LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
Showing posts with label ubi kayu. Show all posts
Showing posts with label ubi kayu. Show all posts

Thursday, January 8, 2015

Bingka Ubi Kayu




Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Bingka ubi Kayu.

Resipi asal :Citarasawan.
Sedikit ubah suai oleh :Makcikmanggis ;)

Bahan-bahannya:

400 gm ubi kayu parut.
100 gm kelapa parut.
200 ml santan kotak kara.
1 tbsp tepung kastad.
1 biji telur bersaiz kecil( Cm guna telur ayam kampung)
60 ml air.
100 ml sirap gula merah.(100 gm gula merah +50 gm gula perang+60ml air+1 helai daun pandan)masak hingga larut dan tapis.
1/4 tsp garam.
1 helai daun pandan.


Cara-caranya:


  • Ubi dikupas kulit dan di cuci bersih.Parut dan timbang.
  • Perah dan tos airnya dalam bekas selama 15 minit.Buang air jernih di permukaannya dan ambil pati ubi di bahagian bawah dan gaul dengan parutan ubi yang di perah  tadi.
  • Sapukan loyang dengan sedikit minyak masak dan alas dengan daun pisang.
  • Satukan semua bahan-bahan di atas,gaul sehingga sebati dan tuangkan kedalam loyang.
  • Bakar dalam ketuhar sehingga masak.

Alhamdulillah dapat juga Cm buat entry untuk permulaan tahun 2015 ini walau pun agak lewat.Selamat tahun baru semua.Cm tak nak cakap  azam tahun baru  sebab  yang tahun lepas pun belum tertunai :) hehe.semoga tahun 2015 ini   di berikan kesihatan yang baik dan dijauhi olehNya  dari sebarang musibah.......insyallah....doa untuk sahabat sahabat semua pun begitu juga...

Setiap kali menyambut tahun baru terasa usia semakin pendek......Semoga kita dapat melakukan sebanyak banyak kebaikan yang termampu....terima kasih kak1 Citarasawan kerana sentiasa berkongsi resipi dan tidak lokek ilmu.Cm doakan agar rezeki kakwan melimpah ruah.Insyallah.
Apabila di tambah dengan telur serta tepung kastad,bau bingka ini sungguh wangi  terutamanya ketika masih di dalam oven .
Rasa bingka Ubi kayu yang ini sungguh "kena" dengan selera Cm.:)
Selamat mencuba ya.....bak kata kak wan....Jika tak sedap beritahu kakWan tapi jika sedap beritahu kawan-kawan. 

Monday, June 17, 2013

Bingka Ubi Kayu Ala Nyonya.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Ubi kayu menjadi kegemaran Cm sejak dulu lagi.Tak kira lah di masak dengan apa cara sekali pun memang Cm suka.Rebus dan dimakan dengan sambal tumis pun sedap.Untuk menu berbuka puasa kami hari ini Cm masak kuih Bingka Ala Nyonya.Mendapat "Ilham" dari SINI dan SINI.Terima kasih Cik Cek dan En.Mat.

Satu resipi yang sungguh senang."Leburkan " semua bahan-bahannya dalam mangkuk.Kacau dan bakar...

Bahan-bahannya:

650 gm ubi kayu parut.
1 cawan kelapa parut.
250 ml air.
2 tbsp kelapa parut.
Sedikit garam.
230 gm gula halus.
1 tbsp tepung kastad.
Sedikit esen vanilla.
2 tbsp butter-cairkan-sejukkan.
Sedikit pewarna kuning.
2 biji telur.
Sedikit bijan untuk tabur.

Cara-caranya:


  • Panaskan oven.
  • Sapukan sedikit minyak masak pada loyang.
  • Kisar 1 cawan kelapa parut dengan 250 ml air sehingga hancur.Tuangkan semuanya ke dalam mangkuk bersama bahan-bahan yang lain tak perlu tapis ya.
  • Kacau sehingga rata dan gula larut.
  • Tuangkan adunan kedalam loyang.
  • Taburkan sedikit bijan dan  bakar sehingga masak.


