LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
Showing posts with label chicken. Show all posts
Showing posts with label chicken. Show all posts

Thursday, September 22, 2016

Bubur Ayam

Satu lagi menu yang menjadi kegemaran kami sekeluarga.Saya letak resipi di sini agar anak-anak saya serta anak-anak di luar sana yang baru nak belajar memasak dapat jadikan panduan.Inilah masakan yang paling senang.Pejam mata pun boleh buat hehe.Guna periuk letrik atau guna Noxxa :) pada siapa yang ada periuk Noxxa la kan hehe.

Bahan-bahannya:)

1 pot kecil beras .
1 ketul dada ayam.
Garam secukup rasa.
Lada sulah,
1 ketul kecil halia-ketuk.
2 ulas bawang putih ketuk.

Geng-gengnya :)

Daun bawang,
Daun sup.
Kacang tanah goreng.
Telur masin rebus,
cili masak hiris.
Cili api hiris.
Ikan bilis goreng.
Limau kasturi,
Lobak asin.

  Cara-caranya:)


  • Rebus dada ayam dengan air yang mencukupi sehingga empuk.
  • Keluarkan dada ayam tadi dan siat-siat ambik isinya.
  • Tuangkan air rebusan ayam ke dalam periuk eletrik.Tambah air jika perlu.
  • Masukkan  beras yang siap di cuci dan toskan airnya.
  • Tekan butang congee.(boleh pejam mata dah lepas ni hehe)
  • Setelah masak bolehlah di hidangkan dengan kawan-kawannya di atas ya :)
*Kan makcikmanggis dah cakap pejam mata pun dan boleh masak bubur ayam ni.Selamat mencuba ya :)





Sunday, August 23, 2015

Rendang Hijau

Rendang hijau.

Bahan-bahannya:

1/2 ekor ayam.
250 gm santan pekat.
3 tbsp kerisik.
9 biji cili hijau
10 biji cili padi hijau jika suka pedas boleh tambah.
3 hirisan lengkuas.
10 ulas bawang merah.

1 labu bawang besar.
3 hirisan halia.
2 hirisan kunyit hidup.
2 batang serai.
1 helai daun kunyit.
Sedikit air asam jawa.
Gula melaka dan garam secukup rasa.

Cara-caranya:

  • Ayam di potong ikut citarasa sendiri.Bersihkan.
  • Kisar cili hijau,cili api,bawang,halia,kunyit ,serai dan lengkuas.
  • Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar sehingga naik bau.
  • Masukkan ayam dan gaul rata.
  • Apabila ayam dah kecut masukkan  santan,garam,gula melaka,air asam jawa serta kerisik.Akhir sekali siat-siatkan daun kunyit dan masukkan kedalam rendang.
  • Kecilkan api dan reneh sehingga kuahnys pekat.Jangan lupa sentiasa kacau agar rendang kita tak hangus.

Alhamdulillah rendang ini sungguh sedap pada selera saya serta anak dan suami.Makan bersama nasi karot,jelatah serta puyuh goreng berempah.kombinasi cili hijau serta cili api hijau membangkitkan satu aroma rendang yg agak berbeza dari rendang biasa.Saya tidak letakkan bawang putih dalam bahan bahannya.Selamat mencuba 😉




Saturday, September 13, 2014

Ayam Goreng Raggup Ala Ala KFC

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Ayam Goreng ranggup.

Resipi asal : Mamak Haji.
                   Pn.Tahrunissah jali.
Ubah suai : Makcikmanggis.

Bahan-bahannya:

1 kg ayam-saya potong kecil agar senang masak  &sekata.

Bahan-bahan perap.

2 ulas bawang putih-tumbuk.
Sedikit garam.
Lada sulah Ajishio.
1/2 tsp baking powder.
1 sudu besar serbuk cili-jika nak pedas tambahkan ya.

Adunan tepung(gaul sebati)

1 1/2 cawan tepung gandum.
1 1/2 cawan tepung jagung.
1 sudu besar tepung beras pulut.
Sedikit garam.
Lada sulah cap Ajishio.
Lada hitam cap ajishio.
1/2 sudu kecil baking powder.
2 sudu besar serbuk cili.

2 biji telur-pukul hingga kembang.

Cara-caranya.


  • Perap ayam yang di perap dengan bahan perapan selama 30 minit.
  • Celupkan ayam dalam telur dan golekkan ke dalam adunan tepung.Biarkan sekejap baru di goreng dengan minyak yang banyak.
  • Jika sukakan salutan yang tebal lakukan sebanyak dua kali.Celup kali kedua dalam telur dan golekkan dalam tepung baru di goreng.
  • Goreng dengan api yang sederhana agar mendapat hasil ayam goreng yang warna keemasan dan masak isi dalamnya.



