LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
Showing posts with label recipe. Show all posts
Showing posts with label recipe. Show all posts

Sunday, July 3, 2022

Asam Keping



Assamualaikum, Salam di hujung minggu. Jika saya ke Pasar tani atau pasar pagi dan ada orang jual buah asam gelugur saya pasti akan beli beberapa biji untuk di keringkan. Selalunya yang menjual ni makcik-makcik yang jual sayur kampung. Hari tu saya beli 6 biji.



Balik rumah saya cuci buah asam gelugur bersih dan di hiris nipis.Cuaca pulak panas terik jadi jemur dalam 2 hari ianya sudah kering dengan cantik. Bila kering saya simpan dalam peti sejuk untuk mengelakkan ianya bertukar warna jadi hitam. 


Saturday, July 2, 2022

Nasi Tumpang




Nasi tumpang makanan kegemaran semasa zaman kanak-kanak dulu. Apabila merantau keluar dari Kelantan agak susah nak jumpa orang jual, jadi pilihan yang ada kena masak sendiri.



Bahan-bahannya :

Nasi

2 cawan beras wangi

5 cawan air

Saya menggunakan periuk tekanan Philips . Masukkan beras dan air, guna butang rice 14 minit. Apabila masak, buka penutup dan kacau sehingga beras sebati. Tekan butang utk bake selama 20 minit dan kacau sehingga nasi likat, kental. Tutup periuk dan biarkan sekejap.

Lauknya:

4 keping Ikan tongkol.. Rebus dgn garam serta asam keping

8 ekor Udang

2 biji telur di dadar.. Potong kecil

4 ulas bawang merah*

2 ulas bawang putih*

1 inci halia*

1 inci lengkuas*

5 tangkai cili kering*

200ml santan kotak

1 1/2 cawan air

3 sudu makan  rempah kari ikan

1 keping asam gelugur

Gula Melaka secukup rasa

Garam secukup rasa

Sedikit minyak untuk menumis

Serunding ikan secukupnya. 

Cara-caranya:

Kisar bahan-bahan yang bertanda *hingga halus. Panaskan minyak dan tumis sehingga wangi. Masukkan rempah kari ikan. Tumis lagi sehingga pecah minyak. Masukkan 1 1/2 cawan air dan santan.

Bila mendidih masukkan asam keping, gula Melaka dan garam. Masukkan ikan dan biarkan mendidih sekali lagi. Akhir sekali masukkan udang. Bila udang sudah masak boleh di tutup api.

Jika suka boleh masukkan beberapa biji telur rebus. Boleh di makan dengan nasi dagang. 2 in 1 😀

Ada dua jenis cara nak buat kelongsong untuk nasi tumpang ni ya, ada yang panjang dan ada yg kelongsong biasa, saya suka buat kelongsong biasa kerana lebih senang untuk isi nasi nanti. 

Bentukkan kelongsong terlebih dahulu agar memperolehi bentuk kon yang cantik kemudian  baru di layurkan atas api agar daun pisang tidak rapuh semasa proses mengisi nasi dan lauk nanti.



Cara mengisi nasi dan lauk:

Mula-mula, masukkan sesudu nasi lembik ke dalam kelongsong, tekan2kan dengan sudu plastik kecil, masukkan serunding ikan, top up kan dengan nasi dan tekan2kan agar padat. Akhirnya masukkan ikan, udang serta telur dadar serta kuah gulai dan tutup dengan nasi lembik. Tekan biar padat dan tutup dgn kemas. Lakukan sehingga selesai. Bila sejuk nasi lembik akan mengeras seperti nasi himpit.

Selamat mencuba semoga bermanafaat. 

Thursday, June 30, 2022

Siput Masak Lemak Cili Api





Saya lupa bila kali terakhir saya masak siput sedut, mungkin 38 tahun yang lalu kerana suami tak makan siput. Hari ini mommy Aqeel cakap teringin nk makan siput sedut masak lemak jadi ada alasan untuk beli siput kat pasar pagi Nilai bersebelahan pasar di pekan lama Nilai. Mahal boleh tahan, rm16 satu kg. Masa kecik-kecik dulu cari sendiri siput di paya dengan arwah ayah free je, sungguh seronok.



