LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
Showing posts with label pulut. Show all posts
Showing posts with label pulut. Show all posts

Sunday, November 24, 2013

Loh Ma Gai


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Salah satu makanan kegemaran suami Cm ni ....Jom kita lihat apakah bahan-bahannya :)


Bahan-bahannya:

1 1/2 cawan beras pulut-rendam selama 2 jam dan toskan.
4 ulas bawang putih.-tumbuk kasar.
1 tbsp udang kering.-rendam sekejap dan ditumbuk kasar.
5 kuntum cendawan kering-rendam sehingga kembang-cuci dan hiris nipis.
1/2 tsp lada sulah.
sedikit halia-ditunbuk halus.
Sos tiram-secukup rasa.
Kicap manis -secukup rasa.
Kisap masin-secukup rasa.
1/2 cawan isi ayam yang dipotong kecil.
Sedikit minyak untuk menumis.
1/2 cawan air.


Hiasan:

Daun bawang.
Daun sup.
Cili masak.
Bawang goreng.
Cara-caranya:


  • Panaskan minyak dan tumis bawang putih ,halia dan udang kering sehingga wangi.
  • Masukkan cendawan dan isi ayam.Gaul sehingga mesra.
  • Kemudian masukkan sos tiram,kicap masin dan kicap manis serta lada sulah.Kacau sehingga sekata.
  • Masukkan beras pulut dan gaul sehingga sebati.Masukkan 1/2 cawan air dan kacau-kacaukan  sehingga sekata.
  • Akhir sekali masukkan pulut ke dalam pengukus dan kukus sehingga masak.


Hidang bersama hirisan daun bawang,daun sup,cili masak dan bawang goreng.Cm pulak suka makan dengan sos cili.Selamat mencuba.

Wednesday, October 2, 2013

Kuih Serimuka .

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Kuih Serimuka.
(Resipi asal Pn.Masyitah dari Alor Setar.)

Bahan-bahannya:
A
Bahagian bawah.

2 cawan beras pulut-rendam 2-3 jam.
1 cawan santan pekat
3 tbsp air.
Secubit garam.
1 helai daun pandan.
 B
Bahagian atas.

3 biji telur.
1 cawan santan pekat.
4 tbsp gula pasir.
4 tbsp tepung gandum.(penuh)
Secubit garam.
1/3 tsp serbuk kayu manis.
1/3 tsp serbuk jintan manis.

C
10 helai daun pandan-potong halus.
1 1/2 cawan air.


Loyang bulat 9" x 2"


Cara-caranya:


  • Panaskan pengukus.
  • Sapukan sedikit minyak masak pada loyang.
  • Isikan dengan beras pulut dan tuangkan santan,sedikit garam dan daun pandan.
  • Kukus sehingga pulut masak dan tekan-tekankan agar padat.
  • Kisar daun pandan dengan 1 1/2 cawan air.Tapiskan.
  • Satukan semua bahan-bahan B dan C  kedalam mangkuk dan kacau sehingga sebati.Tapis.
  • Tuangkan kedalam periuk dan kacau perlahan-lahan di atas api yang kecil  sehingga naik wap dan agak sedikit pekat.
  • Tuangkan ke atas pulut yang di kukus tadi dan kukus sehingga masak.
  • Apabila telah masak bukakan penutup kukusan  dan biarkan di atas api sehingga  wap yang jatuh pada permukaan kuih itu kering.
  • Tunggu sehingga kuih betul-betul sejuk barulah di potong.

Alhamdulillah inilah resipi yang terbaik setakat ini.Bahagian atasnya sungguh cantik apabila dipotong dan Cm amat berpuas hati.Cm pernah masak kuih Serimuka  Durian  ,  Kuih Serimuka , Kuih Serimuka  Jika anda mempunyai keluarga kecil resipi ini sangat sesuai sekali  kerana hanya  menggunakan loyang bulat berukuran 9" x 2"


Friday, September 13, 2013

Pulut Kuning

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Bahan-bahannya:

1 kg beras pulut
1 1/2 biji kelapa-ambil santan pekatnya sahaja.( 1 1/2 cawan)
Sedikit garam.
1 -2 tsp serbuk kunyit.
1 helai daun pandan.
Serunding ikan atau daging secukupnya.

Bahan-bahan tabur:

2 biji telur-dadar nipis dan di potong halus.
Cili merah-potong nipis&bulat.

Cara-caranya:


  • Beras pulut dicuci  bersih dan direndam bersama serbuk kunyit selama 2-3 jam.
  • Toskan pulut dan kukus dengan daun pandan  sehingga masak.
  • Keluarkan pulut dari pengukus dan masukkan santan bersama sedikit garam dan kacau sehingga sebati.Gaul sehingga betul-betul rata.
  • Masukkan pulut ke dalam pengukus dan kukus sehingga pulut lembut.
  • Alaskan loyang dengan plastik dan tuangkan separuh daripada pulut kuning ke dalam loyang dan tekan sehingga padat.
  • Kemudian taburkan serunding ke atas permukaan pulut tadi .ratakan.
  • Akhir sekali masukkan pulut yang selebihnya tadi dan ratakan ,tekan-tekankan sehingga padat.
  • Bolehlah di potong dan di hidang bersama rendang atau kari.
  • Hias dengan telur dadar dan cili masak.
Selamat berhujung minggu dan selamat menyambut hari malaysia.Semoga Malaysia sentiasa aman dan damai :) serta makmur.

Wednesday, August 28, 2013

Ketupat Pulut

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Hampir dua minggu tidak bersiaran dan tidak melawat dapur kawan-kawan.Nak kata sibuk.....ya sibuk lah jugak.... banyak  menghabiskan masa membaca dan bermuhasabah diri.....ingin memperbaiki diri....mengikhlaskan diri.....semua yang kita lakukan itu semata-mata kerana Allah taala....Semoga memperolehi redhaNya.....

Ok...kembali ke dapur Cm yang dah mula berhabuk ini.Bukan tak masak tetapi masak biasa-biasa saja.Tak ada yang special.Minggu lepas Cm cuba masak ketupat pulut sendiri.Alhamdulillah ok lah walaupun rasanya tak sesedap yang emak Cm masak :)
Bahan-bahannya:

1 kg beras pulut.
Garam secukup rasa.
3 cawan santan pekat.
Daun palas secukupnya.

Cara-caranya:


  • Beras pulut di cuci bersih dan direndam selama 1 jam.
  • Panaskan pengukus.
  • Kukus beras pulut sehingga masak.
  • Keluarkan pulut  dari pengukus.Masukkan ke dalam mangkuk yang sesuai.
  • Bancuh santan pekat dengan garam secukupnya.
  • Tuangkan santan  ke dalam mangkuk yang berisi pulut sedikit demi sedikit sambil di gaul perlahan-lahan sehingga selesai.
  • Kacau sehingga pulut sejuk.
  • Isikan pulut ke dalam kelongsong daun palas dan tekan-tekan sehingga padat.Balut dengan kemas seperti gambar di atas.
  • Lakukan sehingga selesai.
  • Alaskan periuk dengan lebihan daun palas dan masukkan ketupat yang telah siap di bungkus.
  • Isikan air sehingga menutupi ketupat dan rebus sehingga airnya kering.


Ketupat pulut sedap dimakan dengan rendang / serunding  ayam atau daging.Jika dikampung Cm ada yang makan ketupat pulut ini dengan sirap gula merah seperti memakan kuih lopes :)

Friday, August 2, 2013

Wajik Durian Berbijan.

Wajik Durian Berbijan.
Ilham dari dapur Periuktanah.

Bahan-bahannya:

500 gm beras pulut-rendam 1-2 jam.
250 gm gula melaka.
50 gm gula merah.
3 ulas durian.
2 helai daun pandan.
Sedikit bijan-sangai sekejap.
Secubit garam.
2 cawan santan pekat.

Cara-caranya:


  • Kukus pulut sehingga masak.
  • Satukan gula melaka,gula merah,santan,garam,durian dan daun pandan ke dalam periuk yang sesuai.
  • Masak sehingga likat.
  • Kemudian masukkan pulut dan dikacau sehingga sebati.
  • Biarkan di atas dapur sekejap dengan api yang perlahan.kacau sehingga pulut agak likat dan kering.
  • Tuangkan ke dalam loyang dan tekan-tekankan agar padat.Taburkan dengan sedikit bijan.
  • Siap untuk dihidangkan.

