LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Sunday, July 3, 2022

Asam Keping



Assamualaikum, Salam di hujung minggu. Jika saya ke Pasar tani atau pasar pagi dan ada orang jual buah asam gelugur saya pasti akan beli beberapa biji untuk di keringkan. Selalunya yang menjual ni makcik-makcik yang jual sayur kampung. Hari tu saya beli 6 biji.



Balik rumah saya cuci buah asam gelugur bersih dan di hiris nipis.Cuaca pulak panas terik jadi jemur dalam 2 hari ianya sudah kering dengan cantik. Bila kering saya simpan dalam peti sejuk untuk mengelakkan ianya bertukar warna jadi hitam. 


Saturday, July 2, 2022

Nasi Tumpang




Nasi tumpang makanan kegemaran semasa zaman kanak-kanak dulu. Apabila merantau keluar dari Kelantan agak susah nak jumpa orang jual, jadi pilihan yang ada kena masak sendiri.



Bahan-bahannya :

Nasi

2 cawan beras wangi

5 cawan air

Saya menggunakan periuk tekanan Philips . Masukkan beras dan air, guna butang rice 14 minit. Apabila masak, buka penutup dan kacau sehingga beras sebati. Tekan butang utk bake selama 20 minit dan kacau sehingga nasi likat, kental. Tutup periuk dan biarkan sekejap.

Lauknya:

4 keping Ikan tongkol.. Rebus dgn garam serta asam keping

8 ekor Udang

2 biji telur di dadar.. Potong kecil

4 ulas bawang merah*

2 ulas bawang putih*

1 inci halia*

1 inci lengkuas*

5 tangkai cili kering*

200ml santan kotak

1 1/2 cawan air

3 sudu makan  rempah kari ikan

1 keping asam gelugur

Gula Melaka secukup rasa

Garam secukup rasa

Sedikit minyak untuk menumis

Serunding ikan secukupnya. 

Cara-caranya:

Kisar bahan-bahan yang bertanda *hingga halus. Panaskan minyak dan tumis sehingga wangi. Masukkan rempah kari ikan. Tumis lagi sehingga pecah minyak. Masukkan 1 1/2 cawan air dan santan.

Bila mendidih masukkan asam keping, gula Melaka dan garam. Masukkan ikan dan biarkan mendidih sekali lagi. Akhir sekali masukkan udang. Bila udang sudah masak boleh di tutup api.

Jika suka boleh masukkan beberapa biji telur rebus. Boleh di makan dengan nasi dagang. 2 in 1 😀

Ada dua jenis cara nak buat kelongsong untuk nasi tumpang ni ya, ada yang panjang dan ada yg kelongsong biasa, saya suka buat kelongsong biasa kerana lebih senang untuk isi nasi nanti. 

Bentukkan kelongsong terlebih dahulu agar memperolehi bentuk kon yang cantik kemudian  baru di layurkan atas api agar daun pisang tidak rapuh semasa proses mengisi nasi dan lauk nanti.



Cara mengisi nasi dan lauk:

Mula-mula, masukkan sesudu nasi lembik ke dalam kelongsong, tekan2kan dengan sudu plastik kecil, masukkan serunding ikan, top up kan dengan nasi dan tekan2kan agar padat. Akhirnya masukkan ikan, udang serta telur dadar serta kuah gulai dan tutup dengan nasi lembik. Tekan biar padat dan tutup dgn kemas. Lakukan sehingga selesai. Bila sejuk nasi lembik akan mengeras seperti nasi himpit.

Selamat mencuba semoga bermanafaat. 

Thursday, June 30, 2022

Siput Masak Lemak Cili Api





Saya lupa bila kali terakhir saya masak siput sedut, mungkin 38 tahun yang lalu kerana suami tak makan siput. Hari ini mommy Aqeel cakap teringin nk makan siput sedut masak lemak jadi ada alasan untuk beli siput kat pasar pagi Nilai bersebelahan pasar di pekan lama Nilai. Mahal boleh tahan, rm16 satu kg. Masa kecik-kecik dulu cari sendiri siput di paya dengan arwah ayah free je, sungguh seronok.



Saya ikut resipi orang Nismilan sebab dah jadi orang Nismilan kan. Bahan-bahannya hanya cili api, kunyit hidup, serai, asam keping, garam dan santan. Oleh kerana suami tak makan siput jadi saya letak lebih cili api biar puas makan pedas sehingga baby Areef yg umur 11 bulan terbatuk-batuk bau cili api yang menusuk ke hidung. Anak lelaki saya yg berumur 23 tahun, pertama kali makan siput sedut sejak di lahir kan ke dunia ini hehe.



1 kg siput sedut

400ml santan pekat

1 cawan air

15..20 biji cili api*

2batang serai ketuk

1 keping asam gelugur

1 genggam daun kesom

2 inci kunyit hidup*

Garam secukup rasa.



Cara-caranya:


Siput dicuci bersih dan di potong sedikit bahagian ekornya dan bilas sekali lagi dengan air hingga bersih.

Kisar bahan yg bertanda *hingga halus. Tuang kan ke dalam periuk. Tambahkan 1 cawan air. Masukkan santan, serai, asam keping dan garam secukup rasa

Bila santan sudah mendidih baru masukkan siput dan daun kesom. biarkan mendidih sekali sehingga siput benar-benar masak.

Tuesday, June 28, 2022

Apom Lenggang.

Apom Lenggang. Bancuh malam tadi, pagi ini melenggang.


Bahan2nya:


1 1/2 cawan tepung beras

1/2 cawan tepung gandum

1/2 cawan nasi sejuk*

1 1/2 cawan air*

1/2 cawan gula

1 sudu teh yis 

1 sudu teh garam

1 biji telur

1 cawan santan


Kisar bahan yang bertanda *sehingga halus.

Masukkan semua bahan -bahan di atas kecuali santan. Gaul sehingga sebati. Simpan dalam peti sejuk.


Esok pagi keluarkan adunan apom dari peti sejuk. Masukkan santan dan biarkan sekejap.


Bolehlah melenggang Apom kita. Saya guna kuali non stick saiz kecil.


Semoga bermanafaat.

Monday, June 27, 2022

Burung Tekukur Tua Di Kebunmini saya

 Assalamualaikum,

Saya memang suka berkebun walaupun tanah sekangkang kera,saya menanam pokok-pokok herba keperluan dapur sendiri seperti serai,kunyit,lengkuas,halia,kaduk,basil,bunga telang ,pokok kantan dan banyak lagi.Gambar di bawah ini ketika saya baru mula  dirikan para untuk tanaman labu dan timun tetapi sekarang  para ini telah di gantikan dengan buluh kerana besi lama tu telah berkarat.


Beberapa minggu lepas suami saya terjumps seekor burung Tekukur yang telah mati dan kami   tanam dibawah pokok buluh di kebun mini saya.Semalam ada seekor lagi burung Tekukur di atas para pokok labu yang nampaknya sungguh uzur.Jika tidak silap saya di kebun mini  ini  ada sepasang burung Tekukur yang selalu turun minum di kolam ikan saya.Terlintas di fikiran adakah burung ini pasangan kepada burung yang telah mati tempohari?Jika benar,sungguh setia betul, kata orang hanya maut yang dapat memisahkan mereka....pagi tadi tiada lagi kedengaran bunyi suara burung tekukur seperti biasa..sedihnya....saya cuba mencari bangkai burung ini tetapi gagal.



Setiap yang hidup pasti akan mati.Jangan bersedih...saya cuba memujuk hati sendiri.Banyak pengajaran yang dapat kita kutip dari kehidupan seekor burung ini umpamanya tentang rezeki. Ada sebuah hadis yang di kaitkan dengan burung....

"Seandainya kalian sungguh-sungguh bertawakal pada Allah,Sungguh Aliah akan memberi kalian rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki kepada seekor burung yang pergi dalam keadaan lapar dan kembali dalam keadaan kenyang. (HR.Tirmidzi ,hasan shahih)




Sunday, June 26, 2022

Serimuka Durian


 Sekarang ini musim durian jadi kuih Serimuka Durian datang bermusim juga di dapur saya.Semalam saya beli durian kampung dan ambil isinya untuk dijadikan topping serimuka durian ini.Bila masak sendiri bolehlah letak extra durian baru puas makannya.

