LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
Showing posts with label udang. Show all posts
Showing posts with label udang. Show all posts

Monday, June 30, 2014

Udang Goreng Dengan Telur Asin.



Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Ramadhan Kareem buat semua sahabat muslimin dan muslimat.Hari ini masuk hari ke dua kita berpuasa.Semoga diberi kekuatan untuk menjalani ibadah puasa dengan lebih sempurna..Insyallah.Kali ini Cm hendak berkongsi satu resipi mudah yang menjadi kegemaran anak-anak.

Udang Goreng Dengan Telur Asin.

Bahan-bahannya:

300 gm udang yang bersaiz besar.
1 labu bawang besar.
2 ulas bawang putih.
2 biji telur.
2 biji telur masin.
Serbuk lada sulah.
Garam secukup rasa.
Sedikit gula.
6 biji cili api.(jika suka  pedas boleh tambah cili)
2 tangkai daun kari.
Sedikit minyak masak.

Cara-caranya:


  • Bersihkan udang.Buang kulit serta  kepalanya tetapi tinggalkan  sedikit bahagian ekornya.Perap dengan sedikit garam dan serbuk kunyit.Ketepikan.
  • Cili api di belah dua.
  • Telur masin direbus dan di lenyek halus.
  • Bawang besar di hiris nipis.
  • Bawang putih di tumbuk halus.
  • Panaskan minyak dan tumis bawang besar,bawang putih,cili api dan daun kari sehingga wangi.
  • Masukkan udang dan tumis sehingga masak.Masukkan garam,serbuk lada sulah serta sedikit gula.Gaul rata.
  • Ketepikan udang ke sisi kuali .Masukkan telur dan telur asin ke dalam minyak tumisan tadi dan masak sehingga telur keras,Kacau kacaukan dan gaul dengan udang sehingga rata.
  • Masak sehingga kering airnya.
  • Siap untuk di hidangkan dengan nasi panas..

Tuesday, June 11, 2013

Tom Yam -Ala Cik manggis.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Cm memang suka masakan Thai terutamanya Tom Yam tetapi anak-anak dan suami tak boleh makan jika menggunakan paste segera yang di jual kat kedai tu.Pastinya ada  yang  sakit perut jadi terpaksalah Cm buat paste "sendiri punya" :)..Cm merayau rayau kat dapur kawan -kawan bloggers dan terjumpa yang serasi dengan selera kami selepas di ubah suai sana sini.Terima kasih Azie. dan minta maaf sebab "derhaka" pada resipi asalnya.Pinjam kata-kata Cik Mat Gebu 

Bahan-bahannya:

Paste Tom Yam.

10 ulas bawang merah.
1 labu bawang besar.
1 tbsp udang kering.
Sedikit belacan-sangai sekejap.
1 inci lengkuas.
4 helai daun limau purut.
3 batang serai.
Garam dan gula secukup rasa.
Sedikit air asam jawa.

Cara-caranya:


  • Kisar semua bahan-bahan di atas.
  • Panaskan minyak dan tumis sehingga pekat.
  • Seimbangkan rasa masin,manis dan masam.
  • Sedia untuk di gunakan.Boleh buat banyak-banyak dan simpan dalam peti sejuk.

Bahan-bahan Sup Tom Yam.

Ayam-di potong kecil.
Udang -bersih dan kopek kulitnya.
1 labu bawang besar-potong 6
2 batang serai-ketuk
1 inci lengkuas -ketuk.
5 ulas bawang putih-ketuk.
5 helai daun limau purut.
2 biji buah tomato-belah 4.
1 ketul kiub ayam.
1 tbsp sos nampla
2 biji limau nipis-ambil jusnya.
Garam secukup rasa.
Daun ketumbar secukupnya.
Cili api-masuk sebiji sebiji-bila nak makan baru picit :)


Sayur:

Kobis
Karot.
Jagung muda.
Cendawan.
Bunga kobis.