Friday, June 28, 2013

Khao Tom Mad (Sweet Sticky Rice Parcels)

Assalamualaikum dan selamat petang.


Cm adalah penggemar masakan Thai.Tak kira lah lauk pauk atau kuih muih.Masakan Thai banyak persamaan dengan masakan Kelantan tanah kelahiran Cm, mungkin kerana  berjiran.Atau mungkin juga sebab Kelantan pernah di jajah oleh Siam pada satu ketika dahulu jadi banyak terdapat pengaruh masakan Thai dalam masakan  Kelantan.

Salah satu  kuih yang di kenali dengan nama Khao Tom Mad.Bila masuk negeri Kelantan nama bertukar jadi    Pulut Dakap :)..Untuk melihat resipi asal Thai sila ke SINI.

Bahan-bahannya:

500 gm beras pulut-cuci dan rendam selama 2-3 jam.
2 cawan santan pekat.
1/2 tsp garam.
4 tbsp gula pasir.
6- 7 biji pisang -belah dua.(pisang awak,pisang berangan atau pisang abu)
Kacang merah secukupnya di rebus sehingga empuk,

Tali untuk pengikat.
Daun pisang secukupnya.

Cara-caranya:


  • Satukan gula ,garam dan santan dalam periuk nonstick.
  • Masak sehingga gula larut.
  • Masukkan beras pulut jangan lupa toskan terlebih dahulu ya.
  • Dengan api yang perlahan kacau pulut sehingga agak kering.Sejukkan.
  • Lapik dua helai dau pisang .Letakkan kacang merah kemudian sudukan sedikit pulut.Lepas itu letakkan pisang dan  sekali lagi  sudukan sedikit pulut untuk melindungi pisang.Akhirnya letakkan beberapa biji kacang diatasnya.
  • Balut seperti membalut kuih lepat .Tangkupkan dua bungkusan pulut dan ikat sehingga kemas.Pastikan balutan kemas agar pulut tidak terkeluar semasa merebusnya nanti.
  • Aturkan bungkusan pulut dalam periuk.Isikan air anggaran paras bungkusan pulut tu.Masak sehingga air hampir kering.
  • Toskan dalam tapis.Siap untuk dihidang :)
Selamat berhujung minggu :)

Tuesday, December 18, 2012

Pulut Tai Tai

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Telah beberapa kali Cm masak pulut tai tai ini.Tak pernah jemu.Ada kalanya Cm makan dengan homemade kaya tetapi jika malas cicah je dengan sos kastad.Senang dan cepat.

Bahan-bahannya:

2 cawan beras pulut -cuci dan rendam selama 30 minit.-toskan.
1/2  cawan santan pekat.
1  cawan santan cair.
1/2 tsp garam.
1 helai daun pandan.

10 kuntum bunga Telang.-dimasak dengan sedikit air untuk dapatkan warna biru.


Cara-caranya:


  • Masukkan pulut bersama santan cair kedalam bekas yang sesuai dan kukus hingga pulut masak.
  • Kemudian keluarkan dari pengukus dan gaul bersama santan pekat serta garam.Gaul hingga rata.
  • Masukkan kembali kedalam pengukus dengan sehelai daun pandan dan kukus selama 20 minit.
  • Renjis-renjiskan dengan sedikit air bunga telang tadi agar warnanya bertompok-tompok dan kukus lagi sekejap.
  • .Jangan lupa ya.. hendaklah di tekan-tekan  agar mampat supaya senang di potong semasa menghidangnya nanti.
  • Hidang bersama kaya atau sos kastad.

Ada seorang kawan bertanya samada boleh atau tidak pulut tai tai di makan bersama rendang.Rasanya boleh kerana cara memasak pulut ni sama dengan pulut kuning cuma kaler nya yang berlainan.Insyallah lain kali Cm nak cicah dengan rendang pulak :)

Monday, June 4, 2012

Pulut Semangat.



Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Ulang Tahun.