Wednesday, August 20, 2014

Siew Pau




Siew Pau

Resipi dari dapur Sonia Nasi Lemak Lover.

Bahan-bahannya:

Inti

300 gm isi ayam di potong dadu.
80 gm bawang besar-cincang.
40 gm green peas-Cm guna yang dalam tin.

Perasa.

1 tsp garam.
2 tbsp gula atau secukup rasa.
1 tbsp sos tiram.
1/2 tbsp minyak bijan.
1 tbsp kicap cair.
1 tsp kicap pekat.
1 tsp kicap pekat berkaramel-optional.
Secubit serbuk Chinese five spices.

Bahan pemekat
 1/2 tbsp tepung jagung +1 tbsp air.

Cara-caranya:

  • Satukan bahan-bahan perasa di dalam satu bekas.Gaul rata.
  • Panaskan 3 tbsp minyak masak dan tumis bawang besar sehingga wangi.
  • Masukkan isi ayam dan masak sehingga bertukar warna ,masukkan green peas.Gaul sehingga sekata.
  • Masukkan bahan-bahan perasa  dan kacau perlahan-lahan jika terlalu pekat tambahkan sedikit air.
  • Akhir sekali masukkan bahan pemekat.
  • Bila telah siap ,ketepikan.


Doh A (Water dough)

200 gm tepung gandum biasa.
60 gm salted butter.
2 tsp gula halus.
100 gm air.

Doh B (oil dough)

160 gm tepung gandum biasa.
100 gm lemak sayuran.

Bahan sapuan : telur kuning +sedikit air.
Bijan putih secukupnya.

Cara-caranya:


  • Doh A(dengan cara rub in method)satukan butter ,tepung serta gula menjadi serbuk roti .Perlahan-lahan masukkan air hingga menjadi doh yang licin.Biarkan rehat selama 10 minit.
  • Doh B,campurkan lemak sayuran dan tepung sehingga menjadi doh yang licin dan biarkan selama 10 minit.
  • Bahagikan doh A dan doh B menjadi 20 biji.(doh A~19 gm,doh B ~12 gm )Bulat-bulatkan menjdi bentuk bebola kecil.
  • Balutkan doh Adengan doh B,macam nak buat karipap pusing tu ya.Bulat-bulatkan.
  • Gelek membujur dan gulung.Kemudian gelek sekali lagi dan gulung,kerat dua dan bentukkan menjadi bebola .
  • Gelek doh dan isikan dengan inti lebih kurang 25 gm.Tutup dengan kemas dengan cara memicit bahagian hujung sehingga bercantum.
  • Sapukan dengan kuning telur dan bakar selama 15 minit dengan kepanasan oven lebih kurang 200C terpulang pada jenis oven yang di gunakan.
  • Setelah 15 minit keluarkan dari oven dan sapukan sekali lagi dengan kuning telur dan tabur bijan secukupnya.Kembalikan ke dalam oven selama 15 minit lagi.





Wednesday, July 2, 2014

Karipap

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Alhamdulillah hari ini masuk hari ke empat  umat islam berpuasa.Semasa zaman kanak-kanak Cm dilatih berpuasa sejak kecil  lagi oleh arwah Wan tetapi arwah selalu beri kelonggaran.Katanya jika tak larat berbuka lah,jika terlalu lapar  berpuasalah setengah hari....apabila arwah Wan cakap macam tu Cm lagi rasa nak puasa ..lagi kuat semangat untuk meneruskan puasa  lagi pun jika tak berpuasa tiada apa pun yang boleh dimakan ......

Cm berdoa semoga Wan ditempatkan di syurga bersama orang-orang yang soleh.Setiap kali Ramadhan rindu ku pada Wan menghimpit perasaan.Terima kasih Wan atas segalanya....insyallah akan sentiasa ku sedekahkan bacaan ayat ayat suci pada mu wahai  ayahanda....berehatlah dengan aman di sana...Insyallah kami akan menyusul kemudian....