Cara-caranya:


  • Rebus ayam sekejap.
  • Masukkan kiub ayam,serai,bawang putih,bawang besar,daun limau purut  dan lengkuas.
  • Kemudian masukkan udang.
  • Apabila telah mendidih baru masukkan pes tom yam ,tadi Cm masukkan 2 tbsp sebab kuahnya sedikit je.Adjust mengikut kesesuaian.
  • Masukkan sos nampla.garam,jus limau nipis ,sayur sayuran dan daun ketumbar.
  • Akhir sekali masukkan Cili padi.
  • Siap untuk di hidangkan.
Setelah di hidangkan Cm akan asingkan satu mangkuk kecik untuk diri sendiri dan picit cili api biar betul betul kaw kaw gitu,Jika tak cukup masam Cm akan tambah extra jus limau.Baru berpeluh-peluh hidung di buatnya.Tak cukup nasi nak ditambah tau hehe.Selamat mencuba :)

Sunday, June 2, 2013

Sambal Petai Dengan Udang.

Selamat tengahari ya.Menu untuk makan tengahari telah siap.Sup sayur,Ikan Siakap Kukus dan Sambal Petai serta Nasi Putih.Berpesan pada diri sendiri agar makan dengan penuh "sopan" ya..jangan lebih-lebih sambil letak timbangan di sebelah hehe.Bila kita suka masak pastinya kita suka makan.Tapi makan berpada-pada.Berhenti sebelum kenyang.

Setiap kali Cm masak sambal petai Si adik akan membuat muka tak puas hati ..katanya baunya sungguh "power" hehe.Si Ayah pulak hanya senyum kambing sebab dia lah orang yang menyuruh Cm beli petai semalam.Katanya kesian pada penjual petai tu...orang tua dan nampak macam orang susah.

Jika balik kampung di  Bentong dan ke pasar pagi selalunya kami akan berakhir  dengan barang barang makanan penuh bonet kereta.Semasa melalui satu kawansan pasar ternampak seorang nenek /nyonya tua menjual telur ayam kampung.Nenek tu sungguh tua berjalan pun tak boleh tegak.Rasanya umurnya dah melebihi 80an.Didepannya hanya ada 20 biji telur ayam kampung.katanya telur ayam yang dia bela sendiri.

Bila melihat wajah nenek tu tetiba rasa ...sayu kerana dalam usia lanjut begitu masih berniaga di panas terik..suami Cm terus hulur duit untuk harga telur ayam tersebut.Sebiji 60 sen.Tak tahulah berapa harga yang suami Cm bagi untuk 20 biji telur tu...nyonya tu sungguh gembira..mmkoi..mmkoi...mmmkoi...
Bahan-bahannya:

10 ekor udang-buang kulit dan bersihkan.
9 tangkai cili kering-buang biji dan rebus sekejap-toskan.
4 papan petai-kopek kulitnya.
3 labu bawang besar.
1 ulas bawang putih.
sedikit belacan.
1 keping asam gelugur.
Gula melaka secukup rasa.
Garam secukup rasa.
Minyak untuk menumis.

Cara-caranya:


  • Kisar cili kering,bawang besar,bawang putih dan belacan.
  • Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar sehingga wangi.
  • Masukkan udang serta petai  dan gaul sehingga rata.
  • Masukkan garam,gula melaka dan asam keping.
  • Masak sehingga sambal pekat.
Jika masak sambal Cm suka guna gula melaka kerana rasannya lebih sedap.Manis-manis lemak gitu.Kali ini Cm guna bawang besar .Alasanya kerana nak cepat hehe.Sebenarnya jika guna bawang merah kecil lagi sedap. Bawang merah dalam anggaran 10-15 ulas.