Ohya sudah bertahun saya tak buat posting di dapur makcikmanggis ini hingga terlupa password nak masuk dapur sendiri.ini dapur kesayangan saya yang banyak menyimpan kenangan indah memasak dengan kawan-kawan bloggers,ramai yang tidak aktif lagi tetapi blog masih ada untuk saya mendapatkan resipi2 yang menarik.


Serimuka Durian.

Bahan-bahannya:

Lapisan bawah:


2 cawan beras pulut -rendam selama lebih kurang 3-4 jam.

2 cawan santan kelapa.

2 sudu teh garam halus.

*loyang empat segi 9x9 inci sapu dengan sedikit minyak masak dan alas dengan plastik.

Lapisan Atas:

1 cawan isi durian

2 cawan santan

3/4 cawan gula pasir

1/2 cawan tepung gandum

1/2 cawan tepung kastad

1 sudu makan tepung beras

2 biji telur grade B

sedikit pewarna kning.

1 sudu teh garam halus.


Cara-caranya:

1.Panaskan pengukus.

2.Cuci beras pulut hingga bersih dan toskan airnya.Masukkan kedalam loyang.Bancuhkan santan dengan garam dan tuangkan ke atas pulut.Gaul rata dan kukus sehngga masak.Jangan lupa balut penutup kukusan dengan tuala dapur agar wap tidak jatuh ke permukaan kuih.Apabila pulut sudah masak ratakan dan tekan-tekankan agar pulut lebih padat.

3.Satukan semua bahan-bahan lapisan atas sehingga rata dan kisar sehingga halus.Masukkan ke dalam periuk dan masak sekejap sehingga naik wap tapi jangan sampai mendidih.kacau jgn stop ya.

4.Tuangkan bancuhan durian kedalam loyang pulut tadi dan kukus sehingga masak.Apabila sudah masak buka penutup kukusan dan biarkan di atas api selama 5 ke 10 minit agar air wap di permukaan kuih kering dan dengan cara ini kuih tidak cepat basi.

5.Biarkan kuih betul-betul sejuk barulah di potong.Insyallah sedap sangat kuih serimuka Durian ini.Selamat mencuba semoga bermanafaat.


Saturday, May 9, 2020

KEBUN MINI SAYA



Sejak berpindah ke rumah baru dua tahun lepas masa banyak dihabiskan di kebun sekangkang kera di depan rumah saya.Suami pun telah bersara jadi banyak masa bersama di kebun mini kami.Saya rasa sangat seronok hilang segala rasa stress bila melihat pokok pokok yang di tanam tumbuh dengan suburnya apa lagi sayuran yang kami tanam adalah organik yang bebas dari racun.

Saya menanam beberapa rumpun pokok tebu hitam pemberian jiran di rumah lama saya.Alhamdulillah tumbuh dengan subur sejak hujan seminggu dua ini.

Pokok Pisang serendah.

Pokok pisang Nangka berbuah buat kali kedua.

Saya menanam timun diatas raised bed.

Insyallah posting yang akan datang saya akan tunjukkan cara cara nak masak acar timun dengan hasil timun dari Kebun Mini Saya ini...asalnya blog saya ini adalah blog masak- masak .bila anak anak semua dah keluar "sarang"hehe masak memasak bukan menjadi keutamaan lagi.Masak-masak dah jadi pilihan nombor dua ....sehingga bertemu lagi Wassalam.

Friday, May 8, 2020

Assalamualaikum,

lama makcik tak post apa apa aktiviti masakan atau kebun.Selamat berpuasa semoga sihat sihat semuanya.Inilah hasil kebun makcik beberapa hari lepas,Alhamdulillah,Timun tak habis makan separuh saya frozenkan.

Buluh madu pun galak tumbuh sebab hari hujan seminggu dua ini.Rebung madu saya frozen juga tetapi saya potong dan rebus sehingga lembut baru di masukkan ke dalam freezer...oh ya ada yang bertanya macamana nak frozenkan timun?mula mula cuci dan keringkan kemudian belah dua untuk keluarkan bijinya.Masukkan ke dalam plastik dan simpan dalam freezer.

okay sehingga bertemu lagi bye...

Thursday, May 2, 2019

Homemade kuey teow

Homemade kuey teaw dari Kebun Mini Saya

Bahan-bahannya:

2 3/4 cawan tepung gandum.*

1 cawan tepung pulut.*

1/2 cawan tepung beras."

