LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Sunday, June 30, 2013

Tako ( Thai Pudding With Coconut Topping)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Selamat petang semua :) Cm dah siap masak kuih Tako,satu lagi kuih dari negara jiran.Pertama kali Cm mencuba kuih kegemaran kami sekeluarga.Dulu pernah cuba buat casing /kotak dari daun pandan tetapi gagal kerana Cm main taram je ikut suka sendiri,Ada lobang di tengah-tengahnya serta bentuk yang herot merot :(.

Kali ini Cm belajar dengan berpandukan step by step dari beberapa buah blog Thai.Alhamdulillah berjaya akhirnya walaupun tak berapa cantik.Nak cantik nampak gayanya botak lah pokok pandan kat tepi rumah ni.Terima kasih pada Puan Neo kerana bawakan daun pandan untuk Cm tengahari tadi.Alhamdulillah.Rezeki.
Thanks to  Wendy kerana berkongsi resipi kuih Tako ini.Cm selalu singgah ke  dapur Wendy jika ingin mencari resipi masakan Cina tetapi kali ini dapat pulak resipi  masakan Thai .

Bahan-bahannya:

Lapisan Pandan:

25 gm tepung Hong kwee.
250 ml air perahan daun pandan.
40 gm gula pasir.
3 biji sengkuang Cina-cincang kasar.


Lapisan Santan:

15 gm tepung hong Kwee
125 ml air.
125 ml santan.
Secubit garam.
40 gm gula pasir.


Cara-caranya:


  • Sediakan bekas /casing dari daun pandan.Cm bentukkan dengan menggunakan daun pandan yang berukuran  7 inci.Jadi saiz kuih Tako ini agak kecil.
  • Satukan semua bahan-bahan untuk adunan pandan ke dalam periuk non stick.Masak dengan api yang perlahan dan hendaklah sentiasa kacau sehingga adunan likat dan berkilat.
  • Sudukan ke dalam  bekas daun pandan agak-agak 1/2 bahagian.
  • Kemudian satukan bahan-bahan bahagian santannya pula.Kacau atas api sehingga pekat dan berkilat,
  • Tuangkan ke atas permukaan adunan pandan tadi .Biarkan adunan sejuk baru masukkan ke dalam peti sejuk.
  • Siap untuk di hidangkan.



Kali ini  sambutan yang diterima sungguh baik,hilang dalam beberapa minit je jadi Insyallah Cm tanda resipi ini untuk Ramadhan yang akan datang  tidak lama lagi :) pening la makan Tako hari-hari .

Friday, June 28, 2013

Khao Tom Mad (Sweet Sticky Rice Parcels)

Assalamualaikum dan selamat petang.


Cm adalah penggemar masakan Thai.Tak kira lah lauk pauk atau kuih muih.Masakan Thai banyak persamaan dengan masakan Kelantan tanah kelahiran Cm, mungkin kerana  berjiran.Atau mungkin juga sebab Kelantan pernah di jajah oleh Siam pada satu ketika dahulu jadi banyak terdapat pengaruh masakan Thai dalam masakan  Kelantan.

Salah satu  kuih yang di kenali dengan nama Khao Tom Mad.Bila masuk negeri Kelantan nama bertukar jadi    Pulut Dakap :)..Untuk melihat resipi asal Thai sila ke SINI.

Bahan-bahannya:

500 gm beras pulut-cuci dan rendam selama 2-3 jam.
2 cawan santan pekat.
1/2 tsp garam.
4 tbsp gula pasir.
6- 7 biji pisang -belah dua.(pisang awak,pisang berangan atau pisang abu)
Kacang merah secukupnya di rebus sehingga empuk,

Tali untuk pengikat.
Daun pisang secukupnya.