Maafkan Cm kerana beremosi sikit pagi ini.Ramadhan kali ini Cm merasakan diri ini semakin sihat dan lebih bertenaga.Semasa berbuka Cm lebihkan makan buah-buahan dan hanya mengambil sesenduk kecil nasi.Badan dah mula rasa ringan.Alhamdulillah .Tetapi penyediaan makanan "on" seperti biasa kerana ada dua anak lelaki bujang berpuasa dengan kami pada tahun ini.Rasa seronok melihat anak-anak berselera makan.Hilang penat dan lelah memasak.Rasa terharu bila anak-anak cakap sedapnya mama lauk ni atau kuih ni....pstt bila kena puji rasa over over la pulak kan hikhik.

Ok...kuih karipap memang menjadi pilihan anak -anak.Katanya karipap mama paling best hehe.Kembang hidung ;)p  ...Jadi stok karipap frozen sentiasa ada dalam freezer.Kali ini Cm guna resipi Tun.Alhamdulillah memang sedap.Terima kasih Tun.

Karipap

Resipi asal: Tun Telani.

Doh.

Bahan-bahannya:

4 cawan tepung gandum.
2 sudu besar marjerin.
3/4 cawan air.
1/2 sudu teh garam.

Cara-caranya:


  • Panaskan minyak dan marjerin dalam kuali kemudian tutupkan api.
  • Masukkan tepung kedalam kulai dan gaul sehingga sebati dengan menggunakan senduk kayu.
  • Sejukkan sekejap baru tuangkan air+garam dan uli sehingga sekata.
  • Sedia untuk di gunakan.Terpulanglah nak buat inti apa ya :)


** Cm guna rempah kerutuk untuk intinya.

Friday, April 4, 2014

Nasi Ayam Hainan.


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Selalunya jika kami makan di luar nasi ayam menjadi pilihan suami Cm  kerana tidak pedas  dan ada sup.Begitu juga dengan si Adik jika dia malas nak buat pilihan.Tetapi nasi ayam Hainan  kami tak pandang walaupun sebelah mata.Sebabnya ....sebab dah set di kepala ayam rebus mana lah sedap..nampak pun kurang menarik...hari ini Cm cuba mengubah apa yang ada dalam kotak fikiran kami selama ini....jika kita pandang negatif maka negatif lah jadinya....

Hari ini kami hanya tinggal berdua sahaja kerana si Adik ke rumah kawan baiknya dan bermalam di sana jadi Cm hanya masak 2 keping paha ayam untuk makan tengahari dan malam kami...Hmm si adik dah besar dan mula belajar kuatkan kepak untuk persediaan terbang  meninggalkan "sarang"..kakak-kakaknya serta si Abang mula tinggal di sekolah berasrama penuh ketika memasuki form 4....

Cepatnya masa berlalu terasa terdengar-dengar  si adik menangis kerana enggan  untuk ke sekolah. setiap pagi......katanya I hate school......eh nostalgia pulak...dah lari dari tajuk ni hehe.
Ayam.

2 keping paha ayam.
3 inci halia-ketuk.
3 ulas bawang putih-ketuk.
1/2 biji timun tua-Saiz kecil je ya.
1/2 batang dahan seleri-potong kecil.
5 cawan air /secukupnya/adjust mengikut kesesuaian.
Garam secukup rasa.

1 bekas air ais.
Sedikit minyak bijan.

Nasi.

2 cawan beras basmati.
1 tbsp minyak jagung.
2 ulas bawang putih.-ketuk
2 inci halia.-ketuk
Garam secukup rasa.
Air rebusan ayam secukupnya.
1 helai daun pandan.

Cara-caranya:

Ayam

  • Ayam direbus bersama halia , bawang putih ketuk serta batang seleri.
  • Masukkan garam dan lada sulah.
  • Bila ayam hampir masak masukkan potongan timun tua.
  • Keluarkan ayam dan terus masukkan kedalan air ais.Biarkan sekejap.
  • Toskan ayam dan sapukan dengan sedikit minyak bijan.

Nasi


  • Panaskan minyak dan tumis bawang putih serta halia.
  • Masukkan beras dan dikacau-kacau sekejap.
  • Tuangkan air rebusan ayam dan masak nasi seperti biasa.
  • Jangan lupa masukkan garam dan daun pandan.



Cili Sos

 6 biji cili masak.
1 inci halia.-tumbuk.
2 ulas bawang putih-tumbuk.
2 biji limau kasturi..
Sedikit gula Melaka.
Garam secukup rasa.


  • Kisar cili masak,halia dan bawang putih dengan sedikit air sehingga hancur.
  • Masukkan gula Melaka,garam dan perahan limau kasturi.
  • Masak sehingga pekat.
Sos kicap.