Tunggu sehingga kuih betul-betul sejuk baru di potong ya..jangan tiru Cm ni yang tak sabar nak potong kuih  dan nak ambil gambar jadi hasilnya potongan yang tak lawa :)

Monday, June 18, 2012

Bingka Ubi Kayu

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Semalam kami gali ubi kayu yang kami tanam ,pokoknya hanya sebatang kara..tetapi saiz ubinya boleh tahan juga besarnya.Alhamdulillah.Cm suka makan ubi rebus dengan kelapa  tetapi anak-anak tak suka.Jadi petang tadi Cm parut ubi kayu tu dan bikin Bingka.



Bahan-bahannya:

4 cawan ubi kayu parut.
1 cawan gula.
2 cawan santan pekat.
2 biji telur.
100 gm butter.
Sedikit pewarna kuning.



Cara-caranya:

Satukan semua bahan-bahan diatas kedalam mangkuk yang sesuai.Gaul hingga sebati.Tuangkan kedalam loyang yang disapu dengan sedikit minyak.bakar hingga masak dan garing dibahagian atasnya.Biarkan kuih sejuk baru di potong.




Thursday, May 24, 2012

Tepung Bungkus Ubi Kayu.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Ubi Kayu.

Satu lagi menu orang "lama" membuatkan  Cm rasa  sungguh nostalgia..... terkenangkan masakan Mak.Sebenarnya Cm sangat sukakan apa-apa je kuih yang dibuat daripada ubi kayu.Sampaikan Liza dok tergelakkan Cm bila nampak ubi kayu:).Jika  dia ternampak ada orang jual ubi kayu di Pasar Malam,dia akan menalipon Cm....

 Arwah Wan (ayah) selalu bercerita pasal ubi kayu ni.Katanya inilah makanan zaman Jepun. Ubi kayu diparut dan dicampur dengan nasi kerana nak jimatkan beras.Orang-orang dulu   sungguh kreatif untuk hasilkan macam-macam jenis kuih daripada ubi kayu .Selain direbus,ubi kayu dibuat  ketupat ubi kayu,Poli,Bingka(Bengkang),Onde-Onde,bubur ,lempeng dan banyak lagi.....


Terima kasih Kak 1 kerana berkongsi   resepi yang sungguh sedap ini.Jika inginkan resepi kuih  orang dulu-dulu Kelantan bolehlah jengok ke dapur Kak Wan:)


Bahan-bahannya:

500 gm ubi kayu parut.
1  cawan gula( Cm letak 1/2 cawan je)
1/2 cawan santan pekat.
1/2 tsp garam halus.
1/2 cawan kacang merah rebus (Cm guna kacang merah dalam tin.)
Daun pisang secukupnya.-biarkan di panas mentari sekejap agar layu.


Cara-caranya:


  • Masak santan hingga naik minyak.
  • Kemudian masukkan gula.Kacau hingga gula hancur.
  • Padamkan api .Masukkan kacang merah,garam dan parutan ubi kayu.
  • Kacau hingga sebati.
  • Sudukan ke atas daun pisang.Bungkus dengan kemas dan kukus hingga masak.



Wednesday, March 28, 2012

Poli Ubi Kayu Keledek Bersagu.




Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Kuih Talam diatas Cm buat malam tadi sebelum masuk tidur.Resepi asal dari blog TC .Terima kasih TC.Semasa Cm baca bahan-bahannya rasa agak unik kerana ada ubi kayu,keledek dan  biji sagu .Warnya pula kuning keemasan kerana ada tepung kastad.Jika ubi kayu parut dan di kukus orang kampung Cm panggil kuih Poli Ubi Kayu jadi Cm jenamakan semula Talam ubi ini kepada Poli Ubi Kayu Keledek Bersagu.Maaf ya TC:)
Bahan-bahannya:)

335 gm ubi kayu parut.
75 gm keledek.-parut.
100 gm biji sagu.-rendam selama 5 minit.
150 ml santan pekat.
165 gm gula-Kurangkan jadi 120 gm.
10 gm tepung kastad.


