LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Wednesday, March 28, 2012

Poli Ubi Kayu Keledek Bersagu.




Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Kuih Talam diatas Cm buat malam tadi sebelum masuk tidur.Resepi asal dari blog TC .Terima kasih TC.Semasa Cm baca bahan-bahannya rasa agak unik kerana ada ubi kayu,keledek dan  biji sagu .Warnya pula kuning keemasan kerana ada tepung kastad.Jika ubi kayu parut dan di kukus orang kampung Cm panggil kuih Poli Ubi Kayu jadi Cm jenamakan semula Talam ubi ini kepada Poli Ubi Kayu Keledek Bersagu.Maaf ya TC:)
Bahan-bahannya:)

335 gm ubi kayu parut.
75 gm keledek.-parut.
100 gm biji sagu.-rendam selama 5 minit.
150 ml santan pekat.
165 gm gula-Kurangkan jadi 120 gm.
10 gm tepung kastad.


Untuk Salut.
1/2 biji kelapa parut(putih)-kukus sekejap.
Secubit garam.


Cara-caranya:


  • Sapukan sedikit minyak pada loyang yang sesuai.
  • Bancuhkan bahan-bahan diatas sehingga rata.
  • Tuangkan kedalam loyang dan kukus dengan api yang besar sehingga masak.
  • Biarkan kuih betul-betul sejuk barulah di potong.
  • Gaul dengan kelapa yang dicampur dengan sedikit garam.



Untuk selera Cm ,kuih ni agak manis jadi Cm telah kurangkan kandungan gulanya .Selamat mencuba.






Tuesday, March 27, 2012

Ikan Stim Halia

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Alhamdulillah Cm dah siap masak untuk makan tengahari .Menu yang sungguh mudah dan agak sihat.
Beberapa hari ni asyik makan makanan bergoreng je.Tiba-tiba rasa bersalah pada diri sendiri  kerana berlaku kejam pada badan sendiri  jadi untuk menu tengahari ,Cm kukuskan ikan siakap.Isteri/ibu  bertanggung jawab keatas pemakanan keluarga.Jika mahukan keluarga kita sihat kenalah pilih menu yang sihat.Semuanya bergantung kepada makanan yang kita sediakan.

Bahan-bahannya:)

1 ekor ikan siakap-cuci dengan asam limau dan belah bahagian belakangnya.

Bahan-bahan A:

3 ulas bawang putih-mayang halus.
3 ulang bawang merah-mayang halus.
2 inci halia-mayang halus.
1/2biji cili masak -potong bulat.
3 biji cili padi-jika suka pedas boleh tambah-hiris tapi Cm letak sebiji-sebiji jika nak makan baru dipicit kerana ada yang tk boleh makan pedas.
2 batang serai-ketuk.
3 helai daun limau purut.
Sedikit lada sulah.
Sedikit air,garam dan gula.
1 tsp sos tiram.
3 biji asam boi.
1/2 tbsp kicap manis.

Bahan-bahan B:

8 keping cendawan-tak bubuh sebab tak ada.
1 biji buah tomato-belah.
2 biji limau nipis atau limau kasturi-ambil jusnya.
1/2 batang karot-potong kecik.
4 inci batang saderi-potong nipis.
Sedikit daun ketumbar,daun sup dan daun bawang.

Cara-caranya:


  • Panaskan pengukus.
  • Masukkan ikan kedalam bekas yang sesuai.
  • Masukkan bahan-bahan A.
  • Kukus selama 15 minit.

  • Selepas 15 minit baru masukkan bahan-bahan B.
  • Seimbangkan rasa masin,manis dan masam.Sedap dimakan ketika masih panas.
*Sumber asal  resepi dari Syarikat Menang glassware.(Balkis Bharuddin) dan di ubah suai mengikut citarasa sendiri.

Monday, March 26, 2012

Murtabak Ayam.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Selamat tengahari semua dan selamat berpuasa Isnin pada kawan-kawan yang berpuasa.Semoga puasa kita mendapat berkat dari Allah Taala dan diterimaNya.Insyallah.

Setelah mencuba resepi roti canai tempohari tiba-tiba teringin pulak untuk buat murtabak ayam sendiri.Seronok apabila doh roti canai hari tu cantik dan tak cepat terkoyak.(elastik)


Bahan-bahan untuk dohnya sila lah KESINI ya:)

Bahan-bahan untuk Inti:)


500 gm daging ayam cincang.
2 labu bawang besar-cincang.
2 ulas bawang putih-cincang halus.
2 bili cili hijau atau cili masak-potong halus.
2 tbsp rempah kari daging -Cm guna cap Adabi.
1 tbsp sos tomato.
2 biji telur.
2 tsp serbuk lada hitam.
Garam dan gula secukup rasa.
Minyak untuk menumis.