Saya ikut resipi orang Nismilan sebab dah jadi orang Nismilan kan. Bahan-bahannya hanya cili api, kunyit hidup, serai, asam keping, garam dan santan. Oleh kerana suami tak makan siput jadi saya letak lebih cili api biar puas makan pedas sehingga baby Areef yg umur 11 bulan terbatuk-batuk bau cili api yang menusuk ke hidung. Anak lelaki saya yg berumur 23 tahun, pertama kali makan siput sedut sejak di lahir kan ke dunia ini hehe.



1 kg siput sedut

400ml santan pekat

1 cawan air

15..20 biji cili api*

2batang serai ketuk

1 keping asam gelugur

1 genggam daun kesom

2 inci kunyit hidup*

Garam secukup rasa.



Cara-caranya:


Siput dicuci bersih dan di potong sedikit bahagian ekornya dan bilas sekali lagi dengan air hingga bersih.

Kisar bahan yg bertanda *hingga halus. Tuang kan ke dalam periuk. Tambahkan 1 cawan air. Masukkan santan, serai, asam keping dan garam secukup rasa

Bila santan sudah mendidih baru masukkan siput dan daun kesom. biarkan mendidih sekali sehingga siput benar-benar masak.

Tuesday, September 27, 2016

Sourdough Bagels

Assalamualaikum dan selamat sejahera.

Inilah perama kali saya buat bagel dengan sourdough starter.Alhamdulillah kejadiannya sungguh menarik sekali.Sebelum ini saya beranggapan untuk membuat roti sourdough adalah sangat sukar terutama setelah beberapa kali gagal untuk  menghasilkan sourdough starter yang betul.

Beberapa kali roti saya jadi "batu" dan terlampau masam.Natural yeast saya buat pula berbau sangat busuk dan sebagainya.

Roti sourdough sangat baik untuk kesihatan  tetapi orang Malaysia belum biasa lagi dengan roti sourdough yang agak keras dan berat.Kita di biasakan dengan roti yang gebu dengan di tambah dengan macam-macam bahan pelembut serta penaik roti yang bukan semula jadi.Untuk roti bertahan lama bahan
 pengawet pula di tambah.Dalam kepala kita telah di "set" roti mesti gebu dan lembut.Satu anggapan yang tidak tepat.insyallah nanti kita bincangkan lagi tentang tajuk ini di lain posting ya...

Jom kita lihat bahan-bahan untuk menghasilkan Bagels.

Sourdough bagels.

400 g tepung roti.
250 g sourdough starter-fed.
180 ml air.
1 tbsp susu tepung.
1 tsp garam.
1 tbsp chia seed -optional.

Hiasan..Chia seed dan bijan.
1 tbsp semolina untuk di taburkan rata pada dulang agar bagel tidak melekat.


Cara-caranya:


  • Satukan semua bahan-bahan dan uli sehingga sekata.
  • Bulat-bulatkan doh menjadi 8 biji atau seberat 100 g setiap satu.
  • Rehatkan sekejap kira-kira 10 minit.
  • Kemudian bentukkan doh tadi menjadi bentuk bagels.
  • Biarkan doh naik menjadi dua kali ganda dari saiz asal.
  • Sementara itu panaskan ketuhar 220 darjah celcius.
  • Didihkan air dalam periuk dan masukkan 2 tbsp madu.
  • Kecilkan api dan biarkan air mendidih perlahan-lahan.
  • Masukkan bagels 2-3 biji sekali masuk bergantung pada periuk yg di gunakan.masukkan selama 15 ke 30 saat.
  • Keluarkan dari periuk dan taburkan dengan chia seed sertabijan pada permukaannya.
  • Susun ke dalam dulang pembakar.
  • Lakukan proses yang sama sehingga selesai.
  • Masukkan ke dalam oven.Kurangkan kepanasan oven ke 200 darjah celcius.
  • Bakar sehingga masak atau warna perang keemasan.Lebih kurang 30 ke 45 minit.
  • Keluarkan darioven dan biarkan sejuk selama 20 minit baru di pindahkan ke atas wire rack .





Sunday, September 25, 2016

Sambal Kicap


Assalamualaikum dan selamat sejahtera;


Pagi tadi saya letak gambar sambal kicap ini di FB dan ada kawan-kawan yang bertanyakan bagaimana cara-cara nak buat sambal ini.Sebenarnya tiada resipi hanya pakai campak-campak saja atau agak-agak.Orang dulu-dulu tiada sukatan yang tepat jika memasak tapi hanya agak-agak mengikut pengalaman atau trial and error .
Tetapi jangan risau untuk membuat sambal kicap ni tak susah insyallah jadi dan sedap.

Bahan-bahan yang di perlukan...

6-7 biji cili api-terpulang pada selera masing-masing jika suka pedas letaklah lebih.

1 ketul kecil gula Melaka.

1 sudu makan gula pasir.

1 sudu teh garam.

1 ketul kecil..agak2 sebesar ibu jari belacan-panggang sekejap.

4 sudu makan cuka

4 sudu makan kicap manis.

Cara-caranya:)


  • Tumbuk cili api sehingga hancur.
  • Masukkan gula melaka,garam,gula pasir,kicap serta cuka.Lenyek sehingga semua bahan-bahan sebati.
  • Siap untuk di hidangkan  dengan keropok lekor,mangga muda ,soto dll.Selamat mencuba ya.





Thursday, September 22, 2016

Bubur Ayam

Satu lagi menu yang menjadi kegemaran kami sekeluarga.Saya letak resipi di sini agar anak-anak saya serta anak-anak di luar sana yang baru nak belajar memasak dapat jadikan panduan.Inilah masakan yang paling senang.Pejam mata pun boleh buat hehe.Guna periuk letrik atau guna Noxxa :) pada siapa yang ada periuk Noxxa la kan hehe.

Bahan-bahannya:)

1 pot kecil beras .
1 ketul dada ayam.
Garam secukup rasa.
Lada sulah,
1 ketul kecil halia-ketuk.
2 ulas bawang putih ketuk.

Geng-gengnya :)

Daun bawang,
Daun sup.
Kacang tanah goreng.
Telur masin rebus,
cili masak hiris.
Cili api hiris.
Ikan bilis goreng.
Limau kasturi,
Lobak asin.

  Cara-caranya:)


  • Rebus dada ayam dengan air yang mencukupi sehingga empuk.
  • Keluarkan dada ayam tadi dan siat-siat ambik isinya.
  • Tuangkan air rebusan ayam ke dalam periuk eletrik.Tambah air jika perlu.
  • Masukkan  beras yang siap di cuci dan toskan airnya.
  • Tekan butang congee.(boleh pejam mata dah lepas ni hehe)
  • Setelah masak bolehlah di hidangkan dengan kawan-kawannya di atas ya :)
*Kan makcikmanggis dah cakap pejam mata pun dan boleh masak bubur ayam ni.Selamat mencuba ya :)





Roti Benggali

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Sebelum saya lupa resipinya saya perlu letak resipi Roti Benggali yang saya buat dua hari lepas.Pertama kali saya guna yis segera dan sourdough starter serentak.Kami sekeluarga amat menyukai rasa roti ini.Ranggup di bahagian keraknya dan lembut dan kenyal-kenyal di dalamnya.
Terima kasih pada tuan punya resipinya.Puan Nurul .Instagram:Nurpian.Minta di halalkan ya.

Roti Benggali.

Bahan-bahannya:)


300gm tepung roti.
1 sudu teh garam.
2 sudu teh gula.

1 1/2 sudu teh yis segera.
400gm sourdough starter.
100 gm air.

Cara-caranya:


  • Satukan semua bahan-bahan di atas dalam mangkuk pengadun.
  • Uli sehingga elastik.Saya guna mixer selama lebih kurang 10 minit.Jika guna tangan rasanya memakan masa 20 minit atau lebih.
  • Apabila selesai menguli doh,keluarkan dan perap dalam bekas yang telah di sapukan dengan sedikit minyak masak/butter
  • Tutup dengan cling wrap dan biarkan kembang dua kali ganda dari saiz asal.
  • Kemudian sapukan minyak pada tin pullman.
  • Bahagikan doh kepada 3 bahagian.Lakukan dengan perlahan-lahan.Doh ini sangat lembut.Sapukan tangan dengan sedikit tepung gandum sebelum memegang doh ya ...

  • Bulat-bulatkan dan susun ke dalam loyang .
  • Tutup dengan cling wrap dan tunggu  sehingga doh naik  ke paras  permukaan bekas tadi.
  • Jangan lupa panaskan oven terlebih dahulu..180-190 darjah celcius .Bakar sehingga masak.Lebih kurang 50 minit ke 1 jam.Bergantung pada jenis oven masing-masing)



Sup Bebola Ikan

Menu ringkas dan senang untuk dimasak.Jom kita lihat bahan-bahannya.

Bahan-bahannya:)

Bebola ikan.

2 keping ikan tenggiri.
Sedikit serbuk lada sulah.
Garam secukup rasa.
4 tbsp tepung ubi.

Sup.

1/2 biji timun tua buang biji dan potong kiub
1/2 ketul akar teratai.-potong bulat
Beberapa hirisan halia.
2 ulas bawang putih-ketuk.
Sedikit serbuk lada sulah.
Garam secukup rasa.

Bahan-bahan untuk tabur.

Bawang goreng.
Hirisan daun bawang.
Cili api potong(jika suka pedas)
Cara-caranya:)


  • Asingkan isi ikan dari tulang serta kulitnya.
  • Kisar isi ikan dengan food processor sehingga halus.Masukkan garam serta serbuk lada sulah.
  • Kemudian masukkan tepung ubi dan kisar lagi sehingga sebati.
  • Keluarkan dari pengisar dan bulat-bulatkan  mengikut saiz yang di kehendaki.
  • Sementara itu didihkan  air dalam periuk dan rebuskan tulang serta kulit ikan sehingga mendidih.
  • Tapiskan dan ambil air rebusannya.
  • Didihkan sup tadi .Masukkan bebola ikan dan masak sehingga ianya timbul.
  • Kemudian masukkan Timun tua serta akar teratai,hirisan halia,bawang putih ketuk,garam serta lada sulah.
  • Masak sehingga sayur-sayuran itu empuk.
  • Hidangkan bersama taburan bawang goreng serta daun bawang.
  • Jika anda seorang yang suka masakan pedas boleh tambah potongan cili api.Barulah berpeluh-peluh hehe terus sihat jika demam :)

Wednesday, September 21, 2016

Kacang Panggang Ala Ala Kacang Pool

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Hari ini tiba-tiba terasa nak makan baked beans yang di masak ala ala kacang pool.Kebetulan pagi-pagi lagi saya telah uli roti dan tunggu roti naik untuk di bakar dalam oven.Jadi saya keluarkan bahan-bahan untuk masak baked beans...jom kita tengok resipinya ya :)


Bahan-bahannya:)

1 tin besar kacang panggang.
1 labu besar bawang bombay.
3 ulas bawang putih.*
1 inci halia*
5 ulas bawang merah.*
1 sudu kecil serbuk jintan manis.
1 sudu kecil serbukketumbar,
1 sudu makan serbuk kari daging.
2 tangkai akar pokok ketumbar.*
200 gm daging kisar.
Garam secukup rasa.
Sedikit serbuk lada putih.

Cili hijau /merah-potong.
Limau kasturi di belah dua.
Telur mata.
Daun ketumbar  dan daun bawabg potong halus.
sedikit bawang besar -cincang.

Cara-caranya :)

  • Tumbuk kasar bahan-bahan yang bertanda *
  • Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang ditumbuk hingga wangi.
  • Masukkan serbuk ketumbar,kari dan jintan manis.masak sehingga wangi.
  • Kemudian masukkan daging kisar dan sedikit air.Biarkan daging empuk.
  • Masukkan baked beans dan lenyek-lenyekkan dengan sudip agar kacang hancur.
  • Akhir sekali masukkan garam serta serbuk lada hitam.
  • Masak sehingga agak pekat.
  • Hidang bersama telur mata,hirisan cili masak dan cili hijau serta potongan limau kasturi dan hirisan daun bawang & daun ketumbar.
  • Jangan lupa roti bakar ya...Enjoy


Tuesday, September 20, 2016

Kuih Angku KeledekUnggu

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua....

Hari ini pagi-pagi lagi saya masak kuih Angku keledek Unggu.Dan ada kawan-kawan yang inginkan resipinya.Sebenarnya resipi yang sama dengan Angku labu untuk warna kuning dan kali ini tukar kaler saja.Kuih in memang kegemaran saya dan suami.Saya buat saiz yang agak kecik jadi setakat 5 biji tu sekali hadap je hehe....


