masa empat lima hari lagi boleh lah di makan bersama bihun sup,sup tulang ,mee goreng atau apa-apa saja yang di sukai.Ada juga yang makan dengan nasi panas atau dengan ikan pekasam.Selamat mencuba...






Monday, September 19, 2016

Kebun Mini Saya


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.


Alhamdulillah pagi tadi saya sempat berkemas sekitar kebun mini sementara cucu masih tidur.Sudah agak lama kebun di biarkan bersepah sepah dengan daun kering......bila dapat kemas tu rasa lega sangat.Alhamdulillah.

Selain dari tanaman sayur-sayuran saya juga tanam beberapa jenis pokok hiasan dan pokok  bunga.Inilah bunga yang paling saya sayang sekali.Pokok hydragea warna pink .... dah hampir dua tahun saya tanam..lebih kurang la ( tak ingat tarikh beli anak benih). Tidak mahu berbunga.Rasa nak give up dah sebab lama sangat tetapi tiba-tiba mengeluarkan bunga.Walaupun kecik saja bunganya sudah cukup membuatkan hati saya kembang setaman hehe.....yang warna biru tu saya beli dah siap ada bunga....tidaklah excited sangat tetapi yang warna pink  tu saya tanam dari benih yang di beli dari kampung.Dijaga dengan penuh perhatian serta kasih sayang.
 Okay.... yang ini pulak pokok yang ada di kebun mini saya sepanjang tahun.Wajib ada.Sebelum pupus saya akan tanam baru.Pokok kesom dan pokok Ginseng jawa.Pokok kesom tu kerana saya selalu guna dalam masakan saya jadi tak perlu beli.Daun kesom tak boleh di simpan dalam peti sejuk kerana ianya cepat kering jadi jika tanam bekalan fresh sentiasa ready untuk di gunakan.

Sementara pokok  Ginseng jawa pulak sangat nostalgia kerana pokok asalnya adalah pemberian dari seorang rakan kebun di alam cyber Diana dari Kebun Bahagia Sungai Buloh.Diana yang  bawa benih dan  tanam untuk   saya di rumah   Putrajaya  jadi ianya tidak akan saya biarkan pupus.Insyallah.Terima kasih Diana.
 Ini pulak sudut tepi rumah saya.Pasu-pasu kecil tu adalah pokok sawi kerinting.Rasanya seminggu lagi dah boleh di tuai.Dapat goreng dengan bihun atau buat sup sayur.Alhamdulillah.

Di dalam pasu-pasu di atas ini saya semaikan benih pokok ketumbar dan benih salad.Dua jenis sayur ini saya tidak pernah berjaya semai.Tidak tumbuh dan ini entah kali ke berapa saya semai.Semoga kali ini saya berjaya.Bercucuk tanam ini mengajar kita erti sabar dan tidak mudah putus asa.


Akhir sekali saya nak tunjukkan benih bendi yang agak pelik saiznya.Bendi gemok saya panggil hehe.Memang besar dari biasa.Sahabat saya Puan Neo yang bawa benih ini dari kampungnya .saya telah semai dalam petak semaian mudah-mudahan akan tumbuh dan dapatlah saya merasai masakan sayur bendi gemok ini.Insyallah.



Sunday, September 18, 2016

kebun mini saya

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Lama betul saya tidak kemaskini blog Jom Masak Jom Makan makan ini sehingga hampir lupa passwordnya.Alhamdulillah Makcikmanggis baik-baik saja.Rindu sangat untuk berblog kembali seperti dulu-dulu...memasak dan berkongsi resipi.

Setelah Makcik berpindah ke Negeri Sembilan  masa  banyak dihabiskan dengan berkebun di halaman rumah.Walaupun kawasan yang sangat terhad dapatlah juga keluarkan peluh dan merasai hasil kebun mini yang bebas racun.Satu kejayaan apabila berjaya menanam lebih kurang 20 pasu pokok  bunga kobis.Sekarang hanya tinggal 7 pasu lagi yang belum di tuai.Alhamdulillah.....rezeki yang Allah bagi jika kita berusaha.

Makcik ada menanam 2 pasu pokok limau kasturi.Alhamdulillah rajin sungguh berbuah tanpa henti.Setakat nak guna untuk bahan masakan seperti sambal belacan dan jus tu tak perlu beli.Petik saja ..fresh...betapa seronoknya dapat hasil dari kebun sendiri.Satu kepuasan.....

Ada kawan-kawan bertanya baja apa yang Makcik gunakan .Untuk pokok limau ini Makcik guna baja AB yang di perolehi semasa kami membeli pokok Tin di Seremban 6 bulan yang lalu.Kami dapat percuma dari Nurseri Sudin & Sheila Jalan Pantai Seremban tempohari (free gift).Baja jenis ini sungguh jimat sekali dan amat berkesan untuk tanaman seperti limau kasturi dan pokok Tin.


Disamping baja AB kami juga dapat hadiah percuma keratan pokok tin dari nurseri Sudin & sheila.Dalam banyak banyak batang ini hanya 5 keratan yang  tumbuh dan sekarang sudah mulai berbuah.Alhamdulillah.


Pokok di atas adalah hasil semaian dari free gift nurseri Sudin&Sheila tempohari.Gambar ini  saya ambil ketika usia pokok ini 2 bulan.Sekarang dan hampir 6 bulan jika tak silap saya lah..lupa tarikh tanamnya.....Ok lah untuk cerita KEBUNMINISAYA  akan saya sambung lagi  dalam next posting ya....dan jika ada masa saya akan berkongsi resipi terkini saya membuat roti Sourdough pula.Hobi terkini saya  hehe.



Thursday, May 26, 2016

Kebun mini saya

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.Lamanya saya tidaj melihat blog kesayangan saya ini hingga hampir terlupa pintu masuknya.

Ramadan akan menjelma tidak berapa hari lagi jadi saya ingin mengucapkan salam Ramadan pada sahabat sahabat yang mengenali diri saya ....dari anak-anak madih bersekolah sehingga anak-anak berkahwin dan mempunyai anak ...inilah usia blog saya ini.Alhamdulillah.

Selepas semua anak-anak mempunyai kehidupan sendiri kami kembali seperti asalnya hanya tinggal berdua.Banyak masa di habiskan bersama-sama menghadiri kelas pengajian untuk persiapan kehidupan selepas ini dan kami melakukan aktiviti yang kami tidak dapat lakukan sebelum ini kerana anak-anak perlu perhatian seratus peratus dari kami dan kengkangan masa kerana suami bekerja .
Aktiviti yang paling kami kegemari adalah berkebun dan berbasikal.Alhamdulillah.Kebun yang sungguh comel kerana pokok-pokok di tanam di dalam pasu dan batas kecil.
Selain memperolehi kepuasan ...kebun mini saya ini dapat bekalkan keperluan harian untuk kami berdua.Seronok dan puas hati kerana semua tanaman adalah bebas racun.
Saya akan cuba up date kebun mini saya di sini jika ada kelapangan.Kita berkongsi hobi yang sungguh berguna ini.Untuk permulaan cukuplah setakat ini dulu.Kepada kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama boleh lah kita bertukar-tukar pandangan.