Selamat menjamu selera dan selamat berhujung minggu bersama keluarga tercinta :)

Saturday, June 1, 2013

Udang Mentega / Butter Prawn.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Semalam Cm minta tolong Pn.Neo belikan 1 kg udang bersaiz besar dari Jeti Pasir Panjang Pd.Anak lelaki Cm sangat suka makan udang mentega.Jika udang yang segar lagi sedap dan manis rasanya.Pertama kali Cm masak Butter Prawn ni terasa sangat susah tetapi lama kelamaan bila dan selalu buat rasanya taklah sukar sangat.Kami suami isteri memang dah lama tak makan udang tambahan pulak jika bergoreng dan berminyak begini jadi Si Adik lah yang makan hampir separuh udang ni :)..puas hati nampaknya hehe.

Terima kasih  buat Nita kerana kali ini Cm ambil resipi dari dapur Nita.Alhamdulillah sekarang zaman cyber...resipi di hujung jari.Resipi tiada menjadi rahsia lagi.Tak de dah orang nak sorok-sorok resipi seperti dulu.Sebarkan seluas-luasnya.Jika dapat berkongsi dengan ramai orang terasa lebih seronok dan bahagia.

Bahan-bahannya:

7 ekor udang bersaiz besar.
3 biji kuning telur.
Sedikit serbuk kunyit.
Sedikit garam.
3 tangkai daun kari.
6 biji cili api.
3 tbsp butter.
1 cawan minyak masak.

Acuan roti jala.
Chopstik.

Cara-caranya:


  • Perap udang dengan sedikit serbuk kunyit serta garam.
  • Panaskan minyak masak dan goreng udang sehingga perang baru masukkan daun kari dan hirisan cili api.gaul hingga rata dan keluarkan dari kuali.Toskan guna tisu dapur.Ketepikan.
  • Masukkan 3 tbsp butter kedalam minyak goreng udang tadi.
  • Pukul kuning telur dengan garfu sehingga sebati.
  • Isikan telur kedalam acuan roti jala dan kirai telur  ke dalam minyak panas sambil tangan sebelah lagi memegang chopstik.Buat pusingan dengan chopstik pada telur yang di kirai tadi supaya terbentuk tali-tali halus.lagi halus lagi cantik..Lakukan dengan berhati hati dengan menggunakan api yang sederhana agar ianya tidak cepat hangus.
  • Lakukan sehingga selesai.
  • Apabila hampir perang padamkan api agar telur tidak hangus.
  • Kaup naik telur dengan menggunakan chopstik dan toskan minyaknya.
  • Bila sejuk leraikan perlahan-lahan dan tabur atas ydang goreng.
Selamat mencuba.Musim cuti sekolah ni sangat sesuai untuk mencuba resipi terbaru kerana ada tukang makan yang sentiasa lapar je hehe.

Monday, October 1, 2012

Masak Lemak Kuning Betik Mengkal Dengan Udang.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.



Alhamdulillah dapat buat satu posting hari ini setelah beberapa ketika dapur maya dan dapur  alam nyata terabai :).......Cikmanggis dah nak berehat panjang dari dok di celah celah dapur hehe.Nak berkebun pulak lepas ini....teruja bila "kebun" anggur berbuah dengan lebatnya.

Semalam sehari suntuk kami berada di rumah kami di Nilai kerana membuat "kira-kira" terakhir untuk tambah  & pasang lampu dan kipas dan lain-lain lagi.Agak lama rumah kami tu terbiar tanpa kasih sayang hehe.Semasa berada di sana seorang kawan yang menetap di Lukut menalipon bagitau yang ada udang segar yang baru di tangkap disebelah paginya Jadi hasilnya Cm beli dua kg udang yang sungguh segar bugar lagi dengan harga rm15 per kg......

Kebetulan kawan Cm tu bagi beberapa biji buah betik mekal jadi terfikir nak masak lemak dengan udang.Semasa masuk dapur Ibundo semalam nampak rendang betik mekal..wah nampak menyelerakan:)...