2 biji putih telur*

1 cawan air*

Sedikit garam*

Sedikit minyak untuk rebus kuey teaw

Tepung ubi untuk tabur ke atas kuey teaw semasa proses menggeleknya.

Cara-caranya:

Masukkan semua bahan bahan yang bertanda *.

Uli sehingga boleh di bentuk menjadi tiga ketul doh.

Perap sekejap dalam 10 minit sementara siapkan meja tempat kerja.

Leperkan doh agar senang untuk di mesin.Mesen macam mesin getah keping zaman dulu tu 😅.

Lakukan beberapa kali dengan memulakan no yg paling besar..7,pastu kecilkan ke no 5 dan seterusnya no 4,sehingga doh menjadi kepingan nipis untuk kuey teaw.Akhir sekali mesin dengan bahagian untuk kuey teaw.

Taburkan dengan tepung ubi semasa proses memesin dan setelah siap mesin.

Panaskan air ,masukkan sedikit minyak masak.Bila air mendidih baru masukkan kuey teaw dan masak sehingga timbul di permukaan.

Last sekali masukkan kuey teaw ke dalam bekas air sejuk dan alirkan air paip ke atasnya.

Toskan kan dan gaulkan dengan sedikit minyak masak.

Siap untuk di masak menu kesukaan masing masing.Hari ini saya nak masak kuey teaw sup😅

**Sumber :fb Tahrunisah Jali.

Sunday, April 21, 2019

Kaswi Labu







Kaswi Labu.

Bahan-bahannya.

1 cawan labu.(kukus )
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung ubi
1/2 cawan gula pasir
2 cawan air
Sedikit air kapur.

Kelapa parut.*
Sedikit garam*
kukus sekejap.
Cara-caranya

Larutkan gula dengan dua cawan air..masak dan kacau sehingga hancur..sejukkan.

kisar labu dengan air gula ,air kapur sehingga sebati,masukkan tepung gandum dan tepung ubi..kisar sehingga sekata.

Panaskan pengukus.

Sapukan loyang dengan sedikit minyak masak.Tuangkan adunan dan kukus sehingga masak.

Sejukkan dan gaulkan dengan kelapa parut yang diletakkan dengan sedikit garam.. enjoy .

Terima kasih pada tuan punya resipi ini ,saya dah lupa namanya.Semoga Allah murahkan rezeki anda di mana anda berada.

Saturday, April 6, 2019

Kuih Ambong

Kuih Ambong.

Bahan-bahannya:

1 mangkuk tepung gandum..ayak

1 mangkuk telur(5 biji telur grade B.)

1 mangkuk gula halus (saya kurang jadi 3/4 mangkuk)

1 sudu teh ovelete
1 sudu teh essen rose.

Sedikit pes pandan  untuk dpt kaler hijau,boleh ganti dgn pewarna makanan biasa.

Cara-caranya;

Panaskan pengukus.

Pukul telur dan gula serta ovelet e sehingga kental.

Guna senduk kayu masukkan tepung sedikit demi sedikit ,gaul sebati.Masukkan esen ros.

Sapu loyang bulat 9 inci dengan sedikit minyak.Asingkan 2 sudu makan adunan.Tuangkan selebihnya ke dalam loyang.

Titiskan sedikit pes pandan ke dalam dua sudu adunan tadi.Kacau rata.Tuang ke atas adunan yg dalam loyang tadi.Lorek lorekkan dengan lidi atau chopstick.

Kukus sehingga masak.

Sayur Pedas Daun Moringa



Bahan-bahannya.

Daun moringa
Keledek-potong kecil
Bawang merah
Lada hitam
Sedikit budu(Optional)
Isi ikan..ikan rebus ambil isinya
Sedikit gula,(Optional)
Sedikit garam.

Cara-caranya:)

Didihkan air secukupnya..jangan banyak nanti tak sedap.

Tumbuk bawang merah,lada hitam dan isi ikan sehingga hancur..kasar kasar pun ok.

Masukkan bahan tumbuk dengan keledek ke dalam periuk.Masak sehingga keledek empuk.

Akhir sekali baru masukkan daun moringa,garam,gula dan budu.

Bila mendidih matikan api.
Siap.