4 hb.jun 2012 genap lah 31 tahun usia perkahwinan kami.Alhamdulillah syukur pada yang Maha Esa.Satu jangka masa yang panjang tapi kami lalui dengan gembira dan penuh kesyukuran.Tak banyak onak atau duri yang perlu kami redah...,...segalanya berjalan dengan lancar hari demi hari ,bulan berganti tahun kami hadapi dengan penuh rasa keinsafan  serta berkasih sayang keranaNya dan selalu berserah kepadaNya.Jika terdapat kesulitan kami menadah tangan memohon pertolongan dariNya......Alhamdulillah kerana  segalanya di permudahkan .

Pulut Kuning.

Masa kecik-kecik dulu jika kami lulus periksa,mak akan masak pulut kuning.tiada lauk yang special cuma dimakan dengan hirisan telur dadar.Pulut yang emak masak memang sedap dan tahan hingga seminggu lamanya .Takkan basi.Cm pula  suka makan pulut kuning dengan gula.

Cm teringin nak hias pulut kuning seperti Kak wan buat:)tapi bahan-bahan yang ada hanya lah telur ayam dan telur puyuh .Mommy Maryam cakap pulut kuning Cm kali ini macam zoo hehe.Selamat hari jadi buat Maryam..besok genap 1 tahun umurnya.
Bahan-bahannya:


1 kg beras pulut
1/2 tbsp serbuk kunyit.
1 1/2  cawan  santan pekat.
2 tsp garam.

Cara-caranya:


  • Rendam beras pulut dan serbuk kunyit selama 2-3 jam.
  • Toskan airnya.
  • Kukus sehingga pulut lembut&masak.
  • Apabila masak,keluarkam pulut dari pengukus dan gaul bersama santan dan garam sehingga rata.
  • Kemudian kukus lagi pulut sehingga betul-betul masak.
  • Apabila masak,buka penutup kukusan dan biarkan diatas api selama 10-15 minit.
  • Siap untuk di hidangkan bersama rendang atau kuah kari.


** Sedap juga bila di lapis dengan serunding daging.

Sunday, February 12, 2012

Pulut Kuning Dengan Ayam Percik & Telur Dadar.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Lunch
Alhamdulillah Cm dah siap masak untuk lunch kami 4 beranak.Pastinya kawan kawan akan tertanya tanya kenapa kadang kadang Cm kata 4 beranak kadang kadang 3 beranak..Selalunya di hujung minggu Along selalu balik rumah sehingga isnin.hari biasa beliau tinggal  berhampiran dengan tempatnya bekerja.


Pulut Kuning.


Semalam Cm masuk dapur Tummy tanpa izin hehe..jangan marah ya Tummy:)...dan ternampak nasi kunyit yang beliau masak.Terliur sangat sangat jadi hari ini Cm masak pulut kuning untuk menghilangkan rasa "mengidam"..orang tua jika teringin nak makan tu memang terukkan :).mesti kena masak jugak.....jika tinggal berhampiran dengan dapur Tummy Cm hulur pinggan je hehe.

Bahan-bahannya:)

3 cawan beras pulut.
1 tsp serbuk kunyit.
1 cawan santan pekat.
Garam secukup rasa.

Cara-caranya:


  • Rendam beras pulut selama 1 jam atau lebih bersama-sama dengan 1 tsp serbuk kunyit.
  • Toskan airnya dan kukus sehingga beras pulut masak dan lembut.
  • Angkat pulut dari dapur dan masukkan santan dan & garam.Kacau hingga sebati.
  • Kukus pulut selama 15-20 minit atau sehingga pulut benar-benar masak.
  • Buka penutup dan biarkan diatas api selama 10-15 minit.
  • Siap.Jika pulut dimasak dengan cara begini ia tidak cepat basi.Insyallah.



Ayam Percik.


Bahan-bahannya:


3 ketul ayam( bahagian dada bersama  kepak.)
1 biji santan  kelapa.
5 ulas bawang merah.-kisar
2 ulas bawang putih.-kisar
1 tsp serbuk kunyit.
1 inci halia.-kisar.
2  tbsp tepung beras.
Gula secukup rasa.
Garam secukup rasa.
1 keping asam gelugur.