2 ulas bawang putih.-tumbuk halus.
3 tbsp kicap manis.
3 tbsp sos tiram.
Sedikit garam dan gula.
1/2 tbsp  tepung jagung.
1/3 cawan air.

Satukan semua bahan-bahan diatas dan masak sehingga pekat.




Tauhu Lembut.

Tauhu di potong kiub dan di tabur dengan sedikit tepung.Goreng sehingga perang.

Sup.

Ambil lebihan  air rebusan ayam tadi dan adjust rasa garamnya.Masukkan sedikit lada sulah.


(Siaran Tertunda)

Wednesday, December 18, 2013

Nasi Labu & Ayam Panggang.

Nasi Labu.
Resipi asal: Dapur Cikmanggis.

Bahan-bahannya:

4 cawan beras basmathi.
4 ulas bawang putih.-tumbuk halus.
1 inci halia.-tumbuk halus.
2 tbsp udang kering.-tumbuk halus.
1/2 biji labu-potong kiub.
1/2 tsp lada sulah.
Garam secukup rasa.
Minyak jagung untuk menumis.

Sayur atau ulam.

Salad.
Timun.
Buah tomato.
daun pasli

Tabur

Bawang goreng.

Sos

Sos cili Thai.


Cara-caranya:


  • Cuci beras dan toskan.
  • Panaskan minyak jagung dan tumis bawang putih,halia dan udang kering sehingga wangi.
  • Masukkan labu dan beras.Gaul sehingga rata.
  • Kemudian masukkan garam dan lada sulah.Kacau sehingga sebati.
  • Tuangkan 4 cawan air dan tanak nasi sehingga masak.

Ayam Panggang.

Resipi asal: Mommy Maryam.

Bahan-bahannya:

1 ekor ayam-belah dua.
1 ketul kecil halia.
Garam secukup rasa.
Sedikit lada sulah.


Bahan-bahan untuk disapu pada ayam

1 ketul kecil gula Melaka.
2 tbsp kicap manis.
1 tbsp kicap cair.
2 tbsp sos tiram.
Sedikit garam.
2 inci halia.
4 ulas bawang putih.

Cara-caranya:

  • Ayam direbus dengan halia,bawang putih,garam dan lada sulah sehingga masak.Toskan airnya.
  • Masukkan ayam ke dalam oven dan panggang sehingga kulitnya kering.
  • Sementara menungga ayam dimasak sediakan baha-bahan sapuannya.
  • Tumbuk halia,bawang putih sehingga lumat.Masukkan gula merah,garam,lada sulah,kicap manis dan kicap cair serta sos tiram.
  • Hamcurkan dengan menggunakan alu lesung sehingga sebati.
  • Keluarkan ayam dan sapu bahagian atas sehingga rata.Bakar sehingga perang.
  • Keluarkan ayam dan terbalikkan.Sapu dibahagian bawahnya sehingga sekata dan panggang lagi ayam sehingga kedua belah bahagian berwarna perang keemasan.

Hidang ayam panggang bersama Nasi Labu.Hias dengan daun pasli dan bawang goreng.Jadikan air rebusan ayam tadi  sebagai sup.Potong timun dan buah tomato serta daun salad untuk sayurnya.Kali ini Cm tak buat sos tetapi hanya menggunakan sos cili Thai.Alhamdulillah.Semoga rezeki ini di berkati olehNya.Insyallah.

Sunday, November 24, 2013

Loh Ma Gai


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Salah satu makanan kegemaran suami Cm ni ....Jom kita lihat apakah bahan-bahannya :)


Bahan-bahannya:

1 1/2 cawan beras pulut-rendam selama 2 jam dan toskan.
4 ulas bawang putih.-tumbuk kasar.
1 tbsp udang kering.-rendam sekejap dan ditumbuk kasar.
5 kuntum cendawan kering-rendam sehingga kembang-cuci dan hiris nipis.
1/2 tsp lada sulah.
sedikit halia-ditunbuk halus.
Sos tiram-secukup rasa.
Kicap manis -secukup rasa.
Kisap masin-secukup rasa.
1/2 cawan isi ayam yang dipotong kecil.
Sedikit minyak untuk menumis.
1/2 cawan air.


Hiasan:

Daun bawang.
Daun sup.
Cili masak.
Bawang goreng.
Cara-caranya:


  • Panaskan minyak dan tumis bawang putih ,halia dan udang kering sehingga wangi.
  • Masukkan cendawan dan isi ayam.Gaul sehingga mesra.
  • Kemudian masukkan sos tiram,kicap masin dan kicap manis serta lada sulah.Kacau sehingga sekata.
  • Masukkan beras pulut dan gaul sehingga sebati.Masukkan 1/2 cawan air dan kacau-kacaukan  sehingga sekata.
  • Akhir sekali masukkan pulut ke dalam pengukus dan kukus sehingga masak.