Ada kawan yang bertanya katanya nak buat kuih ni mesti susah errkk...Oh tidak jika kita rancang awal-awal iannya sungguh mudah.Sehari sebelumnya saya telah siap sediakan intinya dan saya dah kukus keledek dan simpan dalam peti sejuk.Hari ini tinggal buat doh untuk kulitnya sahaja.Jom kita lihat resipinya.Insyallah kawan-kawan pun boleh buat ni :)p

Kuih Angku Unggu.

Bahan-bahannya:)

Doh Kulitnya.

200m tepung pulut.
2 tbsp minyak jagung.
150gm keledek unggu-kukus dan hancurkan.
1 tbsp gula.
150ml santan-saya guna santan kotak.

Intinya.

150 gm kacang hijau tanpa kulit.
60 gm gula pasir.
4 tbsp minyak jagung.

daun pisang secukupnya.

Cara-caranya:)

  • Rendam kacang hijau selama 4 jam dan toskan.
  • Kukus sehingga empuk.
  • kisar dengan food processor sehingga halus.
  • Panaskan 4 tbsp  minyak dalam kuali yang tidak melekat dan masukkan kacang kisar tadi serta gula.Masak dengan api perlahan sehingga dapat dibentuk bebola kecil untuk intinya terpulang pada saiz acuan kuih Angku anda.
Kulit.

  • Satukan gula,minyak dan keledek serta santan dalam mangkuk dan gaul rata.
  • Masukkan tepung dan uli sehingga licin dan sebati.
  • Bulat-bulatkan mengikut saiz acuan masing-masing.saiz... acuan kuih saya sangat kecil.
  • Balut inti dengan doh dan bulat bulatkan dengan kemas.
  • Masukkan kedalam acuan dan tekan perlahan-lahan agar terbentuk coraknya.
  • Keluarkan dengan mengetuk perlahan-lahan ke atas daun pisang yang disapu dengan sedikit miyak masak.
  • Aturkan dalam pengukus dan kukus selama 3-5 minit dengan api yang kuat.
  • Keluarkan kuih dari pengukus dan sapukan dengan miyak pada permukaan nya.
  • Trim daun pisang dibahagian bawahnya agar nampak kemas serta menarik.

Tunggu sehingga kuih benar-benar sejuk baru di hidangkan .Enjoy :)


Friday, January 15, 2016

Green Smoothi

Bahan-bahanya:

1 batang celery.
1 biji peria katak.
1 biji epal hijau.
1 hirisan limau nipis.

Cara-caranya:

Bersihkan sayur sayuran serta buah epal.Buang biji peria.Masukkan kedalam mesin pemerah jus.Tuang jus ke dalam bekas yang sesuai.

Campurkan dengan ketulan ais.Siap untuk di minum.
Kepada yang tak tahan rasa pahit boleh campurkan dengan air sejuk....cairkan sedikit.Dapat satu jug kecik.

Alhamdulillah setelah seminggu saya minum jus ini kandungan gula dalam darah saya semakin menurun daripada 6 (puasa) ke 5.5 (tak puasa)


Thursday, December 3, 2015

Rock Melon Frozen Milk And Honey

Pencuci mulut yang sungguh ringkas tetapi rasanya  amat enak sekali.

Bahan-bahannya:)

Buah rock melon...skop dengan penyedok buah tembikai.Masukkan ke dalam kulit melon dan sejukkan dalam freezer 5 hingga 10 minit.

Susu segar...masukkan ke dalam bekas air batu berbentuk bulat dan bekukan.

Honey.

Cara-caranya:

Keluarkan buah rock melon tadi.Isikan dengan ketulan susu segar.Letakkan honey secukup nya dan siap untuk di hidangkan.

Wednesday, November 18, 2015

Sarapan Pagi.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Mee Wantan.
3 ulas bawang putih.
1 peket mee wantan.Peket kecil ada 5 ketul(boleh di dapati di Jaya groccer)
Sedikit kicap pekat.
sedikit sos tiram.
sedikit minyak bijan.