Cara-caranya:


  • Satukan gula ,garam dan santan dalam periuk nonstick.
  • Masak sehingga gula larut.
  • Masukkan beras pulut jangan lupa toskan terlebih dahulu ya.
  • Dengan api yang perlahan kacau pulut sehingga agak kering.Sejukkan.
  • Lapik dua helai dau pisang .Letakkan kacang merah kemudian sudukan sedikit pulut.Lepas itu letakkan pisang dan  sekali lagi  sudukan sedikit pulut untuk melindungi pisang.Akhirnya letakkan beberapa biji kacang diatasnya.
  • Balut seperti membalut kuih lepat .Tangkupkan dua bungkusan pulut dan ikat sehingga kemas.Pastikan balutan kemas agar pulut tidak terkeluar semasa merebusnya nanti.
  • Aturkan bungkusan pulut dalam periuk.Isikan air anggaran paras bungkusan pulut tu.Masak sehingga air hampir kering.
  • Toskan dalam tapis.Siap untuk dihidang :)
Selamat berhujung minggu :)

Thursday, June 27, 2013

Ayam Lemon

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Menu orang yang tak suka pedas.Ayam Lemon tetapi sesiapa yang mempunyai selera "cili api" rasanya menu ini bukan pilihan mereka :).Dulu Cm pernah buat dah kat SINI.Kali ini Cm ambil resipi DISINI.Resipi yang sungguh ringkas tetapi sesuai dengan selera kami anak beranak .Cm dah ubah suai mengikut selera sendiri.

Bahan-bahannya:

3 keping dada ayam -potong kiub atau memanjang.
1 1/2 cawan tepung jagung.
1/2 tsp garam.
1/3 tsp serbuk lada hitam.
1 tsp parutan halia.
3 biji kuning telur.-pukul ringan dengan garfu.
Minyak untuk menggoreng secukupnya.

Sos Lemon.

1 1/2 cawan air.
1/3 cup jus lemon.
1 1/2 tbsp light brown sugar.
2 tbsp tepung jagung.
1/2 tbsp madu.
1/2 ketul kiub perisa ayam.
1/2 tbsp parutan halia.
Sedikit pewarna kuning-optional.

Cara-caranya:


  • Perap isi ayam bersama garam,lada hitam dan parutan halia.
  • Celup isi ayam dalam bancuhan kuning telur.Kemudian golekkan atas tepung jagung.
  • Panaskan minyak.Goreng sehingga ranggup.Ketepikan.
  • Sediakan sos Lemon.
  • Satukan semua bahan-bahan untuk sos lemon.Kacau hingga sebati.
  • Masak sehingga mendidih.Jika nampak terlalu pekat boleh tambah air.Seimbangkan rasa masam,manis dan masin.
  • Tuangkan ke atas ayam goreng tadi.
  • Siap untuk dihidangkan dengan nasi panas.
Semoga anakanda Aqma Mimie berpuas hati dengan resipi yang makcik letak ni :) selamat mencuba.

Monday, June 24, 2013

Sambal Belacan.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Bekalan belacan tidak pernah putus sejak adik perempuan Cm menetap di Kedah.Apabila Cm  balik emak selalu top up bekalan belacan .Cm simpan belacan dalam freezer jadi apabila lama belacan tu dalam freezer  dia jadi peroi . Cm masukkan dalam oven dan panggang hingga garing.Tunggu sehingga betul -betul  sejuk bolehlah di simpan dalam botol yang kedap udara.Senang jika nak guna bolehlah cedok je :)...kira belacan segera la :)
Belacan yang telah di panggang.


Simpan dalam botol yang kedap udara.

Bahan-bahannya:

5 biji cili masak.
6 biji cili api.
2 biji limau kasturi.
1 tbsp serbuk belacan.
2 ulas bawang putih-bakar sekejap dan cincang halus.
3 ulas bawang merah-bakar sekejap dan cincang halus.
Garam secukup rasa.
Gula secukup rasa.

Cara-caranya:

  1. Tumbuk cili masak dan cili api sehingga hancur.
  2. Masukkan belacan,bawang putih dan bawang merah.Tumbuk hingga sebati.
  3. Masukkan garam dan gula.
  4. Perahkan jus limau kasturi.
  5. Gaul hingga rata.
Sedap di makan bersama ulam-ulaman seperti kacang panjang,timun,daun selom ,ulam raja dan ulam-ulam kampung yang lain.

Selamat berpuasa kepada kawan-kawan muslimin dan muslimat yang berpuasa pada hari ini.Dan ada ibu -ibu pastikan anak-anak anda berada dalam rumah ketika keadaan jerebu yang semakin teruk ini

.Putrajaya pun dan redup kerana jerebu.Jangan lupa minum air yang banyak dan sentiasa memakai mask apabila keluar rumah.Sama-sama lah kita berdoa agar masalah ini cepat berlalu.Harap-harap akan ada hujan dalam masa terdekat ini.