Hidang bersama hirisan daun bawang,daun sup,cili masak dan bawang goreng.Cm pulak suka makan dengan sos cili.Selamat mencuba.

Friday, November 8, 2013

Ayam Lemon.

Bahan-bahannya:

2 keping dada ayam.
1 biji lemon.
2 ulas bawang putih.-tumbuk halus.
Sedikit sos tiram.
Garam secukup rasa.
Sedikit lada sulah.
Minyak untuk menggoreng.
1 biji putih telur.
Tepung gandum secukupnya.


Sos

1 biji lemon.-ambil jusnya dan parut kulitnya.
1 cawan air.
Gula secukup rasa.
1 tbsp tepung jagung.

Cara-caranya:


  • Ayam di potong kecil.
  • Lemon diperah jusnya.
  • Perap ayam bersama garam,lada sulah,bawang putih,sos tiram dan jus lemon.
  • Pukul telur putih sehingga kembang.
  • Celup ayam dengan putih telur dan golek di atas tepung gandum sehingga rata.
  • Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga ranggup dan warna perang keemasan.Ketepikan.
  • Masukkan 1 cawan air ke dalam periuk.Didihkan.
  • Masukkan jus lemon,parutan kulit lemon dan gula secukupnya.Bancuhkan 1 tbsp tepung jagung dan masukkan kedalam sos lemon tadi.
  • Seimbangkan rasa masam dan manisnya.Siram ke atas ayam goreng tadi.Siap untuk di hidangkan bersama nasi panas.

Selamat menjamu selera dan selamat berhujung minggu :)

Thursday, October 3, 2013

Ayam Goreng Kalasan Berseri / Tepung Oh Tepung...


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Kita dikejutkan dengan berita kematian 4 orang di Kedah akibat keracunan makanan di majlis kenduri kahwin.Ayam masak merah puncanya.Berita ini sungguh menakutkan Cm.Menyediakan makanan untuk 2000 tetamu bukan jumlah yang sedikit dan bukan kerja yang mudah.Tak tahu berapa ratus ekor ayam yang perlu di sediakan.Apabila memasak dalam jumlah yang begitu besar maka aspek kebersihan perlu di titik beratkan (Bila masak sedikit pun kebersihan di utamakan juga  tetapi lebih senang di uruskan ).Tak tahu lah bagaimana silapnya sehingga berlaku perkara yang tidak siapa pun yang inginkan itu :(

Semasa anak menantu dan cucu balik bercuti minggu lepas Cm beli dua ekor ayam kampung untuk  dimasak Ayam Goreng Kalasan Berseri .Alhamdulillah ayam kampung sangat sesuai dimasak begini kerana ayam perlu direbus  terlebih dahulu dengan bumbunya  sebelum di goreng.Ayam kampung isinya agak pejal dan jika direbus ianya tak cepat hancur..


Resipinya ada di  Ayam Goreng Kalasan Berseri.Insyallah anak anak anda pasti menyukai ayam yang dimasak dengan cara ini.Serdak dari bumbu  dan kelapa parut tu sedap dimakan ketika masih panas.Gaulkan dengan nasi panas memang "menyangkut" sekali  :)

Tepung Gandum.

http://articles.mercola.com/sites/articles/archive/2009/03/26/The-Little-Known-Secrets-about-Bleached-Flour.aspx

Jika ada masa silalah baca tulisan berkaitan dengan tepung gandum ini.Memang menakutkan.Mesti cari jalan atau pilih tepung gandum yang lebih sihat contohnya  tepung  gandum organik.Cm menggunakan tepung yang agak banyak setiap bulan kerana masak roti sendiri dirumah.




Saturday, September 21, 2013

Sup Ayam Kampung

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Bahan-bahannya:

1/2 ekor ayam kampung (saiz kecil rm 12 sekor)
2 biji buah pear.
1 biji buah apple.
1 biji ubi  kentang.
 1 batang karot.
5-6 biji kurma cina.
2 biji buah tomato.
1/2 batang leek.
1/2 tsp lada sulah.