Cara-caranya:)



  • Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih,cili hijau atau cili masak  dan bawang besar hingga layu.
  • Kemudian masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air.Masak hingga rempah kari betul-betul masak.
  • Masukkan daging kisar dan sedikit air serta garam,sos tomato ,gula serta serbuk lada hitam, kacau hingga sebati.
  • Kecilkan api dan masak sehingga kering .
  • Akhir sekali pecahkan 2 biji telur dan masukkan kedalam inti.Kacau hingga rata.
  • Tebarkan doh sehingga nipis .Letakkan inti kemudian lipatkan empat persegi menutupi inti dengan kemas.
  • Masak dengan api sederhana dan sentiasa balik balikkan murtabak agar masak sekata dan tidak hangus.
  • Sedap dimakan dengan kuah dal dan bawang yang direndam dengan cuka.Selamat mencuba.

Saturday, March 24, 2012

Nasi Kerabu.



Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Gara-gara terliur nasi kerabu Ika maka  hari ini Cm kuatkan semangat  untuk memasak nasi kerabu.Kebetulan puan Neo dan anak lelakinya AJ  datang menziarahi Cm maka dapatlah mereka merasa nasi kerabu kegemaran mereka.Hampir 31 tahun kami mengenali Pn Neo ...Cm melihat AJ membesar di depan mata dari seorang bayi sehinggalah  dewasa.beliau merupakan  seorang Juruterbang dengan penerbangan  Air Asia....Tumpang berbangga:)

Bahan-bahannya:( Resepi Mak)

Nasi:

Masak nasi seperti biasa .Jika mahukan nasi warna biru,gunalah air bunga Telang.Sayang sekali Cm hanya ada beberapa kuntum bunga Telang jadi warnanya tak berapa terang,Jangan lupa masukkan beberapa helai daun limau purut semasa memasak nasi bergantung berapa banyak nasi yang dimasak.

Sambal Kelapa:(wajib)....

1/2 biji kelapa parut-bahagian putih.
4 ulas bawang meran.
1 batang serai-potong nipis.
2 tsp biji lada hitam.
Garam secukup rasa.
1 inci halia.
Gula melaka secukup rasa.
2 ekor ikan kembung-panggang.

Cara-caranya:


  • Kelapa di sangai sekejap jangan terlalu perang.
  • Tumbuk bawang merah,serai,lada hitam,garam dan gula melaka sehingga lumat.
  • Ikan diasingkan tulangnya dan dilenyek kasar.
  • Masukkan semua bahan-bahan tumbuk dan ikan kedalam kelapa sangai tadi dan gaul hingga rata.
Budu Tumis(wajib):

Bahan-bahannya:

5 tangkai cili kering.
5 ulas bawang merah.
2 ulas bawang putih.
1/2 botol budu(saiz paling kecil)
1 inci halia.
1 batang serai-ketuk.
Gula melaka secukup rasa.-agar rasa lemak-lemak manis.
2 helai daun limau purut.
1/2 biji buah limau purut-belah dua.
Sedikit minyak untuk menumis.

Cara-caranya:
  • Cili kering,bawang merah,bawang putih dan halia dikisar hingga halus.
  • Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar sehingga naik baunya.
  • Masukkan daun limau purut,buah limau purut dan serai.Kacau hingga rata.
  • Tuangkan 1/2 botol budu saiz yang paling kecil dan masukkan  1/4 cawan air.
  • Masak sehingga mendidih jika nampak terlalu pekat boleh tambahkan lagi sedikit air atau jika terlalu cair masakkan sehingga agak pekat sedikit.
  • Kemudian masukkan gula melaka secukup rasa.seimbangkan rasanya.
Ikan Goreng bertepung.

  • Ikan direbus dengan garam,lengkuas dan asam keping sehingga masak.
  • Kemudian Toskan airnya.
  • Bancuhkan tepung seperti tepung untuk goreng pisang.
  • Celup ikan dan goreng hingga garing.
Kuah Tumis dan Air Lada.