Sunday, June 23, 2013

Cendol / Lod Chong.( I )

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Ramadhan datang lagi,kedatangan mu ku tunggu dengan penuh rasa gembira dan debaran.Lebih kurang 15 hari lagi umat islam akan menyambut bulan puasa dan ramai yang telah mula melatihkan diri berpuasa sejak bulan Rejab lagi.

 Alhamdulillah.Saat yang paling manis sekali apabila tiba waktu berbuka yang menandakan kita telah berjaya menahan lapar dan dahaga selama sehari suntuk...jangan salah faham ya berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja  tetapi menjaga tuturkata..pandangan dan pendengaran.Banyakkan berzikir dan membaca Al Quraan.Semoga Ramadhan kita kali ini lebih baik dari yang sebelumnya..Amin.



Setiap kali bulan puasa  Cm jarang ke pasar Ramadhan.Kami berbuka seadanya sahaja .Itulah permintaan suami yang selalu menasihati kami anak beranak agar jangan membazir dan jangan menjadikan bulan puasa sebagai pesta untuk makan-makan.Selalunya kami berbuka puasa dengan buah tamar ,minuman panas dan sejuk serta nasi.

Sekali sekali Cm akan sediakan sejenis kuih tetapi selalunya suami akan menjamah kuih selepas solat terawih.Cendol salah satu kegemaran suami dan anak-anak.Tahun ini insyallah Cm akan cuba buat cendol sendiri :)

Cendol : Sumber KakBesah.

Bahan-bahannya:

1 cawan tepung beras.
3 cawan air daun pandan.(10 helai daun pandan di kisar dengan 3 cawan air)
1/2 tsp kapur -bancuh dengan 2 tbsp air.
Sedikit pewarna hijau-optional.
2 tbsp penuh tepung ubi.

Cara-caranya:


  • Satukan semua bahan-bahan di atas hingga sebati dan tapiskan.
  • Tuangkan ke dalam periuk non stick dan masak dengan api yang sederhana.
  • Sentiasa mengacaunya agar tidak berketul-ketul.
  • Masak sehingga mendidih dan adunan menjadi licin serta bersinar,
  • Sementara itu masukkan air dan sedikit ketulan air batu ke dalam bekas yang sesuai.
  • Sendukkan adunan kedalam acuan cendol dan tekan ke dalam bekas yang mengandungi air batu tadi.
  • Lakukan sehingga selesai.
  • Simpan di dalam peti sejuk dan sedia untuk di hidang mengikut citarasa masing masing.
  • Ada yang suka makan bersama santan,gula melaka dan kacang merah serta durian.
Inilah acuan cendol yang Cm gunakan.Tetapi lubangnya agak besar jadi hasil cendol kali ini lebih besar saiznya . Selamat mencuba .

Thursday, June 20, 2013

Lontong Jawa.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Pagi tadi  Cm belajar satu lagi  resipi baru dari Bibik..Selama ini Cm selalu nampak di pasar tani ada peniaga yang menjual "nasi himpit" dalam gulungan daun pisang.Teringin nak buat  sendiri dan hari ini tertunailah hasrat dihati.


Bahan-bahannya:

3 cawan beras-cuci bersih.
4 cawan air.
Daun pisang secukupnya.
Pencungkil gigi secukupnya.

Cara-caranya:


  • Beras dimasak seperti biasa tetapi lebihkan air agar sedikit lembik.Sukatan air sebenarnya bergantung pada jenis beras tetapi jangan terlampau lembik ya.Sedang-sedang je.
  • Apabila nasi masak sejukkan sekejap agar senang untuk membalutnya.
Cara-cara membalut:

Sendukkan sedikit nasi dengan menggunakan senduk plastik yang tak melekat.Padatkan serta bentukkan lonjong seperti ini.



Gulung dengan kemas dan sematkan dengan pencungkil gigi di hujungnya.

Tekan-tekankan bahagian hujung yang satu lagi agar nasi menjadi lebih padat dan semat dengan lidi.Lakukan proses yang sama sehingga selesai dan rebus selama 1 jam.

Setelah masak toskan airnya dan biarkan sejuk baru di potong.

Wah baunya sungguh harum dan nasinya pun lembut.