Cara-caranya:


  • Ayam di buang kulitnya dan di potong mengikut saiz yang di kehendaki.Bersih dan toskan.
  • Apple ,pear,kentang  dan buah tomato di potong empat.
  • Leek di kerat-kerat.
  • Karot di belah dua dan di potong agak besar agar tak hancur semasa di reneh nanti.
  • Masukkan semua bahan-bahan di atas ke dalam periuk dengan air yang mencukupi.
  • Masak dengan api yang perlahan sehingga ayam empuk dan kuahnya bertukar menjadi sedikit keruh.
  • Akhir sekali masukkan lada sulah.
  • Sup ayam seperti ini tak perlu letak garam atau perasa lain.Lebih sedap jika di kekalkan dengan  rasa asalnya.





Alhamdulillah kami dah siap makan sup ayam ni  :).Rasanya seakan-akan Stew Ayam .Sesuai untuk yang nak kurangkan berat badan atau yang suka dengan diet yang sihat.Cm sangat suka buah pear dalam sup ni.Sedap ada rasa masam-masam manis.



Saturday, July 13, 2013

Roti Kerca

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Salam Ramadhan pada semua muslimin dan muslimat yang dikasihi.Berpuasalah nescaya kamu sihat ...salah satu hadis nabi berkaitan dengan puasa.Jadi jangan jadikan alasan takut  jatuh sakit jika berpuasa ya :)

Jika tak mahu makan nasi hari ini ,Cm ada resipi Roti Kerca untuk di sajikan pada keluarga tercinta.Alhamdulillah anak dan suami Cm dapat menerimanya tanpa banyak komen lagi pun mereka tidak cerewet tentang makanan.Apa yang Cm hidang mereka makan dengan berseleranya .Cm akan pastikan tidak pedas,masam dan terlalu beminyak.


Bahan-bahannya:

3 cawan tepung gandum.
1 biji telur.
1/2 tsp serbuk kunyit (optional)
2 tbsp minyak masak.
1 tsp garam.
3 cawan susu segar.

Cara-caranya:


  • Masukkan semua bahan-bahan diatas ke dalam blender.
  • Kisar sehingga sebati jika adunan terlalu pekat boleh tambah sedikit air.Sesuaikan dengan jenis tepung yang di gunakan.
  • Perap selama 10 minit.
  • Panaskan kuali nonstick tuangkan sesenduk kecil adunan dan gerak-gerakkan kuali agar tebalnya sekata.Lakukan seperti membuat kuih dadar.
  • Bila masak gulungkan .Potong mengikut selera masing-masing.


Kari Ayam:

Bahan-bahannya:

1 ekor ayam kampung (saiz kecil)-potong kecil.
1 1/2  tbsp serbuk kari.
2 biji ubi kentang.-belah empat.
3 cawan susu segar.
1/2 tbsp  plain yogurt.
1 biji buah tomato-belah empat.
2 kuntum bunga lawang.
2 biji buah pelaga.
2 kuntum bunga cengkih.
2 inci kulit kayu manis.
1 labu bawang besar-cincang.
2 inci halia-mayang halus.
1 biji cili hijau-tumbuk kasar.
2 ulas bawang putih-cincang halus.
Garam dan gula secukup rasa.
Sedikit minyak jagung untuk menumis.

Cara-caranya:


  • Bancuh rempah kari dengan sedikit air.Ketepikan.
  • Panaskan sedikit minyak jagung dan tumis bunga cengkih, bunga lawang,kayu manis dan buah pelaga.
  • Kemudian masukkan cili hijau, halia,bawang merah dan bawang putih.Tumis sehingga naik baunya.Masukkan rempah kari.Gaul rata.
  • Masukkan ayam dan kacau hingga mesra.Apabila air ayam hampir kering masukkan susu segar,buah tomato,kentang,yogurt dan garam serta gula secukup rasa.
  • Jika kuahnya terlalu pekat adjustlah mengikut selera sendiri.Boleh tambah sedikit air atau susu segar.
  • Hidang bersama roti kerca :)

Thursday, June 27, 2013

Ayam Lemon

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Menu orang yang tak suka pedas.Ayam Lemon tetapi sesiapa yang mempunyai selera "cili api" rasanya menu ini bukan pilihan mereka :).Dulu Cm pernah buat dah kat SINI.Kali ini Cm ambil resipi DISINI.Resipi yang sungguh ringkas tetapi sesuai dengan selera kami anak beranak .Cm dah ubah suai mengikut selera sendiri.

Bahan-bahannya:

3 keping dada ayam -potong kiub atau memanjang.
1 1/2 cawan tepung jagung.
1/2 tsp garam.
1/3 tsp serbuk lada hitam.
1 tsp parutan halia.
3 biji kuning telur.-pukul ringan dengan garfu.
Minyak untuk menggoreng secukupnya.

