LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
Showing posts with label Ucapan.. Show all posts
Showing posts with label Ucapan.. Show all posts

Thursday, September 1, 2011

Maryam's First Eid

Maryam with daddy
Maryam with uncle
Maryam with pak busu:)
Selamat hari raya everyone:)


Maryam with grand uncle and aunty
Terima kasih Along Roz


Friday, August 26, 2011

Selamat Hari Raya.





Assalamualaikum dan selamat sejahtera....


Selamat Hari Raya Maaf Zahir batin Cm ucapkan kepada semua kawan kawan yang Cm sayangi.Minta dihalalkan segalanya.....mohon dimaafkan jika ada terkasar bahasa dan keterlaluan bicara.Kepada kawan-kawan yang akan balik kampung Cm doakan agar selamat sampai kekampung masing masing.Semoga segalanya dipermudahkan olehNya.......


Friday, July 29, 2011

Mee Kari...khutbah Jumaat.

Salam dan selamat sejahtera....

Sementara tunggu si adik mandi untuk solat Jumaat Cm nak buat n3 untuk hari ini ya:)...Si abang ke masjid dengan kawannya jadi si adik kena tunggu abahnya untuk ke masjid berhampiran....Cm dok membebel kat adik...jangan abaikan solat 5 waktu dan solat jumaat..anak lelaki kena jadi ketua keluarga nanti..bla..bla..bla...kena jadi orang lelaki yang berwibawa cam abah tau hik hik...(tak habis habis puji abah)....bila lihat muka adik selamba je agaknya tak dengar pun sebab tiap tiap kali hari jumaat Cm khutbah awal awal sebelum dia dengar khutbah jumaat kat masjid.....last sekali siap pesan..adik hari ni kena baca quran 8 muka surat sebab semalam tak baca..... alamak apa la mama ni ada tunggakan pulak(hahaha).....dia lah satu satunya yang masih ada kat rumah ni.Kakak kakaknya dah ada keluarga sendiri........Terima kasih kerana "datang" lewat dapat temankan mama......
Ini lah menu yang paling simple untuk makan tengahari kami bertiga...(seorang ibu dan 2 anak lelaki :)....Resepinya ada DISINI
Ini pulak sambal kegemaran Angah........Resepi asalnya  ada DISINI.
Kali ni sambalnya warna kehitaman sebab Cm guna cili api hijau.Rasa tetap sama..sedap berapi:)

Thursday, March 31, 2011

Telur Goreng Rencah Campuran



Assalamualaikum dan selamat sejahtera.Alhamdulillah jika semalam rasa nak meletup seperti gunung berapi tapi selepas ikut nasihat Kak pah..tidur sekejap nak tiru seperti cucu Kak Pah tu hehe(2 jam bukan sekejap ni)lepas bangun tu perut rasa lapar:) dan malam tadi selepas solat isyak dah masuk bilik terus zzzzz dan pagi ni rasa lebih segar.Alhamdulillah.


Menu telur memang menarik perhatian kanak-kanak dan emak jugak ya:)jika terdesak dan perut pulak lapar telur mata kerbau menjadi pilihan.Curah kicap manis cap kipas udang..perrggh! atau telur mata kerbau makan dengan roti(egg benjo) pun boleh jugak.Telur Goreng Rencah campuran menjadi kesukaan anak lelaki bongsu Cm.Balik dari sekolah sekejap lagi ..buka baju..cuci tangan(cuci ala-ala dr bedah) kemudian senduk nasi panas berlaukkan telur ini..boleh pengsan tapi pastinya tangan kiri kutip buang daun bawang tu :)



Bahan-bahannya :
10 batang jejari ketam-potong kecik.
2 batang sosej ayam -hiris nipis.
8 ekor udang -potong kecik
1/2 labu bawang besar-dadu
2 pohon daun bawang-potong kecik
4 biji telur
garam dan gula secukup rasa.
2 tsp lada hitam-tumbuk kasar
Cara-caranya:
Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumiskan bawang hingga layu.Kemudian masukkan sosej,udang dan jejari ketam.Kacau hingga rata.Pecahkan telur dan kacau-kacaukan.masukkan garam,lada hitam dan sedikit gula dan gaul hingga sebati.Akhir sekali taburkan daun bawang dan kacau lagi hingga rata.Siap:)


Ok selamat makan tengahari:)

Sunday, September 5, 2010

Selamat Hari Raya

Kepada semua kawan-kawan bloggers  Cm  dan keluarga mengucapkan selamat hari raya aidilfitri maaf zahir dan batin.....Cm  menyusun jari sepuluh mohon kemaafan seandainya sepanjang penulisan dalam blog yang serba kekurangan ini ada menyinggung perasaan atau terkasar bahasa dan keterlaluan cara.Semoga dapat dihalalkan segalanya.......

Kepada yang akan balik kampung berhati-hatilah di jalan raya.ingat pada orang yang tersayang yang menunggu kepulangan kita.Jaga makan dan minum disepanjang musim perayaan ni jangan ada yang sakit akibat terlebih makan selepas raya nanti........

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Dan Batin.

 Mari kita Baca dan Renungkan Cerpen ini.......

Kalau Tak Suka Pulangkan

by Zulkifli Omar on Thursday, September 2, 2010 at 11:51am
Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta dihalakan ke dalam garaj. "Horei! Papa balik!" Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.

"Tepi! Bahaya tau tak?" Jeritnya.

Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.