Alhamdulillah sedap dimakan dengan sayur lodeh dan sambal ikan bilis.Raya tahun ini nampak gayanya Cm akan ucapkan selamat tinggal pada nasi himpit segera yang menggunakan plastik :)

Tuesday, June 18, 2013

Keropok Ubi

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Lebihan parutan ubi kayu semalam Cm buat keropok .Bibik  yang menjaga cucu Cm( baby Aqeel )yang mengajar bagaimana nak buat keropok ni.Semasa Cm parut ubi untuk masak  kuih bingka semalam Bibik gelak-gelak je melihat  Cm amat takut dengan mata pemarut.Lalu dengan eksennya Bibik ambil ubi dan parut..zap zap zap siap.....pantas giler kerjanya.Katanya dah  biasa  ...kat Indon aku parut dua baldi sekali parut  hehe.Patutlah handal :)

Bahan-bahannya:

 3 cawan ubi kayu-parut.
1 tangkai daun sup ambil bahagian daunnya-Cincang halus.
1/2 tsp serbuk lada sulah.
3 ulas bawang putih-tumbuk halus.
Garam secukup rasa.

Cara-caranya:


  • Gaulkan bahan-bahan di atas sehingga rata.
  • Panaskan  air sehingga mendidih dalam periuk yang mempunyai tudung yang rata.
  • Sapukan sedikit minyak di bahagian dalam tudung  periuk.
  • Tempekkan ubi parut ke permukaan bahagian dalam  tudung periuk.Bentukkan bulat-bulat dan ratakan agar sekata ketebalannya mengikut saiz yang di kehendaki.
  • Tutup periuk dengan tempekan ubi kayu di bahagian bawah/dalam..
  • Biarkan selama 2-3 minit jangan terlalu lama ,nanti adunan akan terjatuh ke dalam air yang sedang mendidih.
  • Angkat tudung periuk dan kopek  adunan perlahan-lahan .
  • Aturkan  ke atas dulang dan jemur sehingga kering.
  • Goreng dengan minyak panas seperti menggoreng keropok biasa.


 
Keropok yang telah siap di goreng.





Keropok yang sedang di jemur :)...Selamat mencuba.

Monday, June 17, 2013

Bingka Ubi Kayu Ala Nyonya.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Ubi kayu menjadi kegemaran Cm sejak dulu lagi.Tak kira lah di masak dengan apa cara sekali pun memang Cm suka.Rebus dan dimakan dengan sambal tumis pun sedap.Untuk menu berbuka puasa kami hari ini Cm masak kuih Bingka Ala Nyonya.Mendapat "Ilham" dari SINI dan SINI.Terima kasih Cik Cek dan En.Mat.

Satu resipi yang sungguh senang."Leburkan " semua bahan-bahannya dalam mangkuk.Kacau dan bakar...

Bahan-bahannya:

650 gm ubi kayu parut.
1 cawan kelapa parut.
250 ml air.
2 tbsp kelapa parut.
Sedikit garam.
230 gm gula halus.
1 tbsp tepung kastad.
Sedikit esen vanilla.
2 tbsp butter-cairkan-sejukkan.
Sedikit pewarna kuning.
2 biji telur.
Sedikit bijan untuk tabur.

Cara-caranya:


  • Panaskan oven.
  • Sapukan sedikit minyak masak pada loyang.
  • Kisar 1 cawan kelapa parut dengan 250 ml air sehingga hancur.Tuangkan semuanya ke dalam mangkuk bersama bahan-bahan yang lain tak perlu tapis ya.
  • Kacau sehingga rata dan gula larut.
  • Tuangkan adunan kedalam loyang.
  • Taburkan sedikit bijan dan  bakar sehingga masak.


Tunggu sehingga kuih betul-betul sejuk baru di potong ya..jangan tiru Cm ni yang tak sabar nak potong kuih  dan nak ambil gambar jadi hasilnya potongan yang tak lawa :)

Sunday, June 16, 2013

Bingka Roti

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Jika ada lebihan roti dalam peti sejuk jangan di buang ya.Jangan membazir.Roti keras tu boleh di buat cucur,breads crumbs dan bingka .Kena rajinkan diri sikit je ..sikit bukan banyak ya hehe kerana nak buat bingka roti sungguh mudah.

Berpandukan resipi Myresipi ini Cm ubah suai sikit dengan apa yang ada di dalam peti sejuk Cm yang padat dan sarat ni....pagi tadi ada orang dah komplen katanya banyak benar benda nak expired dalam peti sejuk ni.Setelah di periksa ada roti gardenia putih,whole meal dan 3 biji roti burger yang dah kejung...ada buah ceri dan kismis.


Bahan-bahannya:

4 keping roti putih.
3 keping roti wholemeal.
3 biji roti burger.
2 biji telur grade double A
3/4 cawan brown sugar.
Secubit garam.
Sedikit essen vanilla.
1 cawan tepung gandum.
200 ml santan kotak.
2 1/2  hingga 3 cawan air panas.(adjust mengikut kesesuaian ya jika perlu boleh tambah lagi air)
Sedikit buah ceri
Sedikit kismis.
Sedikit minyak masak untuk di sapu pada loyang.

Cara-caranya:


  • Sapukan loyang dengan sedikit minyak masak.
  • Masukkan roti ke dalam mangkuk.Tuangkan air panas sedikit demi sedikit sambil di tekan-tekan dengan sudu agar air meresap sekata,
  • Biarkan sekejap sehingga roti lembut baru di ramas sehingga hancur.masukkan santan.
  • Kemudian masukkan telur,tepung gandum,essen vanilla,gula dan garam.Kacau sehingga sebati.
  • Tuangkan adunan ke dalam loyang dan tabur dengan potonga buah ceri dan kismis.
  • Bakar sehingga masak.
  • Tunggu sehingga sejuk baru di potong..Enjoy :)

Selamat mencuba :)..Jika sedap beritahu kawan dan Jika tak sedap beritahu Cm ya Pinjam kata-kata kakwan Citarasa wan.Jangan marah ya Kak wan :)

Friday, June 14, 2013

Kebab Ayam Berkeju

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Pagi tadi Cm ada temujanji dengan fisio dan tengahari pulak ada urusan di bank jadi makan tengahari kami anak beranak hanyalah kebab ayam yang sungguh ringkas tetapi berkhasiat serta seimbang...

Jika anda nak cepat atau  tidak cukup masa untuk menyediakan hidangan untuk keluarga dan tak suka tapau makanan dari luar ..bolehlah cuba resipi ini :)

Bahan-bahannya:

1 peket capati segera.
2 dahan daun salad.
1 biji buah tomato.-dadu
2 keping dada ayam-ambil isinya.
1 labu bawang besar-cincang.
Sedikit parutan  keju mozarella
Sedikit minyak zaitun.
Sedikit sos cili.
Sedikit sos tomato.
Sedikit mayonis.
Sedikit lada sulah.
Sedikit garam.

Cara-caranya:


  • Ayamn di rebus dan di siat siat isinya.
  • Panaskan sedikit minyak  zaitun dan tumis bawang besar hingga wangi.
  • Masukkan isi ayam,garam,lada sulah  dan buah tomato.
  • Gaul sehingga rata.-ketepikan.
  • Sementara itu panaskan capati sekejap agar lembut dan senang untuk di gulung.
  • Isikan ayam dan letakkan sedikit sos tomato,sos cili dan mayonis.
  • Taburkan dengan sedikit parutan keju dan gulung hingga kemas.
  • Ikat dengan tali agar tidak terburai semasa membakarnya nanti..Lakukan proses yang sama sehingga selesai.
  • Aturkan ke atas dulang dan taburkan dengan sedikit keju parut.
  • Renjiskan dengan sedikit minya zaitun.
  • Masukkan ke dalam oven dan bakar sehingga perang.
  • Hidangkan bersama potongan daun salad.
  • Sedap di makan ketika masih panas.

Selamat berhujung minggu  :)

Tuesday, June 11, 2013

Tom Yam -Ala Cik manggis.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Cm memang suka masakan Thai terutamanya Tom Yam tetapi anak-anak dan suami tak boleh makan jika menggunakan paste segera yang di jual kat kedai tu.Pastinya ada  yang  sakit perut jadi terpaksalah Cm buat paste "sendiri punya" :)..Cm merayau rayau kat dapur kawan -kawan bloggers dan terjumpa yang serasi dengan selera kami selepas di ubah suai sana sini.Terima kasih Azie. dan minta maaf sebab "derhaka" pada resipi asalnya.Pinjam kata-kata Cik Mat Gebu 

Bahan-bahannya:

Paste Tom Yam.

10 ulas bawang merah.
1 labu bawang besar.
1 tbsp udang kering.
Sedikit belacan-sangai sekejap.
1 inci lengkuas.
4 helai daun limau purut.
3 batang serai.
Garam dan gula secukup rasa.
Sedikit air asam jawa.

Cara-caranya:


  • Kisar semua bahan-bahan di atas.
  • Panaskan minyak dan tumis sehingga pekat.
  • Seimbangkan rasa masin,manis dan masam.
  • Sedia untuk di gunakan.Boleh buat banyak-banyak dan simpan dalam peti sejuk.

Bahan-bahan Sup Tom Yam.

Ayam-di potong kecil.
Udang -bersih dan kopek kulitnya.
1 labu bawang besar-potong 6
2 batang serai-ketuk
1 inci lengkuas -ketuk.
5 ulas bawang putih-ketuk.
5 helai daun limau purut.
2 biji buah tomato-belah 4.
1 ketul kiub ayam.
1 tbsp sos nampla
2 biji limau nipis-ambil jusnya.
Garam secukup rasa.
Daun ketumbar secukupnya.
Cili api-masuk sebiji sebiji-bila nak makan baru picit :)


Sayur:

Kobis
Karot.
Jagung muda.
Cendawan.
Bunga kobis.


Cara-caranya:


  • Rebus ayam sekejap.
  • Masukkan kiub ayam,serai,bawang putih,bawang besar,daun limau purut  dan lengkuas.
  • Kemudian masukkan udang.
  • Apabila telah mendidih baru masukkan pes tom yam ,tadi Cm masukkan 2 tbsp sebab kuahnya sedikit je.Adjust mengikut kesesuaian.
  • Masukkan sos nampla.garam,jus limau nipis ,sayur sayuran dan daun ketumbar.
  • Akhir sekali masukkan Cili padi.
  • Siap untuk di hidangkan.
Setelah di hidangkan Cm akan asingkan satu mangkuk kecik untuk diri sendiri dan picit cili api biar betul betul kaw kaw gitu,Jika tak cukup masam Cm akan tambah extra jus limau.Baru berpeluh-peluh hidung di buatnya.Tak cukup nasi nak ditambah tau hehe.Selamat mencuba :)

Monday, June 10, 2013

Pulut Tai Tai / Pulut Tekan.

Assalamualaikum dan selamat pagi.


Semalam Cm ada bercerita tentang kaya karamel yang di masak untuk dimakan bersama Pulut Tai Tai salah satu menu Cina  Peranakan.Pokok bunga  telang di kebun Cm sentiasa menghasilkan bunga jadi untuk  tidak membazir Cm gunakan sepenuhnya.Bunga telang ni boleh di jadikan salad ,campur dengan sayur-sayuran lain.Sungguh menarik warnanya.Adakalanya Cm masukkan ke dalam minuman sebagai warna semula jadi..menarik :)..suka sangat melihat warna biru dalam minuman.

Pagi semalam Cm memasak  3 jenis kuih  untuk sesi bergambar  dengan akhbar New Straits Times untuk edisi  sisipan STREETS hari selasa ,besok :)...ngeee hehe ...Just for fun :)p ..jangan lupa beli Nst esok ya hehe.

Bahan-bahannya:

2  1/2 cawan beras pulut-rendam sekejap.
1/2 cawan santan pekat.
1 cawan santan cair.
10 kuntum bunga telang -masak dengan sedikit air sehingga keluar warnanya.
Sedikit garam.
1 helai daun pandan-simpulkan.

Cara-caranya:


  • Gaul pulut bersama santan cair  & daun pandan dan kukus sehingga lembut.
  • Keluarkan dari pengukus .Masukkan santan pekat bersama garam gaul sehingga rata.Sudukan air bunga telang ke atas pulut .Biarkan bertompok-tompok agar warnanya tidak sekata.
  • Kukus lagi sehingga masak.
  • Tekan-tekan pulut sehingga padat dan rata.Sejukkan terlebih dahulu sebelum di potong.
Nota:

Sukatan santan bergantung pada jenis pulut yang kita gunakan.Adjust mengikut keadaan.