Telur mata.
Ayam garam(lebihan lauk semalam)
Sup Sayur.
Sos cili /sos cili nasi ayam.

hiasan
Daun bawang
cili potong

Satu menu yang sungguh ringkas dan cepat serta amat mengenyangkan.Celur mee wantan dan toskan.Ketuk bawang putih dan tumiskan bawang putih dengan sedikit minyak masak.Bila wangi masukkan kicap pekat dan sos tiram.Gaul sebati baru di masukkan mee wantan.Gaul sehingga mesra dan renjis sedikit minyak bijan dan balik balikkan agar sebati.Siap.

Hidangkan dengan telur mata atau jika ada lebihan lauk ayam boleh di potong kecil dan dihidangkan bersama sup sayur serta sos cili....senangkan...
Minuman Homemade yogurt.

Lepas makan mee wantan teringat kat yogurt dalam peti ais..bab makan teringat saja hehe.

Potong kiub buah betik.Masukkan ke dalam gelas yogurt yang telah di campurkan dengan sedikit yakult sebagai perisa.Alhamdulillah.





Tuesday, November 17, 2015

Roti Buah-buahan Campuran.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Hasil kerja membaking larut malam.Resipi asal dari chef @kh4irulh4kimin tetapi saya telah ubah suai mengikut selera sendiri yang tidak berapa boleh makan benda benda manis sangat.Terima kasih pada chef dan mohon maaf kerana "derhaka"pada resipi asal.

Roti ini agak padat dan bukan roti yang jenis gebu .Malam tadi semasa masih panas saya makan sekeping dengan teh herba  dan terasa kenyang hingga ke pagi.

Resipi asal menggunakan 3 cawan tepung roti tetapi saya hanya ada ngam ngam 2 cawan tepung protein tinggi dan terpaksa campur dengan tepung biasa 1 cawan.

Roti Buah-buahan Campuran.

Bahan-bahanya.

2 cawan tepung roti.
1 cawan tepung gandum.
1/2 cawan gula halus.
3 tbsp butter
1 cawan buah buahan campuran.(resipi asal 2 cups)
1 1/2 cawan air suam.(resipi asal 2 cups)
11gm yis segera.
1 tbsp oren zes
2 tsp serbuk kulit 


Panaskan butter.Masukkan buah buahan campuran dan serbuk kulit kayu manis.
Gaul sehingga sebati.ketepikan.

Satukan bahan2 kering dalam mangkuk yg sesuai.
Masukkan air sedikit demi sedikit.Uli sehingga doh tidak melekat di tangan.

Masukkan buah buahan campuran serta oren zes dan uli sehingga sebati.

Bahagikan doh kepada 3 bahagian.

Bulat bulatkan.

Susun didalam bekas loaf pan.

Rehatkan doh sehingga naik dua kali ganda dari saiz asal.

Panaskan oven 180darjah celcius.

Bakar sehingga masak. 

Saturday, November 14, 2015

Homemade Yogurt.

Assalamualaukum dan selamat sejahtera.

Seorang sahabat saya Puan Sarah telah mengajar saya cara-cara membuat fresh yogurt sendiri.Alhamdulillah setelah berjaya saya merasa sungguh seronok dan tidak perlu lagi beli dari pasaraya seperti sebelumnya.

Banyak khasiat yogurt ni terutama untuk sistem penghadhaman kita.Baik untuk usus.Jika yang sedang berdiet tu memang sesuai sekali kerana yogurt dapat membuatkan kita rasa kenyang.Potong buah-buahan kegemaran kita dan curahkan yogurt.Memang sedap.
Yogurt juga dapat mengurangkan kandungan kolestrol dalam badan kita....
Apa yang kita perlukan untuk memulakan pembuatan yogurt adalah fresh yogurt dari kedai India.Jangan gunakan yogurt dari pasaraya tu..tak jadi.Saya pernah mencubanya tetapi gagal.

Saya ke pasar besar Seremban minggu lepas dan beli 3 bungkus fresh yogurt .Sebungkus harga 1rm.Sangat murah dan kita boleh kembangkan yogurt berkali-kali ganda.

Apa yang di perlukan hanyalah susu segar,fresh yogurt dan bekas plastik yang boleh di tutup kedap.
Panaskan susu segar suam-suam kuku.Jangan terlampau panas nanti bakteria dalam yogurt mati.
Kemudian masukkan 3-4 tbsp yogurt ke dalam susu dan kacau sehingga sebati.Tutup rapat dan biarkan di dalam suhu bilik selama 10jam.
Sukatanya adalah bekas plastik seperti dalam gambar di atas.Insyallah .Satu bekas plastik susu segar yang suam-suam kuku dengan 3-4 tbsp fresh yogurt.Selamat mencuba.