Untuk Salut.
1/2 biji kelapa parut(putih)-kukus sekejap.
Secubit garam.


Cara-caranya:


  • Sapukan sedikit minyak pada loyang yang sesuai.
  • Bancuhkan bahan-bahan diatas sehingga rata.
  • Tuangkan kedalam loyang dan kukus dengan api yang besar sehingga masak.
  • Biarkan kuih betul-betul sejuk barulah di potong.
  • Gaul dengan kelapa yang dicampur dengan sedikit garam.



Untuk selera Cm ,kuih ni agak manis jadi Cm telah kurangkan kandungan gulanya .Selamat mencuba.






Friday, November 4, 2011

Tapai Ubi Kayu Goreng

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Hari ini baru Cm goreng Tapai Ubi Kayu kerana petang ini anak-anak dah balik.Maryam akan sampai malam nanti.:)ada macam-macam komen kerana mereka tak pernah makan Tapai Ubi Goreng seumur hidup mereka.Ini merupakan kali pertama mereka  merasainya.Cm beritahu mereka yang ini lah makanan kegemaran Cm masa kanak-kanak dulu.Tapai Ubi goreng di jual digerai-gerai goreng pisang di kampung Cm.
Bahan-bahannya:

Tapai ubi -(yang pejal sangat sesuai untuk di goreng.)

Tepung Goreng:

180 gm tepung gandum.
20 gm tepung kastad.
20 gm tepung ubi.
1 tsp baking powder
1/2 biji telur..
1 tbsp minyak masak.
300 ml air.

Sirap gula melaka-untuk cicah Tapai ubi goreng:)

Cara-caranya:

  • Bancuh bahan-bahan batter di atas.Kacau hingga sebati.
  • Panaskan minyak dalam kuali.Celup Tapai Ubi kedalam bancuhan tepung dan goreng hingga garing.

Macam-macam komen....

Komen Angah selepas dua keping makan:alamak rasa macam racun dan toksik... hahaha.
Komen Along:Peliknya rasa(sambil makan kulit je ..sedap betul kulit dia :)....
Komen Abah: Eh abah rasa ok je..Nyam..nyam..apa nama kuih ni..kihkih
Adik..sedap tapi tak suka :)
Komen Cm:Sedapppp dah 30 tahun tak makan goreng tapai ubi ni...berbaloi baloi:)..
Terima kasih Cm nak ucapkan pada Along Roz sebab berkongsi resepi yang enak dan sungguh exotik ini.Thank you Along:)

Terima kasih juga pada Ayin kerana resepi tepung goreng pisangnya sungguh enak sekali.Sejak pertama kali guna resepi ini dah jatuh cinta.Cuba lah kawan-kawan ya.

Tuesday, November 1, 2011

Tapai Ubi Kayu /Fermented Tapioca

Assalamualaikum dan selamat  sejahtera:)


Pagi yang penuh ceria:) kerana misi membuat Tapai Ubi Kayu telah berjaya.Bila tengok tapai ini Cm terkenang pada jiran Emak   di kampung yang dikenali ramai kerana keenakan tapai ubi buatannya.Jika sebut nama  Mok Noh Pok Loh pasti semua orang kampung Cm kenal.Beliau akan menjaja tapai dari rumah kerumah dengan menjunjung bakul tapai  diatas kepalanya.Setiap kali singgah di rumah emak  pastinya Mak akan membelinya.Sedap sungguh.Tapainya pejal dan sangat manis.Lihat lah tapai buatan Cm ni..pejal dan sungguh manis dapat lawan tapai Mok Noh hehe
Sebelum Cm kongsi resepi tapai ni Cm nak ucapkan terima kasih pada Along Roz kerana Cm ambik resepi dari dapur Along .Thank you Along:)
Bahan-bahannya:

1 kg ubi kayu
1 keping ragi (15 gm sekeping)
2 tbsp gula pasir.
Cara-caranya:

  • Kupas kulit ubi kayu dan potong mengikut saiz yang dikehendaki.
  • Cuci/basuh  dengan teliti agar tiada sedikit pun kotoran yang tinggal.
  • Rebus ubi sehingga 3/4 masak.(agak-agak)
  • Toskan airnya,ketepikan  dan biarkan betul betul sejuk.
  • Tumbuk ragi hingga hancur dan ayak ragi  agar tidak berketul ketul.
  • Gaul ragi dengan gula dan taburkan keatas ubi rebus tadi.Tabur biar rata.
  • Guna bekas yang bertutup dan biarkan di tempat agak gelap selama 36 jam.
Inilah hasilnya.Cm dah makan 2 ketul dan rasanya sedap sangat.Lupa pesanan doktor agar jangan makan makanan yang manis manis hehe:)

Komen:Sangat sedap tak percaya dapat hasilkan tapai yang sungguh manis dan pejal.Mengikut petua orang tua-tua kualiti ragi(yeast tapai) sangat penting untuk dapatkan hasil tapai yang sedap.Selamat mencuba dan tunggu menu seterusnya dari tapai:)

Monday, October 31, 2011

Bingka Ubi Kayu II

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Beberapa hari ini akan muncul menu -menu yang berasaskan ubi kayu dari dapur makcik Manggis kerana hari  Ahad lepas  Cm beli 3 kg ubi kayu di Dengkil. . Jadi sudah  ada dalam kepala ni apa yang hendak dibuat dengan ubi kayu tersebut:)...jangan pengsan pulak ya bila setiap hari Cm hidangkan ubi kayu pada kawan-kawan yang singgah di dapur Cm ini.
Bahan-bahannya:)

600 gm ubi kayu parut.
150 gm gula pasir.
1 tbsp minyak sapi.
2 biji telur
300 ml santan pekat.
1 tbsp pandan paste.
90 ml air.
1/2 tsp garam.
sedikit warna kuning.

Cara-caranya;)

Campurkan semua bahan-bahan di atas dan masukkan ke dalam loyang yang sesuai.Bakar hingga masak.Biarkan bingka betul-betul sejuk baru lah di potong.


Terima kasih pada AlongRoz kerana Cm ambil resepi dari dapurnya.:)

Komen:Sedap tapi kena bakar hingga betul-betul garing tepinya..untuk rujukan sila ke SINI untuk Bingka Ubi Kayu ( I)

Monday, August 1, 2011

Kuih Bingka Ubi Kayu (I)


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Ubi lagi ya hehe.Baki ubi  kayu parut semalam Cm masak bingka.Alhamdulillah sambutannya sungguh baik sekali.Kebetulan Angah dan suami berbuka bersama-sama kami hari ni.Meriah la  :)..kepada kawan kawan yang ingin mencuba resepi ini jangan teragak-agak memang sedap:)(puji sikit)......



Bahan-bahannya:(Sumber Rujukan dari Periuktanah)

4 cawan ubikayu parut.
1 cawan gula.
2 cawan santan pekat.
1/2 tsp garam.
100 gm butter
2 biji telur.
Sedikit pewarna kuning.


Cara-caranya:

Satukan semua bahan-bahan diatas kedalam mangkuk.Gaul hingga sebati.Tuangkan kedalam loyang yang sesuai.Bakar hingga masak.Apabila masak guna kan  api bahagian atas.Masak sekejap sehingga bahagian atas bingka perang.Biarkan bingka betul-betul sejuk baru di potong.Selamat mencuba ya:)

Terima kasih An dari periuk tanah.kerana berkongsi resepi yang sedap ini.Minta maaf banyak banyak sebab Cm ubah suai resepi ni  mengikut selera Cm hehe.Jangan marah An ya:)p...selamat berbuka puasa .