Bahan-bahannya:

3 potong memanjang betik mekal.-hiris kecil-kecil.
8 ekor udang -buang kulitnya.
1 peket serbuk santan.
1 1/2 cawan air.
5 biji cili padi-jika suka pedas boleh la tambah ya.
3 ulas bawang merah.
1 batang serai ketuk.
1 helai kecil daun kunyit..simpul
1 hirisan kecil lengkuas.
1 hirisan kecil halia.
1 ketul kecil kunyit segar,
1/2 tsp serbuk kunyit..tambah warna kuning.
1/2 keping asam gelugur.
Garam dan gula secukup rasa.

Cara-caranya:


  • Bawang merah,halia,lengkuas ,kunyit dan cili api di kisar dengan sedikit air hingga halus.
  • Bancuhkan serbuk santan dengan 1 1/2 cawan air hingga larut.
  • Masukkan semua bahan-bahan di atas ke dalam periuk dan masak hingga mendidih atau betik empuk.
  • Siap:)...



Sunday, July 29, 2012

Udang Mentega Ringkas.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Masakan sendiri  lebih sedap jika dibandingkan dengan  masakan  yang dibeli dari  kedai.Selain kebersihan terjamin ,ianya lebih berkat.Insyallah.Kita memasak dengan penuh kasih sayang.Setiap bahan kita akan teliti samada sesuai untuk ahli keluarga kita makan....ada yang tak boleh makan pedas,ada yang tak boleh makan masin...semuanya kena diambil kira.Cm hanya mengguna sekali je minyak untuk menggoreng.Tiada istilah kitar semula untuk minyak masak.Ia lebih selamat.Insyallah.




Cm dah beberapa  kali mencuba masak  Udang Butter tetapi belum "menjadi" seperti  yang diharapkan.Walaupun rasanya hampir sama.Kemahiran "menjala"kuning telur belum mahir.Kepada yang ingin memasak menu ini sila ke dapur Nor Ganu.Cantik sungguh dia kirai kuning telur tu.Terima kasih sebab berkongsi petua  tu ya Nor.Akak kena cuba beberapa kali lagi ni.
Bahan-bahannya:


1/2 kg udang yang agak besar saiznya-perap dengan sedikit serbuk kunyit dan garam..
1 tangkai daun kari.
6 biji cili api .-belah dua.
3 tbsp butter.
1 cawan minyak masak.
4 biji kuning telur.
2 tbsp susu cair.


Cara-caranya:



  • Campur  dan panaskan minyak masak dan butter di dalam kuali . Goreng udang hingga masak dan kulit agak garing.Masukkan daun kari dan cili api.Angkat semuanya dan toskan minyaknya.
  • Bancuh telur dan susu cair.Pukul ringan dengan garfu.Masukkan kedalam botol yang mempunyai muncung 3 atau 2 lubang.
  • Cm guna minyak yang sama untuk menggoreng udang tadi (rasa telur lebih sedap tetapi rupa agak comot jika guna minyak yang sama).Picitkan botol yang mengandungi telur kedalam minyak panas   sambil dikacau menggunakan chopstick.Putarkan  perlahan lahan.Telur akan terkumpul pada hujung chopstick.
  • Toskan minyaknya dan  leraikan perlahan-lahan kuning telur yang bergumpal tadi.Gaulkan pada udang yang  telah di goreng tadi......Siap:)


Sunday, June 24, 2012

Cucur Udang Dengan Karot.



Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Bagaimana nak paksa anak kecil makan sayur?Susah sebab jika lagi dipaksa lagi dorang tak mahu.Setiap kali Cm masak cucur ,Cm pastikan ada sayur yang Cm "curi" letak di dalamnya.Si adik akan makan tanpa di kutip buang sayurnya.atau mungkin tanpa disedarinya..tak perasan sebab cucur Mama terlalu sedap hikhik:)

Bahan-bahannya:

500 gm tepung gandum.
2 biji telur.
1 tangkai daun bawang.-potong halus.
1 batang karot.-cincang halus.
15 ekor udang-buang kulit dan cincang.
Garam secukup rasa,
2 tsp lada sulah.
2 biji cili masak.
1 labu bawang besar.-cincang halus.
Air secukupnya.