Air Lada:

  • Kisar cili api dengan sedikit air masak.
  • Masukkan sedikit cuka.
Kuah Tumis:

1 biji santan pekat.
5 biji cili kering.
1 inci halia.
1 ulas bawang putih.
4 ulas bawang merah.
1 batang serai-ketuk.
Gula dan garam secukup rasa.
Sedikit minyak untuk menumis.

Cara-caranya:
  • Cili kering,halia,bawang merah dan bawang putih dikisar halus.
  • Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga wangi.
  • Masukkan serai.
  • Kemudian masukkan santan pekat.Kacau  dan masak sehingga mendidih.Masukkan  garam dan gula secukup rasa.
Ulam-ulamnya:

  • Kacang panjang.
  • Kacang botor.
  • Daun kesum.
  • Daun selom.
  • Ulam raja.
  • Timun.
  • Tauge.
  • Bunga kantan.

Telur Masin.

Dengan Nama Allah Yang maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Ya Allah berkatilah padanya(makanan kami) dan kurniakanlah makanan yang lebih baik darinya.

Thursday, March 22, 2012

Roti Canai.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Alhamdulillah .Cm  berbuka puasa dengan sekeping roti canai homemade.Bila perut lapar semua makanan yang dimakan terasa sangat sedap belaka.Inilah nikmat bagi orang berpuasa.Air sejuk pun rasa sungguh sedap.

Terima kasih Ika dan Hana sebab Cm  ambil resepi mereka..Kali ini sungguh senang menguli dengan KA.On kan switch dan tunggu siap.Cm uli doh  pagi tadi dan masak sebelum berbuka puasa......Sedap di makan ketika masih panas.

Bahan-bahannya:

3 cawan tepung gandum.
1 hingga 1 1/2 cawan air...masuk 1 cawan kemudian agak-agak.jika keras tambahkan sikit lagi airnya.
1 tbsp shortening.
2 tbsp susu pekat manis.
Garam secukup rasa.
1 tbsp minyak jagung.

Cara-caranya:


  • Bancuhkan 1 cawan air dengan susu pekat manis,minyak masak dan garam.
  • Masukkan tepung,shortening  dan bancuhan air tadi  kedalam mangkuk pengadun.
  • Uli hingga sebati.Jika nampak dohnya agak keras tambahkan sedikit air dari 1/2 cawan air tadi.
  • Uli sehingga elastik.Rehatkan selama 30 minit.Tutup dengan kain lembab.
  • Bentukkan menjadi bebola kecil seberat 75 gm-90 gm  setiap satu.
  • Sapukan dengan minyak masak.
  • Perap selama  2 jam  tetapi Cm perap selama 7 jam.
  • Tebar mengikut kepakaran masing masing:)...Cm main tarik-tarik je.Tetapi jangan risau kali ini dohnya tak mudak koyak.
  • Masak dengan api yang perlahan.
  • Sedap dimakan dengan kuah kari atau kuah dal.

Ya Allah kepada Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau aku beriman.dan aku berbuka daripada rezeki Engkau berikan.Dengan rahmatnya  Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyanyang.

Tuesday, March 20, 2012

Menu Zuhud.... Kaki Ayam Masak Kicap.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Sekali lagi Cm siarkan menu yang berasaskan kaki ayam.Cm rasa anak anak pasti menyukainya.jadi jangan rasa ragu-ragu untuk mencuba resepi ini:)...Terima kasih pada Puan Neo kerana berkongsi resepi keluarganya sejak turun temurun lagi.

Bau masakan kaki ayam ni sungguhlah wangi,menaikkan selera nak makan nasi walaupun hanya sekadar  kaki ayam yang sungguh humble sekali......Cm teringat satu cerita yang Cm baca dari sebuah buku yang bertajuk Dinamika Iman...Sebuah kisah seorang sufi yang berjalan hanya "Berkaki Ayam"kerana terlalu zuhud.Namanya Bisyr Al Hafi..(lupa ejaan yang betul namanya.)....dan resepi kali ini sungguh "zuhud" juga...Kaki Ayam Masak Kicap.:)

Bahan-bahannya:

14 batang kaki ayam.
3 tbsp kicap pekat.
1 tsp cuka.

1 labu bawang besar.-potong bulat.
1 ketul kecil halia.-mayang halus.
3 ulas bawang merah.-tumbuk kasar.
3 ulas bawang putih.-tumbuk kasar.
Kicap manis secukupnya.
Garam secukup rasa.
Sedikit gula.
2 biji cili masak.-potong bulat.
11/2 tsp serbuk lada putih.
3 tbsp tepung gandum.