Friday, April 5, 2019

Serbuk Colek Ala Thai






Bahan-bahannya:

1cawan udang kering *
Belacan..ikut selera masing masing.*
20 biji cili kering*

1/2 cawan gula..sesuaikan dgn selera.Boleh tambah jika suka.

Garam secukup rasa.

Cara-caranya:)

Sangai bahan-bahan yang bertanda *sehingga garing.

Masukkan semua bahan-bahan di atas ke dalam pengisar dan kisar sehingga sebati.

Simpan di dalam bekas kedap udara...selamat mencuba.

Pau Gebu Kenyal





Bahan-bahannya:

Sponge (A)

250gm tepung pau (Cm guna cap Blue Key)
20 gm gula kaster.
11 gm yis.
125 gm air.

Bahan B

250 gm tepung pau.
100 gm gula kaster.(guna 80g)
30 gm shortening.
2 tbsp tepung beras pulut.
10 gm double action baking powder.
125 gm air.
5 gm garam.
Inti pau-terpulang pada citarasa masing-masing
.
Cara-caranya:

Satukan bahan-bahan A dan uli sehingga licin dan rehatkan selama 30 minit.

Satukan bahan B sehingga sebati dan rehatkan.

Apabila cukup masa 30 minit satukan doh A dan doh B dan uli sehingga sebati dan licin.Rehatkan selama 30 minit.

Bulat-bulatkan 50 gm setiap satu dan isikan dengan inti.Tutup dengan kemas.

Rehatkan 20 minit dan kukus sehingga masak.
Jangan lupa alaskan tutup pengukus dengan tuala agar air tidak menitik ke atas pau.

Petua untuk dapatkan pau yang cantik :
Pastikan air untuk mengukus telah mendidih dan berwap sebelum di masukkan pau ke dalam periuk kukusan.
Jarakkan kedudukan pau dalam pengukus kira-kira 5-6 cm setiap satu.
Pau hendaklan di kukus sebaik saja ianya kembang.
Jika pau yang telah di isikan inti di biarkan lama di dalam suhu bilik ianya akan mengecut setelah di kukus.



Friday, March 31, 2017

 Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Lama sungguh saya tidak buat posting dalam blog saya ini.Kali ini saya hendak berkongsi resipi kek yang sungguh simple dan senang nak buat.Jom kita tengok resipinya :)


Soft chocolate walnut cake.

5 biji telur dari peti sejuk.
6 ozs gula kaster.
6 ozs tepung gandum.
7 ozs butter.*
1 tsp esen vanilla *
1 ozs air ais.
2 ozs walnut...cincang.*
2 ozs scraped chocolate.*
2 ozs chocolate rice.*
1 tsp ovallete.
1 tsp baking powder.

Cara-caranya:)

Satukan semua bahan-bahan di atas dan pukul  kecuali yg bertanda * sehingga thick and fluffy ketepikan.

Pukul butter dan vanilla sehingga putih.Kemudian satukan sehingga sebati kedua2 bahan tadi.

Akhir sekali masukkan coklat..coklat rice dan walnut .Gaul perlahan-lahan.

Sapukan loyang bulat 9 inci dgn butter.Alas dgn baking paper.

Tuangkan adunan ke dalam loyang.Tabur lebihan chocolate rice atas permukaannya.

Jgn lupa panaskan oven terlebih dahulu sebelum memulakan persiapan nak buat kek ya.170 darjah celcius.

Bakar sehingga masak.



Selamat mencuba .Harap anda suka dengan kek ini.

Tuesday, September 27, 2016

Sourdough Bagels

Assalamualaikum dan selamat sejahera.

Inilah perama kali saya buat bagel dengan sourdough starter.Alhamdulillah kejadiannya sungguh menarik sekali.Sebelum ini saya beranggapan untuk membuat roti sourdough adalah sangat sukar terutama setelah beberapa kali gagal untuk  menghasilkan sourdough starter yang betul.

Beberapa kali roti saya jadi "batu" dan terlampau masam.Natural yeast saya buat pula berbau sangat busuk dan sebagainya.