Cara-caranya:

Satukan semua bahan-bahan diatas.Masukkan air secukupnya.Cm agak-agak je masa masukkan air.Pastikan adunannya tidak terlalu pekat atau tidak terlalu cair agar senang kita jemput menggunaka hujung jari untuk dimasukkan ke dalam minyak panas.Jika nak gunakan sudu pun boleh.Lagi senang.


Goreng hingga perang dan sedap dimakan ketika masih panas dengan cili sos atau mayonis.

Wednesday, September 28, 2011

Macaroni Makanan Laut.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...


Ini lah menu untuk makan tengahari kami dua beranak.Sebelum keluar untuk menjemput si Adik dari sekolah Cm masak macaroni makanan laut  kegemarannya.Tiap tiap hari makan pun tak apa katanya:)

Bahan-bahannya:
300 gm macaroni-rebus dan toskan.
1 labu bawang besar -cincang
100 gm cendawan-siat-siatkan.
7 ekor udang segar.
150 gm mozarella cheese.
2 ekor sotong-bersih dan potong bulat.
Sedikit bunga kobis,brokoli,lada benggala warna kuning,merah  dan hijau.
1 biji buah tomato-potong kiub.
2 1/2  cawan susu segar.
3 tbsp tepung gandum.
12 tbsp butter.
Sedikit serbuk lada hitam.
Garam dan gula secukup rasa.

Cara-caranya:

  • Panaskan butter dan masukkan tepung gandum.Masak hingga kekuningan .
  • Masukkan susu segar dan kacau hingga rata.Kemudian masukkan sotong dan udang.
  • Jika kuah terlalu pekat boleh tambahkan sedikit air.Masukkan pasta dan gaul hingga mesra.
  • Masukkan sayur sayuran dan rasa lah garam dan gulanya.Taburkan serbuk lada hitam dan cheese.Kacau hingga rata.
  • Siap untuk dihidangkan:)




Thursday, May 19, 2011

Udang Cencalok

Assalamualaikum Dan Selamat sejahtera.



Makcikmanggis  dah siap masak untuk makan tengahari:)..fuh..lega !Semasa singgah ke blog Yatie pagi tadi ternampak Ayam Cencalok yang beliau masak..hmmm dapat bayangkan bagaimana bau ayam yang dicampurkan dengan cencalok,serai,daun limau purut dan rencah-rencah yang lain lain tu...Kita dapat bayangkan keenakan sesuatu masakan tu dengan melihat  bahan-bahannya....ada pedas..ada manis..ada masam dan masin....Sedapnya!!

Cm nak ubah sikit bahan utamanya tu..tak mau ayam tapi nak masak udang pulak hari ini.Kebetulan ada 3 papan petai kat dapur tu.bahan-bahan lainnya semua dah ada, jadi Jom kita lihat bahan-bahannya.....

Bahan-bahannya:

400 gm udang -buang kulit tapi biarkan ekornya:)
8 ulas bawang merah-kisar
2 ulas bawang putih-kisar
1 inci kunyit hidup-kisar
1/3 cawan cencalok.
2 biji cili masak.-potong bulat
1 biji cili hijau.-potong bulat
2 batang serai-.kisar
gula secukup rasa.
1 biji perahan limau nipis.
2 biji cili api-ketuk(jika suka pedas boleh tambah)
4-5 heali daun limau purut.
3 papan petai-kopek ambil isinya.
2 ulas bawang putih-mayang
4 ulas bawang merah-mayang


Cara-caranya:

  • Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah yang di mayang hingga garing.ketepikan.
  • Kemudian tumiskan bahan-bahan kisar hingga naik baunya .Masukkan cencalok dan kacau hingga sebati.
  • Masukkan udang,petai,daun limau purut,bawang merah &putih yang digoreng tadi dan cili potong serta cili api.Gaul rata.
  • Masukkan jus limau nipis dan gula secukup rasa.seimbangkan rasa masam,manis dan masin .
  • Biarkan mendidih dan kuahnya agak pekat.Hidangkan bersama nasi panas:)
Nota:Sebenarnya Udang cencalok ni sedap jika pedas..lagi pedas lagi sedap.Terima kasih yatie kerana sudi berkongsi resepi yang exotic ni:)

    Wednesday, May 4, 2011

    Nasi Goreng Sambal Belacan.

    Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.

    Apa khabar kawan-kawan semua?adoii sakit urat saraf dan sendi sendi ,mengemas rumah yang tak siap-siap.Bila kepenatan begini mesti fikir menu yang senang untuk makan tengahari kami bertiga.Bila buka peti ais ada sambal belacan ,nasi frozen,udang dan fish ball jadi terus dapat  idea untuk masak nasi goreng.
    Hmmm kira nasi goreng kitar semula la ni:)..jangan membazir.....Jom lihat bagaimana Makcik
    Manggis kitar semula nasi beku ni....

    Bahan-bahannya:
    3 cawan nasi sejuk.
    6 ulas  bawang putih-tumbuk
    8 ekor udang -sederhana besar saiznya.
    3 keping fish cake.-potong kiub.
    2 biji telur.
    1/2 batang lobak merah-potong kecik
    3 batang kacang panjang-potong kecik
    1 tbsp sambal belacan.
    1 tbsp sos tiram.
    1 peket kecik cendawan-siat-siatkan
    1-2 tbsp kicap manis-cap kipas udang.
    Garam dan gula secukup rasa.
    1 tsp serbuk lada hitam
    Sedikit minyak untuk menumis..

    Cara-caranya:

    • Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih hingga naik baunya.
    • Masukkan udang,fish cake , cendawan ,lobak merah,kacang panjang dan  kacau rata baru masukkan kicap,sos tiram,garam,gula dan lada hitam.
    • Masukkan telur  gaul hingga rata baru masukkan nasi.
    • Masak sehingga nasi benar-benar sebati dengan rencah-rencahnya .Kacau hingga sebati.
    • Hidang ketika masih panas:)...selamat makan tengahari semua!!!