Friday, September 4, 2015

Brownies

Brownies.

Bahan-bahanya:

400g coklat masakan.
150g unsalted butter.
100g gula perang.
100g gula castor.
4 biji telur-grade A.
1 tsp esen vanilla.
100g tepung naik sendiri.
30g serbuk koko.
Kekacang pilihan anda untuk di tabur.

Cara-caranya:


  • Cairkan coklat masakan dan butter dengan kaedah double boiler sehingga sebati
  • Kacau dengan menggunakan whisk gula perang,gula kastor,telur serta esen vanilla .Kacau rata je tak perlu pukul.
  • Tuangkan bancuhan tadi  ke dalam adunan coklat dan kacau sehingga rata.
  • Ayak tepung dan serbuk koko dan masukkan ke dalam adunan tadi.Gaul sehingga sebati.
  • Alaskan dulang dengan baking paper.Tuangkan adunan ke dalam dulang.
  • Taburkan kekacang pilihan anda.Saya letak hirisan badan serta biji bunga matahari.
  • Tabur biar sekata.
  • Jangan lupa panaskan oven terlebih dahulu 280 darjah celcius.
  • Bakar sehingga masak atau selama lebih kurang 25-30 minit(bergantung pada jenis oven yang di gunakan)
  • Sejukkan terlebih dahulu sebelum di potong
Sebenarnya resipi asal saya ambil dari blog Masam Manis.Azlita Aziz.Brownies berkedut tapi apa bila saya tabur kekacang di permukaannya  tidak nampak kedut lagi.Terima kasih Puan Azlita.

Jika kawan-kawan ingin memasak Brownies berkedut jangan tabur kekacang ya.Tetapi saya sangat suka jika brownies saya banyak kekacang terutamanya kacang badam.Kombinasi coklat dalam brownies serta badam memang "ngam" sangat sedap .Selamat mencuba.


Thursday, September 3, 2015

Minuman Yang Menyegarkan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saya ada menanam beberapa pasu pokok pudina.Alhamdulillah semuanya hidup subur.Selalunya saya masukkan ke dalam teh O dan minum ketika teh masih panas.Sedap betul ... saya letak sedikit gula ...manis buah kata orang tu kan.

Kali ini saya ubah sikit bahan-bahannya untuk minuman sejuk sesuai sangat dengan keadaan cuaca yang panas sekarang ini.

Bahan-bahannya:
(Untuk 1 jug saiz sederhana)

Daun pudina secukupnya.
1 biji lemon.
3-4 tbsp madu.
Kiub ais secukupnya.
Cara-caranya:


  • Lemon di potong nipis.Beberapa keping
  • Selebihnya di perah untuk jusnya.
  • Ambil beberapa tangkai daun pudina.Masak dengan 2 gelas air sehingga mendidih.Sejukkan &masukkan 3 -4 tbsp madu dan kacau hingga sebati.
  • Tuangkan air rebusan pudina ke dalam jug dan tambah dengan air sejuk secukupnya &tambah dengan jus lemon.
  • Masukkan daun pudina yang segar serta hirisan buah lemon.
  • Letakkan  kiub ais secukupnya.
  • Sedia untuk di hidangkan.

Wednesday, September 2, 2015

Mooncake (Traditional)

Mooncake.

Bahan-bahanya:

150g golden sirap.
60g minyak kacang.(peanut oil)
5g alkali water.
250g tepung kek

Inti.

350g pes kacang merah.
7 biji telur masin .
(Masak dan ambil kuningnya)

Sapuan.