Roti sourdough sangat baik untuk kesihatan  tetapi orang Malaysia belum biasa lagi dengan roti sourdough yang agak keras dan berat.Kita di biasakan dengan roti yang gebu dengan di tambah dengan macam-macam bahan pelembut serta penaik roti yang bukan semula jadi.Untuk roti bertahan lama bahan
 pengawet pula di tambah.Dalam kepala kita telah di "set" roti mesti gebu dan lembut.Satu anggapan yang tidak tepat.insyallah nanti kita bincangkan lagi tentang tajuk ini di lain posting ya...

Jom kita lihat bahan-bahan untuk menghasilkan Bagels.

Sourdough bagels.

400 g tepung roti.
250 g sourdough starter-fed.
180 ml air.
1 tbsp susu tepung.
1 tsp garam.
1 tbsp chia seed -optional.

Hiasan..Chia seed dan bijan.
1 tbsp semolina untuk di taburkan rata pada dulang agar bagel tidak melekat.


Cara-caranya:


  • Satukan semua bahan-bahan dan uli sehingga sekata.
  • Bulat-bulatkan doh menjadi 8 biji atau seberat 100 g setiap satu.
  • Rehatkan sekejap kira-kira 10 minit.
  • Kemudian bentukkan doh tadi menjadi bentuk bagels.
  • Biarkan doh naik menjadi dua kali ganda dari saiz asal.
  • Sementara itu panaskan ketuhar 220 darjah celcius.
  • Didihkan air dalam periuk dan masukkan 2 tbsp madu.
  • Kecilkan api dan biarkan air mendidih perlahan-lahan.
  • Masukkan bagels 2-3 biji sekali masuk bergantung pada periuk yg di gunakan.masukkan selama 15 ke 30 saat.
  • Keluarkan dari periuk dan taburkan dengan chia seed sertabijan pada permukaannya.
  • Susun ke dalam dulang pembakar.
  • Lakukan proses yang sama sehingga selesai.
  • Masukkan ke dalam oven.Kurangkan kepanasan oven ke 200 darjah celcius.
  • Bakar sehingga masak atau warna perang keemasan.Lebih kurang 30 ke 45 minit.
  • Keluarkan darioven dan biarkan sejuk selama 20 minit baru di pindahkan ke atas wire rack .





Sunday, September 25, 2016

Sambal Kicap


Assalamualaikum dan selamat sejahtera;


Pagi tadi saya letak gambar sambal kicap ini di FB dan ada kawan-kawan yang bertanyakan bagaimana cara-cara nak buat sambal ini.Sebenarnya tiada resipi hanya pakai campak-campak saja atau agak-agak.Orang dulu-dulu tiada sukatan yang tepat jika memasak tapi hanya agak-agak mengikut pengalaman atau trial and error .
Tetapi jangan risau untuk membuat sambal kicap ni tak susah insyallah jadi dan sedap.

Bahan-bahan yang di perlukan...

6-7 biji cili api-terpulang pada selera masing-masing jika suka pedas letaklah lebih.

1 ketul kecil gula Melaka.

1 sudu makan gula pasir.

1 sudu teh garam.

1 ketul kecil..agak2 sebesar ibu jari belacan-panggang sekejap.

4 sudu makan cuka

4 sudu makan kicap manis.

Cara-caranya:)


  • Tumbuk cili api sehingga hancur.
  • Masukkan gula melaka,garam,gula pasir,kicap serta cuka.Lenyek sehingga semua bahan-bahan sebati.
  • Siap untuk di hidangkan  dengan keropok lekor,mangga muda ,soto dll.Selamat mencuba ya.





Cili Api Jeruk

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Bahan-bahan yang di perlukan...
Cili api.
Garam.
Gula.
Cuka makan.
Botol kaca yang sesuai.


Kali ini  saya ingin berkongsi cara-cara untuk menjeruk cili api agar ia bertahan lama.Selalunya jika kita simpan dalam peti ais dalam tempoh yang lama cili akan reput atau rosak dan jika   kita simpan dalam freezer pun cili akan jadi lebam dan akhirnya rosak juga.Jalan paling selamat adalah dengan di jadikan jeruk.
Saya ada menanam 5 pasu pokok cili api dan semuanya berbuah serentak.Alhamdulillah seronok sangat apabila melihat pokok_pokok itu berbuah dengan lebatnya.Tak habis untuk kegunaan harian kerana kami sekeluarga bukan pemakan cili tegar  jadi saya mengambil keputusan untuk menjeruk lebihan cili api yang saya petik petang tadi agar bertahan lama.