Cara-caranya:


  • Kaki ayam di cuci bersih.pastikan kukunya di buang.
  • Perap dengan kicap pekat dan cuka selama 1/2 jam atau lebih.
  • Gaulkan dengan tepung gandum-untuk mengelakkan daripada meletup letup semasa menggorengnya nanti.
  • Panaskan minyak dan goreng kaki ayam hingga garing.
  • Kemudian terus masukkan kedalam bekas yang mengandungi air sejuk(air paip)
  • Biarkan selama 10-15 minit.
  • Toskan airnya.

  • Panaskan minyak dan tumis bawang merah,bawang putih  dan halia hingga layu dan wangi.
  • Kemudian masukkan kaki ayam dan gaul hingga rata.Masukkan kicap dan sedikit garam serta serbuk lada putih.Jika suka boleh letakkan juga sedikit gula.Gaul biar rata.

  • Last sekali masukkan hirisan bawang besar.Masak sekejap sehingga bawang layu.Siap untuk dihidangkan.
Semoga kita sentiasa memperolehi rezeki yang halal dan diberkati Allah.Insyallah.Selamat menjamu selera.Mulakan dengan Bismillah dan disudahi dengan Alhamdulillah.

Monday, March 19, 2012

Sayur Campur Dengan Kaki Ayam.

Assalamualaikum dan ssalam sejahtera.


Mesti ada yang buat muka terkejut bila nampak ada kaki ayam dalam sayur ni hehe.Tak pe kerana bagi setengah orang kaki ayam ni di buang je apabila membeli ayam.Seorang teman baik Cm  memberi tahu khasiat memakan kaki ayam .... baik untuk masalah lutut yang Cm alami sekarang  ini .Jadi Cm rasa tak rugi mencubanya. Cm goreng dengan sayur.Selain dari sedap ianya sangat murah.
Bahan-bahannya:

10 batang kaki ayam.
4 ulas bawang putih-ketuk.
1/2 tsp serbuk lada putih.
Sedikit garam..
sedikit serbuk pati ayam.
1/2 tsp minyak bijan.
1 tsp tepung jagung.
1/2 tbsp sos tiram.
1 ketul kecil halia-ketuk.
1 buku kecil brokoli.-potong kecil.
1/2 batang karot.-potong nipis.
1 batang celery.-potong kecil.
Sedikit minyak jagung untuk menumis.
Cara-caranya:


  • Rebus kaki ayam bersama halia dan sedikit garam selama 10-15 minit.
  • Toskan airnya.Masukkan kaki ayam kedalam air sejuk (ais).Rendam sekejap.
  • Kemudian toskan.Buangkan tulang yang besar.Ambil isinya.Ketepikan.
  • Panaskan minyak dan tumis bawang putih hingga wangi.masukkan kaki ayam tadi dan di kacau hingga rata.
  • Masukkan sos tiram,serbuk pati ayam  dan lada putih.
  • Masukkan sayur-sayuran tadi.Gaul hingga sekata.
  • Akhir sekali bancuh tepung jagung dengan sedikit air dan minyak bijan.Tuangkan kedalam sayur dan gaul hingga sekata.Angkat dan hidangkan.

Sunday, March 18, 2012

Pineapple Rolls /Nastar & Pineapple Tarts.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Alhamdulillah.Akhirnya dah siap pineapple Rolls dan Pineapple Tarts yang Cm usahakan sejak dari pagi tadi:).Semalam masak rendang,nasi himpit and the gangs dan hari ini masak tarts nenas,rasa macam dah nak raya pulak......Sebenarnya  Cm berkenan sungguh bila lihat step by step dalam blog INI...nampak senang je tapi bila nak gulung doh melekat pada plastik.Kena berhati-hati sekali semasa menggulungnya.
Cm guna doh yang sama untuk membuat tart nenas dan pineapple rolls tetapi rasanya berbeza.Yang digulung seperti gambar diatas  sungguh ranggup dan rapuh.Rasa seperti Biskut Butter.tetapi dengan doh yang sama apabila digulung seperti Tart biasa ianya peroi dan lembab.Sedap  tetapi agak manis.Lain kali kena kurangkan gula untuk dohnya.
Bahan-bahannya:)..Tuan asalnya: Indochine kitchen.Ika dan My Kitchen Snippets.