Sos Lemon.

1 1/2 cawan air.
1/3 cup jus lemon.
1 1/2 tbsp light brown sugar.
2 tbsp tepung jagung.
1/2 tbsp madu.
1/2 ketul kiub perisa ayam.
1/2 tbsp parutan halia.
Sedikit pewarna kuning-optional.

Cara-caranya:


  • Perap isi ayam bersama garam,lada hitam dan parutan halia.
  • Celup isi ayam dalam bancuhan kuning telur.Kemudian golekkan atas tepung jagung.
  • Panaskan minyak.Goreng sehingga ranggup.Ketepikan.
  • Sediakan sos Lemon.
  • Satukan semua bahan-bahan untuk sos lemon.Kacau hingga sebati.
  • Masak sehingga mendidih.Jika nampak terlalu pekat boleh tambah air.Seimbangkan rasa masam,manis dan masin.
  • Tuangkan ke atas ayam goreng tadi.
  • Siap untuk dihidangkan dengan nasi panas.
Semoga anakanda Aqma Mimie berpuas hati dengan resipi yang makcik letak ni :) selamat mencuba.

Friday, June 14, 2013

Kebab Ayam Berkeju

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Pagi tadi Cm ada temujanji dengan fisio dan tengahari pulak ada urusan di bank jadi makan tengahari kami anak beranak hanyalah kebab ayam yang sungguh ringkas tetapi berkhasiat serta seimbang...

Jika anda nak cepat atau  tidak cukup masa untuk menyediakan hidangan untuk keluarga dan tak suka tapau makanan dari luar ..bolehlah cuba resipi ini :)

Bahan-bahannya:

1 peket capati segera.
2 dahan daun salad.
1 biji buah tomato.-dadu
2 keping dada ayam-ambil isinya.
1 labu bawang besar-cincang.
Sedikit parutan  keju mozarella
Sedikit minyak zaitun.
Sedikit sos cili.
Sedikit sos tomato.
Sedikit mayonis.
Sedikit lada sulah.
Sedikit garam.

Cara-caranya:


  • Ayamn di rebus dan di siat siat isinya.
  • Panaskan sedikit minyak  zaitun dan tumis bawang besar hingga wangi.
  • Masukkan isi ayam,garam,lada sulah  dan buah tomato.
  • Gaul sehingga rata.-ketepikan.
  • Sementara itu panaskan capati sekejap agar lembut dan senang untuk di gulung.
  • Isikan ayam dan letakkan sedikit sos tomato,sos cili dan mayonis.
  • Taburkan dengan sedikit parutan keju dan gulung hingga kemas.
  • Ikat dengan tali agar tidak terburai semasa membakarnya nanti..Lakukan proses yang sama sehingga selesai.
  • Aturkan ke atas dulang dan taburkan dengan sedikit keju parut.
  • Renjiskan dengan sedikit minya zaitun.
  • Masukkan ke dalam oven dan bakar sehingga perang.
  • Hidangkan bersama potongan daun salad.
  • Sedap di makan ketika masih panas.

Selamat berhujung minggu  :)

Tuesday, June 11, 2013

Tom Yam -Ala Cik manggis.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Cm memang suka masakan Thai terutamanya Tom Yam tetapi anak-anak dan suami tak boleh makan jika menggunakan paste segera yang di jual kat kedai tu.Pastinya ada  yang  sakit perut jadi terpaksalah Cm buat paste "sendiri punya" :)..Cm merayau rayau kat dapur kawan -kawan bloggers dan terjumpa yang serasi dengan selera kami selepas di ubah suai sana sini.Terima kasih Azie. dan minta maaf sebab "derhaka" pada resipi asalnya.Pinjam kata-kata Cik Mat Gebu 

Bahan-bahannya:

Paste Tom Yam.

10 ulas bawang merah.
1 labu bawang besar.
1 tbsp udang kering.
Sedikit belacan-sangai sekejap.
1 inci lengkuas.
4 helai daun limau purut.
3 batang serai.
Garam dan gula secukup rasa.
Sedikit air asam jawa.

Cara-caranya:


  • Kisar semua bahan-bahan di atas.
  • Panaskan minyak dan tumis sehingga pekat.
  • Seimbangkan rasa masin,manis dan masam.
  • Sedia untuk di gunakan.Boleh buat banyak-banyak dan simpan dalam peti sejuk.

Bahan-bahan Sup Tom Yam.