Cara-caranya:


  • Masukkan air rebusan ayam kedalam periuk yang sesuai.
  • Masukkan bahan-bahan kisar,serai,asam  keping dan serbuk kunyit.
  • Tambahkan dengan 1 biji santan kelapa.Jangan terlalu cair santannya ya.
  • Masak hingga mendidih kemudian baru masukkan bancuhan tepung beras agar kuahnya pekat dan senang melekat pada isi ayam apabila dipanggang nanti.
  • Masukkan garam dan gula secukup rasa,Selalunya percik lebih sedap jika lebihkan sedikit rasa manisnya.
  • Siap untuk digunakan semasa memanggang ayam nanti.


Bahan-bahan untuk direbus bersama ayam:)

1/2 biji kelapa.
4 ulas bawang merah.-tumbuk halus.
1 ulas bawang putih.-tumbuk halus.
1 inci halia.-tumbuk halus.
3 batang serai ketuk.
Cara-caranya:)

Masukkan ayam yang telah dicuci kedalam periuk dan masukkan santan dari 1/2 biji kelpa bersama-sama bahan-bahan tumbuk ,serai ketuk dan garam secukupnya.Masak sehingga mendidih dan ayam 1/2 masak.Toskan air rebusannya untuk digunakan kemudian.

Panggang ayam sehingga perang.Kemudian Curahkan kuahnya keatas ayam dan kembali memanggang agar rasa ayam dan kuahnya mesra.Ulang proses yang sama sehingga seluruh  bahagian ayam tadi dibaluti dengan kuah percik.Last sekali  Cm curahkan semua lebihan  kuah percik keatas ayam dan biarkan kuah tadi mendidih sekejap.Pastikan kuah tidak kering baru sedap untuk dimakan bersama pulut kuning nanti.


Lauk untuk pulut kuning  kali ini agak lain daripada biasa.Cm masak ayam percik..Ubah selera sekali sekala.Selalunya Cm masak kari ayam atau daging atau pun rendang untuk jadi partner pulut ni.Kali ini Cm lebihkan kuahnya agar tidak terlalu kering dan sedang elok untuk di cicah dengan pulut.Alhamdulillah sedap dan boleh di cuba lain kali.



Telur Dadar.



Anda pernah makan pulut kuning dengan telur dadar?Hmmm sedap !...bonda Cm yang memperkenalkan Telur Dadar ini semasa kecik kecik dulu.Jika guna telur ayam kampung warnanya sungguh cantik kuning keemasan.kebetulan Cm ada 4 biji telur ayam kampung dalam peti sejuk.Cantik warnanya kan?

3 biji telur.
secibit garam.
Sedikit serbuk lada hitam.

Kacau telur bersama semua bahan-bahan diatas .Atau pukul dengan garfu sekejap.Panaskan kuali tak melekat dengan sedikit minyak.Masukkan 3 tbsp adunan telur dan lenggangkan kuali agar mendapat lapisan yang sekata.Lakukan sehingga selesai.Kemudian gulung kemas kemas baru dihiris senipis yang mampu.Dah siap:)

Siap:)


Selamat menjamu selera dan selamat berhujung minggu.Semoga dapat bersama-sama dengan anak anak tercinta dengan melakukna bermacam-macam kegiatan yang dapat mengeratkan lagi kasih sayang sekeluarga.Bye......

Wednesday, July 20, 2011

Pulut Inti

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Cuaca hari ni agak panas.Maryam asyik merengek je..kadang kadang terdengar seolah olah dia menjerit panggil makkk(perasan je ni)..sekarang dah pandai dan bijak cucu Cm ni..bijak  minta di riba je.Sebenarnya Cm tak larat nak dokong-dokong ni..orang tua tulang yang dah nak reput mana larat kan...bila mengenangkan Maryam akan di letak di pusat jagaan kanak-kanak lepas ni hati terasa sayu dan hiba....kesiannya......

.Petang ni untuk minum petang Cm masak pulut inti...Mami maryam gorengkan cucur udang yang Cm bancuh semalam kat dalam peti sejuk...ok la tu silap-silap malam ni dah tak makan malam sebab kenyang makan kuih.....


Pulut Kukus.

Bahan-bahannya:
1 cawan beras pulut direndam beberapa jam atau jika mahu hasil yg lebih baik elok rendam semalam.
1/3 cawan air
  3 tbsp santan pekat.
Secubit garam..
1 helai daun pandan.

Cara-caranya:

Cm masak pulut ni cara express sebab nak cepat....masukkan beras pulut kedalam loyang bersama-sama air,santan pekat,garam serta daun pandan.Kukus hingga masak.