    Saturday, April 16, 2011

    Nasi Goreng

    Salam dan selamat sejahtera.Cuaca  redup je hari ini dan ada tanda-tanda hari nak hujan.Lupa pulak nak tengok ramalan kaji cuaca kat tv malam tadi.asyik dok tengok berita terutama perkembangan pilihan raya Sarawak yang berjalan pagi ini.Selamat mengundi pada sahabat-sahabat Cm yang berada di Sarawak.Jangan lupa keluar awal  mengundi tunaikan tanggung jawab sebagai pengundi ya.
    Sebenarnya hari ini Cm menjalankan operasi membersih dan mengemaskini dua peti sejuk kat dapur tu.Satu untuk barang barang basah yang digunakan setiap hari dan yang satu lagi untuk simpan bahan-bahan baking Cm.Masyallah banyak juga barang-barang yang dan luput tempoh.Lain kali kena beli dalam skala yang sangat minima.Jangan tamak nanti membazir....membazir adalah amalan syaitan...ingat tu Makcikmanggis ya:) kadang kadang bila ke Yummy Bangi mata jadi silau melilau.Semua benda nak beli terutama tepung.Segala jenis tepung nak diangkut sampai Pakcik geleng kepala hihi.Kesian pakcik:)
    Dalam banyak banyak barang dalam freezer terdapat satu tupperware nasi sejuk yang telah Cm bekukan beberapa minggu lepas.Tak ada tarikh luput ya..sendiri bikin.Jadi Cm gorengkan nasi tu dengan rencah-rencah yang ada kat dalam peti ais,Beberapa batang crab sticks,10 ekor udang dan sekor udang galah zaman perang Jepun hehe.Maka jadi lah nasi goreng.Sedap pulak tu(puji)
    Tak payahlah letak resepi ya.Jika nasi goreng camni semua orang tahu nak masaknya.Cm hanya tumis guna bawang putih je.Tanpa cili atau bahan-bahan lain.Kemudian masukkan segala rencah dan tuangkan sedikit sos tiram,sos ikan ,kicap cap kipas udang,garam,gula dan lada hitam.Masukkan nasi.Gaul hingga sebati....Nampak tak potongan timun kat atas tu?hmmm itu lah timun hasil dari kebun mini kami.Tetapi agak pelik rupanya sebab berlubang di tengah-tengahnya.
    Ini lah timunnya.Agak lain dari biasa sebab ada lubang ditengah-tengahnya.Ok Cm nak ucapkan ribuan terima kasih pada kawan-kawan bloggers yang sudi bagi awards kat Cm ni.terima kasih ya.Sebenarnya Cm segan nk terimanya kerana blog Cm ni hanya biasa biasa je.Rasanya jika tanya orang kat luar sana tu kenal tak blog Jom masak Jom makan ni...rasanya boleh dihitung dengan jari je tapi walau bagaimana pun Cm amat-amat menghargainya.Alhamdulillah.Sebenarnya Cm berblog sekadar suka-suka.Nak simpan segala resepi sebagai kenangan buat anak-anak Cm yang di kasihi.Mana lah tahu bila Cm dah tiada lagi ..bila mereka terkenangkan bondanya,boleh lah lihat kat dapur ni:) disamping itu jangan lupa mendoakan pada yang telah tiada..(apa apalah Cm ni kan)
    Inilah poskad dari Nieza...terima kasih dan selamat ulangtahun perkahwinan yang ke 5 ya..masih baru lagi ni.Cm bakal menyambut Ulangtahun perkahwinan yang ke 30 tahun pada bulan Jun ni...hmmm dah nak jadi nenek ..insyallah rasanya hadiah yang paling bermakna sekali.... mendapat cucu pertama ketika menyambut ulangtahun perkahwinan yg ke 30 thn hehe(berangan ni)
    Dari love
    Terima kasih kepada kawan-kawan yang telah bagi awards .Cm minta maaf sebab ada yang tak sempat Cm ambik.Bila nak ambik dah lupa blognya..ada yang Cm dah saved tapi lupa nak tulis dari siapa..alamak orang tua memang camni la...maaf banyak-banyak dan jutaan terima kasih semua.....Terima kasih daun keladi.Ceria-ceria selalu:)

    Sunday, April 3, 2011

    Bubur Lambuk Trengganu.

    Assalamualaikum dan salam sejahtera.Bubur lambuk Trengganu agak unik jika dibandingkan dengan bubur lambuk biasa.Macam macam daun ada didalamnya.Tetapi jika Cm masak bubur lambuk Trengganu ni Cm hanya masukkan 3 jenis daun iaitu daun paku midin merah ,pucuk paku hijau biasa dan daun kesom.Anak lelaki yang  kecik ni tak suka bau daun-daun yang pelik katanya.
    Bahan-bahannya:
    1 cawan beras.
    6 cawan air.-jika nampak agak pekat boleh tambah air lagi.
    1/3 cawan santan.
    1 tbsp udang kering.-yumbuk halus
    10 ekor udang segar.
    1 ekor ikan kembung-panggang ambik isinya.
    4 ulas bawang merah-tumbuk
    2 ulas bawang putih-tumbuk
    1 batang serai-ketuk
    1 inci halia.-tumbuk
    1 tsp serbuk lada hitam.-tumbuk
    2 tbsp kerisik.
    1 tbsp budu.
    garam secukup rasa.
    Sedikit gula(optional)
    Daun keson.
    Pucuk  midin.
    Pucuk paku
    Daun Sup-untuk tabur.
    Bawang goreng.
    Cili masak-untuk hiasan.
    Cara-caranya:
    • Masak nasi hingga jadi bubur.
    • Masukkan bahan-bahan tumbuk,serai,isi ikan,udang,budu,garam,gula,kerisik ,budu dan santan.
    • Kacau hingga rata.
    • Akhir sekali masukkan pucuk paku,pucuk midin dan daun kesom.Kacau hingga sebati dan biarkan beberapa minit.Boleh lah dipadamkan api.
    • Masukkan dalam manggkuk yang sesuai.Taburkan dengan bawang goreng,daun sup dan cili potong.Siap:)