200 gm butter.
50 gm gula halus.
40 gm susu tepung.
20 gm tepung jagung.
2 biji kuning telur.
280 gm tepung gandum.

Bahan-bahan untuk sapu:

2 biji kuning telur.
setitis pewarna oren.
Cara-caranya:)


  • Pukul butter dan gula sehingga kembang dan gebu.
  • Kemudian masukkan kuning telur dan pukul lagi sehingga sebati dan kental.
  • Masukkan semua tepung gandum,tepung jagung dan susu tepung.Uli sehingga sebati.
  • Untuh membuat pineapple rolls-gelek doh dengan ketebalan 0.3 cm.(agak-agak).dengan beralaskan   sekeping plasik.
  • Masukkan jem kedalam piping beg dan tekan memanjang.Gulung perlahan-lahan seperti membuat swiss roll.Potong sepanjang 4 cm setiap satu.Aturkan keatas dulang yang disapu dengan butter atau untuk lebih senang alaskan dulang dengan baking paper.
  • Sapukan permukaan biskut denga kuning telur.Bakar hingga kuning keemasan.
  • Untuk tart gulung biasa-masukkan doh kedalam acuan tart gulung dan letakkan jem nenas dan gulung seperti biasa.sapu dengan kuning telur dan bakar hingga masak.

Nota:Kurang berpuas hati dengan bentuk Pineapple Rolls ini.Kena buat sekali lagi ..kena lembutkan tangan yang keras macam kayu:)

Jem Nenas

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Kami jarang ke Pasar pada hari minggu kerana tak suka bersesak-sesak terutama sekali nak cari tempat parking.Selalunya Cm dan Liza ke pasar pada hari orang bekerja.Aman damai:)boleh parking tepi gerai sayur dan berlenggang itik memilih apa yang nak dibeli.Tetapi hari ini sangat teruja nak buat Roll Nenas  yang Ika buat ni jadi kena ke Pasar untuk beli nenas nak buat jemnya.Cm suka jem yang tak berapa manis.

Bahan-bahannya:)

5 cawan nenas parut- Sukat guna cawan metrik.
3 1/2 cawan gula pasir.
1 helai daun pandan.
1 keping kulit kayu manis -agak-agak 2-3 inci saiznya.

Cara-caranya.

Masukkan semua bahan-bahan diatas kedalam kuali dan masak sehingga pekat.Kemudian perlahankan api dan kacai perlahan-lahan sehingga jem betul-betul masak dan likat.kena selalu kacau agar jem tak hangus.Sejukkan sebelum digunakan.

Saturday, March 17, 2012

Rendang Ayam Cili Padi.





Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Wah lamanya dapur maya  Makcikmanggis tak berasap:)...jangan salah faham ya.Cm memasak seperti biasa tetapi tak sempat nak buat n3 kerana macam- macam hal.Maklum sajalah di musim cuti sekolah ni.Ada saja program yang tak dirancang.

Hari ini Cm masak rendang ayam  atas permintaan kak Long.Dah lama tak masak masakan pedas.Kali ini Cm masak rendang guna cili padi dan cili kering.Masa makan memang sedap tetapi selepas makan terasa panas perut.....memang kami sekeluarga alah pada masakan pedas.Suka makan pedas tapi perut pulak tak tahan.&; meragam....Sekali sekala tak apa..nak sedapkan hati........


Bahan-bahannya:)

1 ekor ayam-potong 12-15.
10 tangkai cili kering.
20 biji cili api.
15 ulas bawang merah.
3 ulas bawang putih.
1 inci lengkuas.
2 inci kunyit hidup.
2 inci halia.
5 batang serai-mayang.
2 batang serai -ketuk.
1 helai daun kunyit-mayang halus.
12 helai daun salam.
1 kg santan kelapa.
1 cawan air.
Garam dan gula secukup rasa.
1 keping asam gelugur.
2 tbsp kerisik.



Cara-caranya.


  • Bawang merah,bawang putih,halia,lengkuas,kunyit dan 5 batang serai di kisar halus.
  • Masukkan ayam kedalam kuali atau periuk yang sesuai.Kemudian masukkan bahan-bahan kisan dan secawan air.Masak sehingga ayam 1/2 masak.
  • Kemudian baru masukkan santan,daun kunyit,daun salam,serai ketuk .garam.gula,kerisik dan.asam keping.
  • Masak sehingga kuahnya pekat.
  • Siap .Sedap dimakan dengan nasi atau nasi himpi,sayur lodeh dan kuah kacang.