Inti Kelapa:

1 biji kelapa parut -ambik putihnya saja.
1/3 cawan gula merah.
1/3 cawan air.
150 gm gula melaka.
secubit garam.
1 helai daun pandan.
Cara-caranya:

Masukkan semua bahan-bahan diatas kedalam kuali dan masak hingga kering atau kental.Sejukkan.Siap untuk di makan bersama pulut kukus tadi.

 Seperti biasa sementara Maryam ada ni dapat lah nenek letak gambar Maryam..lepas ni dah jauh.....

Saturday, April 2, 2011

Pulut Mangga



Salam dan selamat sejahtera.Sebenarnya Cm teringin sangat nak makan pulut durian tetapi terpaksa lupakan kerana ditakutkan oleh anak-anak . Cm ni ada masalah kolestrol.....mana boleh makan durian..hai rasa nak masuk batu belah batu bertangkup hehe....jadi terpaksa tukar selera dengan pulut Mangga.
Bahan-bahannya:
1 cawan beras pulut direndam beberapa jam atau jika mahu hasil yg lebih baik elok rendam semalam.
1/3 cawan air
2 tbsp santan pekat.
Secubit garam.
Gula secukupnya.
1 biji kelapa dikisar dengan 2 cawan  air mendidih.
Mangga secukupnya-kupas dan potong mengikut selera masing-masing.
Cara-caranya:
  • Pulut dicampur dengan 1/2 cawan air ,daun pandan dan secubit garam lalu  dikukus hingga lembut.
  • Kemudian gaulkan dengan 2 tbsp santan pekat dan kukus lagi hingga masak.Sejukkan.
  • Kelapa diblend dengan 2 cawan air panas  hingga halus.Tapis dan masukkan sedikit garam.Ketepikan.
  • Mangga dikupas kulit dan dipotong mengikut saiz yang anda suka.
  • Cara menghidangnya :Sendukkan pulut  ke dalam manggkuk yg sesuai dan aturkan buah mangga diatasnya.Sudukan sedikit gula.Akhir sekali baru tuangkan santan .Siap untuk dimakan:)

Thursday, April 8, 2010

Pulut Manis

Bahan-bahannya: 1 cawan beras pulut-rendam 3 jam 1/2 cawan santan cair 250 gm gula melaka 1 cawan santan pekat sedikit garam 2 helai daun pandan Cara-caranya:
  • Kukus pulut dengan santan cair hingga masak dan ketepikan.
  • Masukkan santan,gula melaka,sedikit garam dan daun pandan kedalam kuali.
  • Masak hingga gula melaka hancur.
  • kecilkan api dan masak lagi hingga santan dan gula melaka tadi pekat.
  • Kemudian masukkan pulut dan kacau atas api yang perlahan sehingga betul-betul sebati.
  • Tuangkan pulut kedalam dulang dan tekan sehingga padat.
  • Sejukkan dan potong mengikut saiz yang dikehendaki.

Wednesday, March 31, 2010

pulut bakar & pulut panggang

Rindu betul nak makan pulut bakar makanan tradisi negeri Kelantan.Lalu cm talipon ibu cm petang tadi dan bertanyakan cara-cara untuk membuatnya.Bahan-bahannya adalah beras pulut,sedikit garam,santan ,gula dan beberapa kuntum bunga cengkih. Harum betul bau bunga cengkih didalam pulut apabila dipanggang dan bau wangi daun pisang yang terbakar membangkitkan lagi aromanya.... Cm tak letak resepinya kerana resepi ibu cm pakai agak agak je,resepi orang tua memang cantu kan...Insyallah bila dapat sukatan yang betul akan cm masukkan dalam n3 yang akan datang. bau cengkihnya membangkitkan selera! Pulut panggang pulak ada inti serunding ikan yang cm buat tempohari.Mengikut kata bonda ku,pulut panggang versi Kelantan ni manis.Jika ada yang tak gemar manis boleh lah guna pulut yang lemak lemak masin je:) Bahan-bahannya hampir sama dengan bahan-bahan untuk resepi pulut bakar kecuali tiada bunga cengkih.Ini pun cm agak-agak juga sukatan bahan-bahannya.