Inilah hasil tuaian petang tadi.Saya cuci bersih dan keringkan betul-betul sebelum di jeruk.

Cili api yang sudah di keringkan airnya tadi perlu di gaul dengan garam serta gula.

Kemudian cili api tadi di isikan kedalam botol yang telah di rendam dengan air mendidih dan keringkan sebelum di gunakan.Akhir sekali tuangkan cuka makan kedalam botol cili sehingga penuh.

Sekarang jeruk cili api kita sudah siap.Dalam masa empat lima hari lagi boleh lah di makan bersama bihun sup,sup tulang ,mee goreng atau apa-apa saja yang di sukai.Ada juga yang makan dengan nasi panas atau dengan ikan pekasam.Selamat mencuba...






Thursday, September 22, 2016

Bubur Ayam

Satu lagi menu yang menjadi kegemaran kami sekeluarga.Saya letak resipi di sini agar anak-anak saya serta anak-anak di luar sana yang baru nak belajar memasak dapat jadikan panduan.Inilah masakan yang paling senang.Pejam mata pun boleh buat hehe.Guna periuk letrik atau guna Noxxa :) pada siapa yang ada periuk Noxxa la kan hehe.

Bahan-bahannya:)

1 pot kecil beras .
1 ketul dada ayam.
Garam secukup rasa.
Lada sulah,
1 ketul kecil halia-ketuk.
2 ulas bawang putih ketuk.

Geng-gengnya :)

Daun bawang,
Daun sup.
Kacang tanah goreng.
Telur masin rebus,
cili masak hiris.
Cili api hiris.
Ikan bilis goreng.
Limau kasturi,
Lobak asin.

  Cara-caranya:)


  • Rebus dada ayam dengan air yang mencukupi sehingga empuk.
  • Keluarkan dada ayam tadi dan siat-siat ambik isinya.
  • Tuangkan air rebusan ayam ke dalam periuk eletrik.Tambah air jika perlu.
  • Masukkan  beras yang siap di cuci dan toskan airnya.
  • Tekan butang congee.(boleh pejam mata dah lepas ni hehe)
  • Setelah masak bolehlah di hidangkan dengan kawan-kawannya di atas ya :)
*Kan makcikmanggis dah cakap pejam mata pun dan boleh masak bubur ayam ni.Selamat mencuba ya :)





Roti Benggali

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Sebelum saya lupa resipinya saya perlu letak resipi Roti Benggali yang saya buat dua hari lepas.Pertama kali saya guna yis segera dan sourdough starter serentak.Kami sekeluarga amat menyukai rasa roti ini.Ranggup di bahagian keraknya dan lembut dan kenyal-kenyal di dalamnya.
Terima kasih pada tuan punya resipinya.Puan Nurul .Instagram:Nurpian.Minta di halalkan ya.

Roti Benggali.

Bahan-bahannya:)


300gm tepung roti.
1 sudu teh garam.
2 sudu teh gula.

1 1/2 sudu teh yis segera.
400gm sourdough starter.
100 gm air.

Cara-caranya:


  • Satukan semua bahan-bahan di atas dalam mangkuk pengadun.
  • Uli sehingga elastik.Saya guna mixer selama lebih kurang 10 minit.Jika guna tangan rasanya memakan masa 20 minit atau lebih.
  • Apabila selesai menguli doh,keluarkan dan perap dalam bekas yang telah di sapukan dengan sedikit minyak masak/butter
  • Tutup dengan cling wrap dan biarkan kembang dua kali ganda dari saiz asal.
  • Kemudian sapukan minyak pada tin pullman.
  • Bahagikan doh kepada 3 bahagian.Lakukan dengan perlahan-lahan.Doh ini sangat lembut.Sapukan tangan dengan sedikit tepung gandum sebelum memegang doh ya ...

  • Bulat-bulatkan dan susun ke dalam loyang .
  • Tutup dengan cling wrap dan tunggu  sehingga doh naik  ke paras  permukaan bekas tadi.
  • Jangan lupa panaskan oven terlebih dahulu..180-190 darjah celcius .Bakar sehingga masak.Lebih kurang 50 minit ke 1 jam.Bergantung pada jenis oven masing-masing)