Kuih Talam Ubi Kayu @ Tepung Boko Ubi Kayu.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Selamat berpuasa kepada muslimin dan muslimat sekelian.Hari ini hari pertama berpuasa jadi malam tadi tidur pun tak berapa lena kerana asyik fikir untuk bangun sahur..exited sungguh:)...Cm bangun agak awal jam 4 pagi untuk sediakan makanan . Seperti biasa kami bersahur ala kadar sahaja.....Nasi goreng ,sayur dan buah serta minuman panas.
Kuih Talam Ubi Kayu ni Cm buat malam tadi.Pertamanya nak ucapkan terima kasih pada Si abang kerana tolong mama parut ubi kayu ni.Bersungguh-sungguh beliau memarut ubi.Selepas maghrib dia mulakan tugasnya dan di sambung selepas Solat terawih..terima kasih banyak banyak.Tanpa pertolongannya projek Kuih Talam ni pasti gagal kerana Cm dah tak larat nak parut ubi..penat sungguh selepas kembali dari kampung semalam.Ubi ni hasil pemberian mak mertua Cm.mmkoi Mama....

Bahan-bahannya-Sumber...Along Roz,Knor Ganu dan Cmg.

Bawah

600  ubi kayu yang diparut.
160 ml santan cair.
50 gm gula merah.
200 gm gula pasir.
Sedikit pewarna kuning.

Bahgian atas:

600 ml santan.
1/2 tsp garam.
40 gm tepung gandum.
70 gm tepung beras.

Cara-caranya:

Bahagian bawah.

  • Masak gula merah.gula pasir bersama santan cair dan daun pandan.
  • Tuangkan kedalam bekas yang mengandungi ubi kayu parut.Kacau hingga rata.masukkan sedikit pewarna kuning.Gaul lagi.
  • Tuangkan kedalam loyang yang sesuai dan ratakan.Kukus hingga masak.
Bahagian Atas.

  • Satukan semua bahan bahannya dan tapis.
  • Tuangkan keatas ubi kayu yang dikukus tadi.Kukus hingga masak.
  • Apabila masak buka penutup pengukus dan biarkan diatas api selama 10-15 minit.
  • Tunggu kuih betul-betul sejuk baru di potong.

Cm masak Talam Ubi kayu ni awal untuk berbuka puasa kerana Cm suka makan talam yang sejuk yang disimpan dalam peti ais terlebih dahulu.,,,,,sedap betul terutamanya bahagian atasnya.Terima kasih Nor,along dan Cmg....Bahagian atas tu memang perfect lah....
Terima kasih Along Roz kerana bagi kad ni...Cm dah gantung sebagai hiasan di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini.Makasih ya Along.
 Ini lah ubi kayu yang kami bawa balik dari kkampung:)

Tuesday, January 18, 2011

Bingka Ubi kayu Cheese.

Salam dan selamat sejahtera.Sebelum  masuk selimut(cuaca sejuk ni) Cm nak letak n3 Bingka ubi yang berdarjat tinggi ni hehe..pinjam kata kata Gerau:).Bingka Ubi kayu ala ala barat .Pertama kali cm jumpa resepi Bingka ubi kayu yang ada cheese.Satu kelainana.
Pertamanya Cm nak kalongkan penghargaan dan jutaan terima kasih pada Along Ros kerana sudi berkongsi resepi yang sungguh enak ini.Alhamdulillah Pak Encik  kita suka sangat makan bingka ni terutama bahagian yang garing tu..sedapp!!!Cm nak minta izin dari Along Roz nak C&;P resepinya ya.Oh ya sebelum tu Cm nak gantungkan award yang Along kasi kat cm ni..makasih ya:)

Canggihnya boleh bergerak gerak tu :)
 Yang ni award dari ilahjy..terima kasih ilah tapi awat yang ni dok diam je hehe


By: Roz@HomeKreation
Source: Friend
Makes 8" sq
INGREDIENTS:
250g Cream Cheese
250g Sugar
2 Eggs
800g Fresh Grated Tapioca - let it drip off in strainer 
400ml Coconut Milk
Yellow Coloring

METHOD:
1.Beat cream cheese & sugar until smooth.
Add in egg one by one while beating.
Add in tapioca & coconut milk.