Ayam-di potong kecil.
Udang -bersih dan kopek kulitnya.
1 labu bawang besar-potong 6
2 batang serai-ketuk
1 inci lengkuas -ketuk.
5 ulas bawang putih-ketuk.
5 helai daun limau purut.
2 biji buah tomato-belah 4.
1 ketul kiub ayam.
1 tbsp sos nampla
2 biji limau nipis-ambil jusnya.
Garam secukup rasa.
Daun ketumbar secukupnya.
Cili api-masuk sebiji sebiji-bila nak makan baru picit :)


Sayur:

Kobis
Karot.
Jagung muda.
Cendawan.
Bunga kobis.


Cara-caranya:


  • Rebus ayam sekejap.
  • Masukkan kiub ayam,serai,bawang putih,bawang besar,daun limau purut  dan lengkuas.
  • Kemudian masukkan udang.
  • Apabila telah mendidih baru masukkan pes tom yam ,tadi Cm masukkan 2 tbsp sebab kuahnya sedikit je.Adjust mengikut kesesuaian.
  • Masukkan sos nampla.garam,jus limau nipis ,sayur sayuran dan daun ketumbar.
  • Akhir sekali masukkan Cili padi.
  • Siap untuk di hidangkan.
Setelah di hidangkan Cm akan asingkan satu mangkuk kecik untuk diri sendiri dan picit cili api biar betul betul kaw kaw gitu,Jika tak cukup masam Cm akan tambah extra jus limau.Baru berpeluh-peluh hidung di buatnya.Tak cukup nasi nak ditambah tau hehe.Selamat mencuba :)

Wednesday, March 27, 2013

Burger Ayam....Sendiri Bikin :)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Hari ini tak rasa nak keluar kemana-mana.Jalan pun masih dengkok dengkok lutut yang telah lama menderita menanggung beban yang sungguh berat :),cuaca pun panas.Malas nak mengharung cuaca panas untuk ke pasar.Makan je apa yang ada dalam peti sejuk tu.

Angah selalu usik,katanya peti sejuk mama ni bertahan sebulan jika berlaku peperangan hehe.Minta dijauhi segala mala petaka.Marilah kita berdoa agar Malaysia akan sentiasa aman dan makmur....Moga Allah melindungi Malaysia bumi tercinta ini.Hidup dan mati ku disini...mana lagi nak pergi kan...Kita dilahirkan disini..nenek moyang kita di lahirkan disini.....wah..tetiba rasa patriotik pulak....
Kali ini Cm buat burger sendiri.Burger yang sungguh simple.Hanya isi ayam dan bawang besar serta perisa ayam je....

Bahan-bahannya:

350 gm isi ayam-kisar halus.
1 cawan serbuk roti.
1 ketul kiub pati ayam.(Jika tak suka perisa letak je garam)
1 labu( besar) bawang besar.-cincang halus.

Cara-caranya:

Masukkan semua bahan-bahan diatas kedalam food processor kecuali serbuk roti.Kisar sehingga sebati.Keluarkan dari pengisar dan masukkan serbuk roti sedikit demi sedikit dan gaul hingga sebati.

Bentukkan bulat seperti burger,Panaskan sedikit minyak jagung dan pan fry sehingga masak.

Burger Ayam ni boleh dihidangkan bersama-sama kentang goreng dan Onion  Relish.Letaklah apa-apa sayur yang digemari dan mengikut kreativiti masing-masing.Tadi tiada roti burger dalam simpanan jadi Cm guna roti biasa dan kepingan cheese .Jom kita lihat bagaimana nak sediakan Onion Relish.

Bahan-bahannya:

Resipi Asal DISINI..(mana pergi budak Tummy ni,lama menghilang.mmkoi ya Tummy)

2 labu bawang besar,-mayang halus.
30 gm butter.9Cm guna 1/2 je)
1 tbsp gula merah.
1 tbsp balsamic vinigar-cm guna apple cider.
Sedikit garam dan lada hitam.
Satukan bawang dan butter kedalam periuk dan masak sehingga bawang layu.

Masukkan gula merah dan masak sehingga bertukar warna perang.Kemudian masukkan garam,lada hitam dan cuka.kacau sehingga nampak biji biji gula seakan kristal.Siap untuk dihidangkan bersama Burger Ayam kita tu :)


Selamat menjamu selera...Alangkan bahagianya apabila melihat orang yang kita sayangi menjamu selera dengan apa yang kita hidangkan dengan penuh kasih sayang ..semoga Allah memberkati segala rezeki yang halal yang kita hidangkan.....Bismillah....