LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Thursday, June 30, 2022

Siput Masak Lemak Cili Api





Saya lupa bila kali terakhir saya masak siput sedut, mungkin 38 tahun yang lalu kerana suami tak makan siput. Hari ini mommy Aqeel cakap teringin nk makan siput sedut masak lemak jadi ada alasan untuk beli siput kat pasar pagi Nilai bersebelahan pasar di pekan lama Nilai. Mahal boleh tahan, rm16 satu kg. Masa kecik-kecik dulu cari sendiri siput di paya dengan arwah ayah free je, sungguh seronok.



Saya ikut resipi orang Nismilan sebab dah jadi orang Nismilan kan. Bahan-bahannya hanya cili api, kunyit hidup, serai, asam keping, garam dan santan. Oleh kerana suami tak makan siput jadi saya letak lebih cili api biar puas makan pedas sehingga baby Areef yg umur 11 bulan terbatuk-batuk bau cili api yang menusuk ke hidung. Anak lelaki saya yg berumur 23 tahun, pertama kali makan siput sedut sejak di lahir kan ke dunia ini hehe.



1 kg siput sedut

400ml santan pekat

1 cawan air

15..20 biji cili api*

2batang serai ketuk

1 keping asam gelugur

1 genggam daun kesom

2 inci kunyit hidup*

Garam secukup rasa.



Cara-caranya:


Siput dicuci bersih dan di potong sedikit bahagian ekornya dan bilas sekali lagi dengan air hingga bersih.

Kisar bahan yg bertanda *hingga halus. Tuang kan ke dalam periuk. Tambahkan 1 cawan air. Masukkan santan, serai, asam keping dan garam secukup rasa

Bila santan sudah mendidih baru masukkan siput dan daun kesom. biarkan mendidih sekali sehingga siput benar-benar masak.

Tuesday, June 28, 2022

Apom Lenggang.

Apom Lenggang. Bancuh malam tadi, pagi ini melenggang.


Bahan2nya:


1 1/2 cawan tepung beras

1/2 cawan tepung gandum

1/2 cawan nasi sejuk*

1 1/2 cawan air*

1/2 cawan gula

1 sudu teh yis 

1 sudu teh garam

1 biji telur

1 cawan santan


Kisar bahan yang bertanda *sehingga halus.

Masukkan semua bahan -bahan di atas kecuali santan. Gaul sehingga sebati. Simpan dalam peti sejuk.


Esok pagi keluarkan adunan apom dari peti sejuk. Masukkan santan dan biarkan sekejap.


Bolehlah melenggang Apom kita. Saya guna kuali non stick saiz kecil.


Semoga bermanafaat.

Monday, June 27, 2022

Burung Tekukur Tua Di Kebunmini saya

 Assalamualaikum,

Saya memang suka berkebun walaupun tanah sekangkang kera,saya menanam pokok-pokok herba keperluan dapur sendiri seperti serai,kunyit,lengkuas,halia,kaduk,basil,bunga telang ,pokok kantan dan banyak lagi.Gambar di bawah ini ketika saya baru mula  dirikan para untuk tanaman labu dan timun tetapi sekarang  para ini telah di gantikan dengan buluh kerana besi lama tu telah berkarat.


Beberapa minggu lepas suami saya terjumps seekor burung Tekukur yang telah mati dan kami   tanam dibawah pokok buluh di kebun mini saya.Semalam ada seekor lagi burung Tekukur di atas para pokok labu yang nampaknya sungguh uzur.Jika tidak silap saya di kebun mini  ini  ada sepasang burung Tekukur yang selalu turun minum di kolam ikan saya.Terlintas di fikiran adakah burung ini pasangan kepada burung yang telah mati tempohari?Jika benar,sungguh setia betul, kata orang hanya maut yang dapat memisahkan mereka....pagi tadi tiada lagi kedengaran bunyi suara burung tekukur seperti biasa..sedihnya....saya cuba mencari bangkai burung ini tetapi gagal.



Setiap yang hidup pasti akan mati.Jangan bersedih...saya cuba memujuk hati sendiri.Banyak pengajaran yang dapat kita kutip dari kehidupan seekor burung ini umpamanya tentang rezeki. Ada sebuah hadis yang di kaitkan dengan burung....

"Seandainya kalian sungguh-sungguh bertawakal pada Allah,Sungguh Aliah akan memberi kalian rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki kepada seekor burung yang pergi dalam keadaan lapar dan kembali dalam keadaan kenyang. (HR.Tirmidzi ,hasan shahih)




Sunday, June 26, 2022

Serimuka Durian


 Sekarang ini musim durian jadi kuih Serimuka Durian datang bermusim juga di dapur saya.Semalam saya beli durian kampung dan ambil isinya untuk dijadikan topping serimuka durian ini.Bila masak sendiri bolehlah letak extra durian baru puas makannya.

Ohya sudah bertahun saya tak buat posting di dapur makcikmanggis ini hingga terlupa password nak masuk dapur sendiri.ini dapur kesayangan saya yang banyak menyimpan kenangan indah memasak dengan kawan-kawan bloggers,ramai yang tidak aktif lagi tetapi blog masih ada untuk saya mendapatkan resipi2 yang menarik.


Serimuka Durian.

Bahan-bahannya:

Lapisan bawah:


2 cawan beras pulut -rendam selama lebih kurang 3-4 jam.

2 cawan santan kelapa.

2 sudu teh garam halus.

*loyang empat segi 9x9 inci sapu dengan sedikit minyak masak dan alas dengan plastik.

Lapisan Atas:

1 cawan isi durian

2 cawan santan

3/4 cawan gula pasir

1/2 cawan tepung gandum

1/2 cawan tepung kastad

1 sudu makan tepung beras

2 biji telur grade B

sedikit pewarna kning.

1 sudu teh garam halus.


Cara-caranya:

1.Panaskan pengukus.

2.Cuci beras pulut hingga bersih dan toskan airnya.Masukkan kedalam loyang.Bancuhkan santan dengan garam dan tuangkan ke atas pulut.Gaul rata dan kukus sehngga masak.Jangan lupa balut penutup kukusan dengan tuala dapur agar wap tidak jatuh ke permukaan kuih.Apabila pulut sudah masak ratakan dan tekan-tekankan agar pulut lebih padat.

3.Satukan semua bahan-bahan lapisan atas sehingga rata dan kisar sehingga halus.Masukkan ke dalam periuk dan masak sekejap sehingga naik wap tapi jangan sampai mendidih.kacau jgn stop ya.

4.Tuangkan bancuhan durian kedalam loyang pulut tadi dan kukus sehingga masak.Apabila sudah masak buka penutup kukusan dan biarkan di atas api selama 5 ke 10 minit agar air wap di permukaan kuih kering dan dengan cara ini kuih tidak cepat basi.

5.Biarkan kuih betul-betul sejuk barulah di potong.Insyallah sedap sangat kuih serimuka Durian ini.Selamat mencuba semoga bermanafaat.