2. Bake at 170C for 1hr 30min until cooked.
Cool completely at room temperature before slicing.

Monday, February 23, 2009

Talam ubi kayu

Bahan-bahan atas:
  • 400 ml santan
  • 125 gm tepung beras(saya guna 100 gm)
  • 25 gm tepung ubi(saya guna 15 gm)
  • secubit garam
Bahan-bahan bawahnya:
  • 500 gm ubi kayu parut yang diperah airnya
  • 150 gm gula pasir
  • 50 gm tepung sagu(saya guna 30 gm)
  • 400 ml santan
  • sedikit pewarna kuning
Cara-cara membuatnya: Bancuh bahan -bahan bawah sampai sebati,kemudian tuangkan kedalam loyang yang telah disapu minyak.kukus selama 30 minit. Kemudian bancuh bahan atas sampai rata ,tuangkan adunan keatas ubi dan kukus selama 40 mminit atau sampai masak.Angkat dan sejukkan baru di potong. Percubaan pertama saya membuat kuih talam ni, bahagian atasnya agak keras sikit.Mungkin timbangan saya tak tepat atau teknik memasak tu salah atau sebagainya. Kali ni saya adjust bahan-bahan bawah dan atas.Walaupun belum sempurna tapi hasilnya lebih baik dari yang dulu.Resepi asal saya ambil dari buku CITARASA KUIH TRADISIONAL .

Monday, February 9, 2009

Ubi kayu rebus

Ubi kayu rebus:
Ubi kayu dibuang kulit dan dipotong. Rebus dengan sedikit garam. Kelapa parut (putihnya saja)panaskan dalam ketuhar mikro sekejap Gaulkan dengan secubit garam Hidangkan ubi rebus dengan kelapa parut dan gula. Atau sambal ikan bilis...ikut selera masing-masing

Petang tadi selepas menemani anak-anak cikmanggis berenang tak sempat nak masak apa-apa untuk minum petang.Penat betul duduk "sebek" tepi kolam.Anak perempuan cikmanggis mengajar adik lelakinya berenang...nampak gayanya "kenyang" jugalah adiknya minum air kolam tu.Hampir separuh kolam renang tu adalah kanak-kanak.Riuh rendahnya tak terkata...ibu dan ayah pula dok menguap je tepi kolam. Balik dari kolam renang perut terasa sungguh lapar.Arini cikmanggis masak rice porridge je...tp ini adalah favt suami dan anak anak..

.Makan malam adalah bubur dan minum petangnya ubi rebus makan dengan kelapa dan gula....klasik bunyinya..hehe.Pada awalnya anak-anak dan suami tak "pandai"makan ubi kayu dengan kelapa atau sambal ikan bilis tp lama kelamaan dorang makan juga sb ini adalah favt cikmanggis...hehe ambil hati!

Monday, February 2, 2009

Lepat ubi kayu

Bahan-bahannya:

1 kg ubi kayu(parut)
100 gm kelapa parut
1/2 sudu teh garam
150 gm gula merah
100 gm santan pekat
. Daun pisang secukupnya

. Cara-caranya:
1. Ubi kayu parut diperah buang airnya
2. Gaulkan gula merah,garam,santan,kelapa dan ubi kayu parut kacau hingga sebati
3. Masukkan 2 sudu makan adunan tadi kedalam
daun pisang
4. Bungkus kemas-kemas
5. Kukus sehingga masak.