1 biji kuning telur +1 tbsp fresh milk.
Cara-caranya:


  • Satukan air alkali+minyak kacang +golden sirap.
  • Guna whisk dan whisk hingga sebati.
  • Ayakkan tepung dan masukkan ke dalam mangkuk di atas.
  • Kacau hingga sebati tetapi jangan uli ya.
  • Perap selama 1-2 jam.
  • Uli sekejap.
  • Bulat-bulatkan seberat 60g setiap satu.Acuan mooncake saya agak besar jadi hanya dapat 7 biji semuanya.
  • Sementara itu bulat-bulatkan inti kacang merah seberat 50g setiap satu.
  • Jika mahu isikan telur masin pun boleh tapi hanya kuningnya saja ya.Ikut selera masing-masing.
  • Balutkan telur masin dengan pes kacang merah.
  • Kemudian balutkan inti dengan doh kulit mooncake hingga rapi.Perlu hati-hati agar inti tidak terkeluar semasa mencetakkannya nanti.
  • Taburkan acuan mooncake dengan sedikit tepung.
  • Masukkan doh yang di bulatkan tadi ke dalam acuan dan tekan perlahan-lahan agar terbentuk corak-corak mooncake ke atas doh tadi.Tekan terus ke atas dulang yang di sapu dengan sedikit minyak.Boleh juga di alaskan dengan baking paper.
  • Lakukan sehingga selesai.
  • Spray dengan sedikit air pada permukaan mooncake sebelum di masukkan ke dalam oven agar mooncake tidak retak semasa proses membakarnya nanti.
  • Jangan lupa panaskan oven terlebih dahulu ya.
  • Bakar selama 10 minit.
  • Kemudian keluarkan dari oven.Sejukkan selama lebih kurang 15 minit.
  • Sapukan mooncake dengan bancuhan kuning telur dan susu segar.
  • Akhir sekali masukkan ke dalam oven dan bakar selama 15 -20 minit lagi sehingga kuih masak.Perang keemasan.
Inilah rupanya kuih bulan selepas di cetak dengan acuan sementara menunggu untuk masuk oven.Setiap kali saya buat kuih bulan atau mooncake ni ,perkara yang paling saya risau adalah takut kuih retak selepas di bakar.

Untuk elakkan mooncake dari retak ,perlu di sembur dengan sedikit air sebelum di bakar.Alhamdulillah teknik ini berjaya menghasilkan mooncake yang sempurna bentuknya.Terima kasih pada sahabat blogger saya My kitchen Snippet kerana beri tunjuk ajar...dan saya guna recipe beliau.Sejak pertama kali cuba buat mooncake.

Setelah mooncake masak ,tunggu sehingga sejuk baru di masukkan ke dalam tupperware atau bekas yang sesuai dan kedap udara.Biarkan sehingga 3-4 hari agar mooncake tadi  mengeluarkan minyak dan lembut sebelum di potong dan di hidangkan.

Perlu sabar ya hehe.Tahun lepas saya hadiahkan 2 biji  kuih bulan yang saya buat untuk seorang sahabat saya dan pesan agar tunggu beberapa hari sebelum makan.

Setelah saya sampai di rumah dari menghantar kuih bulan ke rumahnya ,kawan saya called saya katanya dia dah makan kuih tu hahaha...katanya tak dapat tunggu walaupun sehari haha adoi....menguji kesabaran untuk makan kuih bulan ini.Katanya sedap je walaupun tak tunggu seperti yang saya pesan...hehe geli hati betul :)

*Satu adunan ini saya dapat 7 biji mooncake dan ada sedikit lebihan doh seberat lebih kurang 20g.

Thursday, August 27, 2015

Homemade Golden Syrup.

Golden Syrup.

Bahan-bahannya:

3 sudu makan gula pasir.
2 sudu makan air.
4 hirisan lemon.


400g gula pasir.
200ml air.
50ml jus lemon.

Periuk stainless steel
Cara-caranya:

  • Masukkan 3 sudu makan gula pasir,2sudu makan air dan hirisan lemon.
  • Masak dan kacau perlahan-lahan sehingga gula bertukar menjadi coklat gula hangus.
  • Masukkan air,gula dan jus lemon.
  • Masak sehingga semuanya larut.
  • Kecilkan api dan masak selama 45 minit atau sehingga sirap jadi seperti madu kepekatannya.
  • Tapis dan simpan dalam botol kaca yg bersih yang telah di rebus dengan air mendidih.
  • Ketika masih panas sirap ni tidak terlalu pekat tetapi setelah sejuk ianya seperti golden syrup yang kita beli dari kedai.
Alhamdulillah saya rasa sungguh seronok kerana akhirnya saya dapat buat mooncake dan yang bestnya golden syrup tu homemade.Rasa cam tak percaya.

Beginilah di zaman moden ini segalanya di hujung jari.Google je insyallah dapat resipinya.Selamat mencuba.