"Aimin bawa adik ke belakang." Arahnya pada anak yang sulong.

Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.

"Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita," pujuk Laila.

Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.

"Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!" Sergahnya. Suara yang bergema mematikan tawa anak-anaknya. "Asal saya balik rumah mesti bersepah. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?" sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu.

"Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman." Balas isterinya lembut.

"Fail saya kat depan tu mana?"

"Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan."

"Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi." Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu.

Suasana sepi kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya. "Laila..." keluhnya...akhirnya dia terlena di sofa.
------------ --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------- -

"Saya nak ke out station minggu depan."

"Lama?" Soal Laila.

"Dalam seminggu."

"Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?"

"Budak-budak? "

"Ikut jugalah."

"Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana. Tengok masa kat Legacy dulu tu!"

"Masa tu Amirul kecik lagi." Balas Laila. Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak daripada keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu, malahan pihak hotel pun tak minta ganti rugi. " Bolehlah Pa...! Lama sangat kita tak ke mana-mana."  "Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung," Muktamad! Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.

"Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Daripada mereka bakar, abah ambik bagi kamu!"

"Manalah saya ada masa..." "Takpe, pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!" Dia tersentak daripada khayalannya. "Kalau tak suka pulangkan balik!" Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir. Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan...bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma...

"Mizi, makan!" Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. "Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah." ------------ --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------- -------

"Papa! Makan!" Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya.

"Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?"

Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.

"Awak masak apa?"

"Mama masak sup tulang dengan sambal udang!" jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.

"Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah, saya tak nak makan. Hilang selera!" "Papa nak ke mana?" Soal isterinya perlahan."Keluar!""Mama dah masak Pa!""Awak saja makan!""Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!"

Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan.

"Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?" Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi. "Papa banyak kerja agaknya. Dah, makan." "Abang tak suka tengok papa marah-marah. "  "Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan ?" Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila menjeling. Di hati kecilnya turut terguris. Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?

Shamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.
"Laila..." serunya
"Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti." Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.
"Sunyi pulak rumah ni mak,"
"Lama-lama kau biasalah."
Airmatanya menitis laju. "Kalau tak suka pulangkan!" Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.
------------ --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------- -------

"Papa beli apa untuk Aiman?" Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.

"Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu." "Tak ada lah?""Ingat papa ni cop duit?" Aiman termangu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang.

Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya. "Awak tak sihat ke? "Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.

"Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi." Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.

Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat.

"Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!" Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.

Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman dipukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.

"Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!"

Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak.

"Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan. " Ujar Laila perlahan.

"Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana, pecah barang. Gila apa?" Omelnya kembali.

Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup dengan perbuatan, malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka. ------------ --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------

"Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni." Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang. Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah. "Celaka betul!" Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja. "Abang!" "Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!" Getusnya kasar.

Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di Tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.

Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.

"Pak Ngah, Eddie nak balik!" Shamizi terpana. Dia mengangguk.
"Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti." Alangkah mudahnya.
Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila. Laila tak ada yang kurang cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka Laila tak pernah meminta lebih daripada apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B, walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik daripada A.

"Laila..."

"Papa nak ke mana hensem-hensem gini?" Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat. " Wangi-wangi lagi. Dating ye?"

"Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff." Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.

"Ikut boleh?"

"Dia tak ajak family. Staff only!" Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang.

"Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami."

"Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam. Lari sana sini, panjat itu ini. "

"Papa pesanlah..."

"Nantilah besar sikit." Dalihnya.

"Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun."

"Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,"

Laila terdiam. "Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki."

"Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik." "Mama tanya sikit boleh?" Dia mengangguk "Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?"

Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.

"Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik," ujar Mr. Kwai, tuan rumah.

Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang mengata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya, Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan.


"Kalau tak suka pulangkan!" Kata-kata itu semakin keras di fikirannya. Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya dilagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian. "Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan! " Laila merenungnya dalam... Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah.  Shamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil. Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa... "Kalau tak suka pulangkan".


Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga.

Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila.

Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya.

Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah. Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi...

Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah. Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk bagaimana pun di pandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya Laila dipulangkan. ..

~ Belajarlah hargai apa yang kita ada sekarang - isteri, suami, dan anak-anak..
~ Bersabarlah dengan ujian perangai dan karenah anak-anak
~ Jangan terlalu garang dengan anak-anak. Berpada2 lah. Baik sangat pun tak boleh jugak
~ Sayangilah keluarga anda. Hari-hari yang pernah kita lalui dalam rumahtangga ini adalah suatu kenangan.

"Berilah hatimu hanya untuk Allah, pasti Allah temukan padamu pemilik terbaik. Hamparkan masa mu seluasnya hanya untuk Allah, pasti Allah aturkan seluruh kehidupanmu sebaik-baiknya!"

 Sekadar muhasabah, moga kita semua akan lebih bersyukur dengan apa yang kita ada...

Cerpen daripada email seorang sahabat....Tajuknya: Kalau Tak Suka Pulangkan... ..

Bagus untuk dikongsi supaya kita lebih menghargai suami/isteri, anak-anak dan orang-orang di sekeliling kita. Berbuat baiklah dan curahkan kasih sayang kita kepada mereka sebelum terlambat. Agar kita tidak menyesal di kemudian hari.

Tuesday, August 10, 2010

Selamat Berpuasa


عن ‏ ‏أبي هريرة ‏ ‏رضي الله عنه ‏ ‏أن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال ‏ ‏إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النار ‏ ‏وصفدت ‏ ‏الشياطينHadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu