LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Wednesday, April 24, 2013

Lompat Tikam.

Assalamualaikum dan selamat petang.


Lompat si katak lompat'
Lompat atas talam.
Cepatlah  emak cepat,
Cepat masak lompat tikam.

Hehe ceria-ceria di waktu petang :).Satu lagi menu kuih tradisi orang pantai timur.Jangan tanya kenapa nama kuih ini sangat ganas kerana Cm tak tahu.Cara buat kuih ni tak ada ganas mana nya.Cukup untuk keluarkan peluh semasa mengacau bahagian kuih yang hijau tu :).Sungguh kreatif orang dulu-dulu memberi nama kuih muih mereka.Tetapi inilah kuih yang paling ganas hehe..Melompat dan menikam ...

Nama lain bagi panggilan kuih bagi orang Kelantan adalah Tepung.Jika ada orang cakap yang dia terasa nak makan Tepung,jangan ketawa ya.Maksudnya nak makan kuih bukannya makan tepung gandum.hikhik...
Kuih yang berwarna hijau.

Bahan-bahannya:

1 cawan tepung beras.
3 1/2 cawan air daun pandan.
Secubit kapur.
2 tbsp tepung jagung.

Cara-caranya:


  • Satukan semua bahan-bahan di atas dan tapis.
  • Tuangkan kedalam periuk atau kuali.
  • Masak dengan api yang perlahan sehingga berkilat dan keluar wap.
  • Sentiasa mengacaunya agar tidak hangus.
  • Bila sudah masak tuangkan kedalam bekas yang sesuai dan tunggu sehingga sejuk baru dipotong.
Kuah santan (kepala santan)

Bahan-bahannya:

1/2 cawan santan pekat.
1 cawan air.
2 tbsp tepung beras.
1 helai daun pandan.

Cara-caranya:

Satukan semua bahan-bahan diatas dalam periuk dana masak sehingga mendidih.


Sirap Gula Melaka.

1/2 cawan gula merah atau gula Melaka di masak dengan 1 cawan air serta sehelai daun pandan.masak biar agak -agak pekat.Sejukkan.

Pulut 

Bahan-bahannya:

1 cawab beras pulut .
5 cawan air.
Sedikit pewarna makanan warna merah.

Cara-caranya:

  • Cuci beras pulut hingga bersih.
  • Masukkan ke dalam periuk (Guna periuk nonstick)  dan di masak sehingga mendidih.
  • Kemudian buangkan airnya.
  • Letakkan sedikit pewarna dan kacau hingga rata.
  • Kecilkan api dan tanak pulut sehingga masak.
Cm pernah masak Lompat Tikam dengan menggunakan pulut yang di kukus dan bersantan.Sila ke SINI






"I am submitting this post to Malaysian Food Fest, Kelantan Month hosted by Gertrude of My Kitchen Snippets .

Saturday, April 20, 2013

Nasi Tumpang.

Salam dan selamat petang.

Tak kira dimana saja sekarang semua orang bercakap hal politik.Di fb,blog dan dalam tv,dalam surat khabar tiada lain melainkan politik belaka.Ini yang best jadi orang Malaysia hikhik.Cm pernah tanya rakan baik Cm,sokong parti mana..katanya undi adalah rahsia...pastu dia cakap ###$$%@& apa lah tak adil..kejam..rasuah..*&%###$$.yoyayoya....hmm bukan rahsia lagi :)

Lepas borak-borak pasal politik tentu tekak rasa haus dan perut  pun rasa lapar kan..Jom kita pekena nasi tumpang dengan kopi O kaw kaw.Ini pun  salah satu makanan kegemaran Cm masa kecik kecik dulu.Selalu beli di sekolah.Harga cuma 10 sen satu...jangan terkejut tu kira kira 46 tahun yang lampau masa Cm sekolah rendah.Ramai yang belum lahir lagi kan  masa tu :)

Sepatutnya guna gulai udang tetapi kerana suami Cm tak boleh makan udang jadi Cm masak gulai ikan .Orang Kelantan panggil  Gulai  Kunyit Kuah (Gulai  Kunyit Lengkuas).Cm ambil isi ikan dan kuahnya sahaja.
Gulai Kunyit Lengkuas.

4 ekor ikan kembung-rebus dengan sedikit air,garam dan asam keping.
5 ulas bawang merah.
Sepotong kecil  Kunyit hidup.
Sepotong kecil  lengkuas.
7 tangkai cili kering.
1 keping asam gelugur.
1 biji kelapa ambil 2-3 cawan santan.
5 biji kacang panjang.
3 biji cili hijau.
Garam dan gula secukup rasa.

Cara-caranya:


  • Kisar kunyit,lengkuas,bawang merah dan cili kering.
  • Masukkan santan kedalam periuk dan campurkan dengan bahan-bahan kisar.
  • Masak sehingga mendidih.Kemudian masukkan ikan yang direbus tadi.Jangan lupa toskan airnya ya.
  • Masukkan garam,gula dan asam keping.Sentiasa di kacau perlahan-lahan agar kuah tak berketul-ketul.
  • Akhir sekali masukkan cili hijau dan kacang panjang.
  • Biarkan mendidih sekejap.
Serunding ikan Tenggiri-beli :)


Kelongsong Daun Pisang.


Nasi.

Bahan-bahannya:

1 cawan beras.
3 cawan air.

Cara-caranya:

Masak nasi seperti biasa.Apabila telah masak kecilkan api.Setiap 5-10 minit hendaklah mengacau nya dan tekan-tekan agar nasi hancur.Tutup periuk dan lakukan beberapa kali proses yang sama.Akhir sekali sudukan sedikit nasi kedalam kelongsong daun pisang dan tekan-tekan dengan sudu agar nasi padat dan masuk sehingga ke hujung kelongsong.

Kemudian sudukan sedikit serunding keatasnya.Masukkan lagi nasi keatas serunding dan tekan agar padat.Last sekali letakkan isi ikan dan sedikit kuah keatasnya.Tutup kan dengan kemas.Tunggu sehingga nasi agak sejuk,bolehlah dihidangkan.





"I am submitting this post to Malaysian Food Fest, Kelantan Month hosted by Gertrude of My Kitchen Snippets .

Thursday, April 18, 2013

Nasi Kerabu Kuning

Salam dan selamat petang.


Semasa Cm tinggal bersama keluarga di kampung dulu,jiran jiran kami ada yang berketurunan Cina Siam.Masih ingat lagi nama-nama diorang..Mek Bunga,Mek Tuan,Mek Teok,Wee Chian.Che Arun.........yang paling rapat dengan keluarga Cm adalah Mek Teok.....Masyarakat Cina Thai di Kelantan bercakap dalam longat Kelantan,cara hidup pun hampir sama dengan masyarakat melayu Kelantan....dan mereka makan budu macam Cm ni hikhik.

Jika memasak nasi kerabu mereka lebih suka masak nasi kerabu kuning.Jadi hari ini Cm masak nasi kerabu kuning untuk mengembalikan ingatan semasa berjiran dengan kawan-kawan yang berketurunan  Cina Siam dulu...Dimana kah  mereka sekarang......rindunya ....

Jika makan nasi kerabu Cm suka makan dengan ulam yang banyak.Ulam yang wajib ada ialah  daun kesom,tauge ,bunga kantan dan timun.Jika tak ada terasa tak lengkap.

Nasi.

Bahan-bahannya:

2 cawan beras,
Air secukupnya.
2 helai daun limau purut.
1/2 tsp serbuk kunyit.

Cara-caranya:

Masak nasi seperti biasa dengan menggunakan periuk elektrik.

 Tumis Budu:

5 tangkai cili kering.-jika suka pedas boleh tambah cili kering ya :)
6 ulas bawang merah.
2 ulas bawang putih.
1 hiris halia.
3 tbsp budu.
Gula dan garam secukup rasa.
1 keping asam gelugur.
Sedikit Gula melaka.
1/2 biji kelapa ambil 1 cawan santan.
2 helai daun limau purut.
1 batang serai-ketuk.
Sedikit minyak untuk menumis.

Cara-caranya:


  • Kisar bawang putih,bawang merah,cili kering dan halia sehingga halus.
  • Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar hingga wangi.Masukkan  serai serta budu.Masak sehingga agak pekat.
  • Kemudian masukkan santan,gula melaka,gula,garam ,asam keping dan daun limau purut.
  • Biarkan mendidih dan agak pekat sedikit.Seimbangkan rasa garam dan gulanya.


Sambal Kelapa.

Bahan-bahannya:

1 biji kelapa-goreng tanpa minyak sehingga agak-agak perang.
1 batang serai.
4 ulas bawang merah.
3 ekor ikan kembung direbus dan diambil isinya sahaja.
Garam dan gula secukup rasa.

Cara-caranya:

Masukkan semua bahan-bahan diatas ke dalam food processor.Kisar hingga semua bahan-bahannya sebati.(express ni )

Air Lada.

20 biji cili api.
Sedikit garam.
Sedikit Cuka.
1/3 cawan air masak.

Cara-caranya:

Kisar sehingga halus.


Ikan Goreng Tepung.

Ikan kembung dimasak dengan sedikit air,garam dan asam keping.Apabila ikan telah masak toskan airnya.
Bancuhkan tepung gandum dengan sedikit air,garam dan serbuk kunyit.Agak-agak seperti bancuhan untuk goreng pisang.Celup ikan dan goreng hingga perang atau sehingga garing seperti goreng pisang.

Solok Lada.-Sila klik DISINI.


"I am submitting this post to Malaysian Food Fest, Kelantan Month hosted by Gertrude of My Kitchen Snippets .


Wednesday, April 17, 2013

Nasi Himpit Kelantan's style :)

Selamat petang semua :)

Wah...meriahnya apabila melihat kibaran bendera parti parti yang bertanding pada pilihanraya kali ini..Selamat mengundi semua.Jangan lupa untuk mengundi dengan bijaksana.Undi dengan fikiran yang waras ya :)...ingat tu undi dengan berhemah dan bukan atas perasaan emosi  semata mata..Semoga Allah melindungi Malaysia bumi tercinta ini dari segala musibah............

Setiap kali menjelang hari raya Nasi Himpit menjadi salah satu hidangan wajib bagi keluarga kami.Emak lah orang yang paling sibuk menyiapkan semua juadah.Dia tak suka masak nasi himpit segera yang dalam peket plastik tu.Katanya tak sedap.Memang betul nasi himpit yang di masak sendiri memang amat berbeza rasanya dan baunya .Jika tak percaya bolehlah cuba dan lihat perpezaannya.

Nasi himpit atau nasi kapik perlu dihimpit dengan benda berat agar nasi menjadi padat.Selalunya emak menggunakan lesung batu atau tong beras atau apa apa saja yang berat.Orang yang berbadan besar atau gemuk selalu kena usik oleh adik beradik kami  agar tolong himpit atau duduk atas nasi himpit hehe.

Baha-bahannya:

3 cawan beras.
9 cawan air.
Daun pisang secukupnya.
Loyang /bekas yang sesuai.
Periuk nonstick.

Cara-caranya:

  • Masak nasi seperti biasa.Apabila air hampir kering hendaklah kecilkan api dan tutup periuk.
  • Apabila nasi telah masak hendaklah dikacau-kacau nasi dengan sudip dan tutup kembali periuk.
  • Biarkan selama 5-10 minit dan kacau lagi kemudian tutup periuk dan ulangi proses yang sama selama 3-4 kali.Apabla nampak nasi agak kering dan berketul- ketul melekat pada sudip boleh lah di pindahkan kedalam loyang yang di alas dengan daun pisang.
  • Tuangkan nasi kedalam loyang dan tekan-tekan dengan menggunakan sudip.Tutup permukaan dengan daun pisang dan tekan dengan menggunakan tangan.
  • Akhir sekali letak tudung periuk atau pinggan yang rata di atas permukaan yang dialas dengan   daun pisang dan tindih dengan benda berat.Cm guna botol air mineral yang besar :)
  • Apabila nasi telah sejuk bolehlah dimasukkan ke dalam peti sejuk sekejap.Siap untuk di potong.



Homemade nasi himpit ni sedap dimakan dengan sambal kelapa special yang agak manis .




"I am submitting this post to Malaysian Food Fest, Kelantan Month hosted by Gertrude of My Kitchen Snippets .

Sunday, April 14, 2013

Nasi Berempah 2 in 1 :)

Salam dan selamat tengahari.Dah makan  ke belum?Hari ini hari minggu jadi pastinya ramai yang mengambil peluang untuk bersama sama keluarga samada keluar makan atau bersantai santai .....Selamat menjamu selera bagi yang memilih untuk makan tengahari di rumah.Emak,ummi,mama,mami ,ibu atau apa saja panggilan pada seorang ibu ,merekalah merupakan tulang belakang pada setiap keluarga.Jika ibu sakit maka pastinya dapur pun  turut sakit juga. Pendek kata segalanya terhenti secara tiba tiba.......

Ada masanya kita perlu menyiapkan makanan dalam kadar segera dan secepat yang boleh tanpa membelakangkan/ mengabaikan  rasa makanan tersebut.Mari....Cm nak kongsikan  satu menu mudah  2 in 1.Tak perlu nak goreng lauk atau nak masak sayur.Hanya masak nasi dah cukup :)

Bahan-bahannya:

3 cawan beras basmati-cuci dan toskan.
1/2 ekor ayam potong sedang.
1 batang kulit kayu manis.
3 kuntum bunga lawang.
2 kuntum buah pelaga.
3 kuntum bunga cengkih.
1 inci halia.-tumbukhalus
4 ulas bawang merah-mayang.
1 ulas bawang putih-cincang halus.
1/2 tsp serbuk ketumbar.
1 biji buah tomato-cincang.
1/2 biji cili hijau-tumbuk.
1 batang celery-potong halus.
1 biji terung panjang-potong sedang.
1/2 biji lada benggala dipotong kecik.
1/2 tbsp serbuk kerutuk.
1 tangkai daun ketumbar.-kerat kerat kasar.
Garam secukup rasa.
1 ketul kiub ayam-optional.
Sedikit minyak jagung untuk menumis.
1 cawan air.
3 cawan air.

Cara-caranya:


  • Panaskan minyak masak  ,tumiskan kulit kayu  manis,bunga lawang,buah pelaga dan bunga cengkih.
  • Kemudian masukkan bawabg merah,bawang putih,halia,cili hijau ,serbuk kerutuk dan serbuk ketumbar.Tumis sehingga naik baunya.
  • Masukkan ayam dan di gaul rata.Masukkan 1 cawan air.Biarkan ayam mereneh sekejap baru masukkan kiub ayam dan garam.
  • Apabila  ayam hampir  masak masukkan  beras dan kacau hingga mesra.Masukkan 3 cawan air,sayur-sayuran yang di potong tadi dan seimbangkan rasa garamnya agar tidak terlalu masin atau terlalu tawar.
  • Tanak  nasi sehingga masak.
Jika ada masa boleh lah tumbukkan cili hijau , cili api dan gaul bersama-sama potongan buah  tomato dan daun ketumbar .Gaul sehingga sebati kemudian perahkan jus lemon dan letakkan garam serta gula secukup rasa.Siap.

Sarapan / Tortilla Gulung.

Salam dan selamat pagi.Pagi ini teringin nak makan tortilla  gulung celup telur.Dah lama tak bersarapan berat.Selalunya Cm makan roti atau bijirin   kerana nak ringankan sikit "beban" lutut yang menampung badan yang "comel"ni.:).

Kuahnya Cm guna kacang panggang dalam tin.Terima kasih pada sahabat baik Cm, Tok Mama Naufal kerana bagi resipi untuk kacang panggang ni.Tapi kali ini Cm ubah suai sikit mengikut selera sendiri :).Tq Tok mama Naufal ya.
Baha-bahannya:

Tortilla  secukupnya.
Telur.-pukul ringan dengan garfu.
Sedikit minyak.

Cara-caranya:


  • Celup tortilla kedalam telur dan pan fry dalam kuali non stick hingga perang
  • Gulung dan potong bulat bulat.
Kacang Panggang:

200 gm daging-potong kecik.
1 labu bawang besar-cincang,
1 batang karot-dadu.
1 ulas bawang putih-cincang.
1 biji cili masak.-potong bulat.
1 biji buah tomato-cincang..
1/2 tbsp rempah kari daging -campur dengan sedikit air.
1 tin kacang panggang-saiz besar.
Sedikit minyak untuk menumis.
1 tangkai daun ketumbar.
Garam dan gula secukup rasa.


Cara-caranya:

  • Panaskan minyak dan tumis bawang mesar dan bawang putih hingga wangi.
  • Masukkan rempah kari .kacau hingga wangi.
  • Kemudian masukkan daging dan sedikit air,Biarkan mendidih dan daging empuk,
  • Akhir sekali masukkan kacang panggang,tomato,karot,daun ketumbar,garam dan gula.
  • Biarkan  sehingga mendidih jika nampak terlalu pekat bolehlah  tambah sedikit air.

Friday, April 12, 2013

Solok Lada.




Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Cili solok yang Cm beli pada hari selasa lepas nampak sudah mula nak kecut walaupun disimpan dalam peti sejuk.Niat di hati nak masak solok lada tapi asyik tertangguh je ..kerja bertangguh tak   menjadi.(Peribahasa)...Jadi semalam Cm nekadkan hati dan kumpulkan kerajinan untuk buat solok lada.Memang kemalasan yang teruk:)

Bahan-bahanya:

6 biji Cili hijau.(Cm panggil cili Kelantan)
1 ulas bawang putih.
1 batang serai.
5 ekor ikan kembung-rebus atau panggang dan di ambil isinya sahaja.
5 ulas bawang merah.
1 /2 tsp lada hitam (biji)
1/2 cawan kelapa parut.
1/2 tbsp kerisik.
1/3 cawan santan pekat.
Garam dan gula secukup rasa.

Cara-caranya:


  • Bersihkan cili dan toskan. .Belah  cili  tapi jangan putus dan buangkan bijinya.Ketepikan.
  • Masukkan bawang merah,bawang putih,serai , isi ikan,lada hitam dan kelapa parut dalam food processor.Kisar hingga sebati.
  • Keluarkan dan campurkan keisik,gula dan garam.Lebihkan sedikit gula kerana rasa solok memang manis sedikit baru sedap.Tapi boleh sesuaikan dengan selera masing masing.Jika tak suka manis kurangkan gula.
  • Isikan bahan-bahan kisar kedalam cili belah tadi  dan tekan-tekankan agar padat supaya   tidak terburai semasa memasaknya  nanti.(.Ada orang suka masak dengan santan  dan ada juga  yang suka kukus tanpa santan.)
  • Aturkan solok kedalam periuk dan tuangkan santan pekat.Jangan terlebih santannya ya..agak agak seperti dalam foto diatas.
  • Tutup periuk dan masak sehingga santan kering atau cili layu.


"I am submitting this post to Malaysian Food Fest, Kelantan Month hosted by Gertrude of My Kitchen Snippets .



Wednesday, April 10, 2013

Telur Dadar.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Aikk telur dadar pun nak letak kat blog ?..tak apa ..yang simple tak semestinya tak sedap.Jika tak percaya boleh cuba :).....Ini pun masakan Kelantan juga tau :)

Jika ada anak-anak kita yang baru nak belajar memasak atau ada antara kita yang nak tukar citarasa  kelainan telur dadar,bolehlah mencuba resipi Cm ni.Insyallah anda pasti sukakannya.Baunya sungguh wangi.. kombinasi kelapa dan bahan-bahan rencah tu sungguh serasi dengan telur .Dalam kata mudah ianya "Ngam" dengan telur.:)

Bahan-bahannya:

4 biji telur.
5 ulas bawang merah.
1 ulas bawang putih.
3 tangkai cili kering.
1 hiris halia.
1/2 tsp lada hitam( biji.)
3 tbsp kelapa parut.
Garam secukup rasa.

Cara-caranya:


  • Tumbuk cili kering,lada hitam,bawang merah,bawang putih dan halia sehingga hancur.
  • Masukkan kelapa parut dan garam ,tumbuk biar sebati.
  • Pecahkan telur dan pukul ringan dengan garfu.
  • Masukkan bahan-bahan yang ditumbuk tadi dan dikacau rata.
  • Panaskan minyak  dalam kuali.
  • Tuangkan bancuhan telur ke dalam kuali.Guna api yang perlahan,Tutup kuali dgn penutupnya.
  • Balikkan telur dadar agar ianya masak sekata.
  • Siap.

"I am submitting this post to Malaysian Food Fest, Kelantan Month hosted by Gertrude of My Kitchen Snippets .

Tuesday, April 9, 2013

Ikan Bakar

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Selamat tengahari.Hari ini Cm nak kongsi satu lagi  menu mudah .Ringkas dan sihat.Walaupun ringkas jangan pandang sebelah mata ya :) .Satu lagi menu kegemaran mak dan arwah ayah.Dulu-dulu jika nak panggang ikan selalu guna dapur arang kerana lebih sedap dan baunya lebih wangi tapi hari ini Cm guna oven je.....nak cepat....Cm lebih suka melumurkan ikan yang akan dipanggang dengan sedikit garam dan kunyit hidup agar nampak lebih menarik warnanya.
Bhana-bahannya

6 ekor ikan kembung-pilih yang segar.Bersihkan dan di kelar-kelar.
2 inci kunyit hidup.
1/2 tsp garam.
Daun pisang secukupnya.

Cara-caranya:


  • Tumbuk kunyit dan garam sehingga halus.Sapukan pada ikan sehingga sekata.
  • Alaskan dulang pembakar dengan daun pisang dan aturkan ikan diatasnya.
  • Masukkan ke dalam oven dan pangang hingga masak.
Bahan-bahan untuk pencicahnya:

Budu
Cili api.
Hirisan limau nipis.
Tempoyak.

Ulam:

Kacang botor.
daun selom.
Ulam raja.
Kacang panjang.
Peria.


Ok..selamat menjamu selera ya..jika ada yang tersadai kekenyangan jangan salahkan Cm  hehe.Makan berpada pada dan berhentilah sebelum kenyang...Bismillah....
"I am submitting this post to Malaysian Food Fest, Kelantan Month hosted by Gertrude of My Kitchen Snippets .