    Nota:Daun kaduk,daun kunyit,cekur manis,kemangin dan kangkung sesuai untuk dimasukkan kedalam bubur lambuk Trengganu .

    Tuesday, February 22, 2011

    Kari Udang Galah.

    Salam dan selamat tengahari semoga ceria ceria selalu.Cuaca dah mula panas.Tadi semasa menunggu atiqa dalam kereta kat Anjung putrajaya rasa cam nak meletup kepala.Benggang dan berdenyut denyut kerana cuaca terlampau panas.Masalah kat Anjung ni adalah parking.Berpusing pusing cari parking tak jumpa jumpa.Akhir sekali balik rumah tunggu Atiqa call baru datang balik.Atiqa ada hal kat kementerian kesihatan.Nak lapur diri. Agaknya dah jemu dok terperap kat rumah.Dah cukup rehat tu:)..Cm selalu usik beliau agar cepat cepat kerja takut lupa nak ambik darah pesakit sb lama sgt cuti...hehe katanya dr tak ambik darah mama...misi yang ambik darah :)
    Yang ni pulak adalah "ubat" kolestrol.Dah lama tak makan udang "besor"pedulikan lah kolestrol hari ni hehe.Hari ini Cm dah mula makan nasi dari beras rebus.Dulu pernah makan dan stop sebab dah jemu tapi kali ini harap ianya akan berterusan.Nak kena disiplinkan diri jika nak sihat.Cm masak udang ni untuk anak anak je.Jika teringin makan lah 1/3 dari sekor  udang ni agar tak kempunan.Kan masuk batu belah batu bertangkup pulak:)
    Jika udang XXL ni masak apa saja pun sedap tapi Cm lebih suka jika dimasak kari.Ala ala mamak gitu.Terima kasih pada Ika kerana Cm C&P resepi dari dapurnya.Mana perginya Ika ni lama btol tutup dapur.Walau pun tak ada tuan kat rumah tu Cm tetap setia singgah mencari resepi.Terima kasih Ika.


    KARI UDANG GALAH

    Bahan2
    • 600g Udang Galah
    • 2cm halia*
    • 3 ulas Bawang merah*
    • 2 ulas Bawang putih*
    • 3 sb Serbuk kari+air=pes kari
    • 1-2 Serai (ketuk)
    • Asam kandis/gelugor/asam jawa secukupnya
    • Garam dan sedikit gula untuk seimbangkan rasa
    • 1-2 sb pati santan>>yg ni tak masukkan
    • Minyak dan Air secukupnya


    Cara:
    1. Bersihkan udang galah,cuci dan toskan.
    2. Tumbuk bahan2 *,panaskan minyak dan tumis bahan2 tumbuk bersama serai sehingga wangi
    3. Masukkan pes kari dan kacau goreng sehingga kari benar2 masak dan pecah minyak
    4. Masukkan asam gelugor dan udang,kacau sekata.
    5. Setelah udang kelihatan kemerahan baru masukkan air sehingga paras udang.
    6. Perasakan dengan garam dan sedikit gula
    7. Biarkan renih seketika dan setelah udang masak barulah masukkan pati santan
    8. Masak lagi sebentar sehingga mendidih keseluruhannya dan padamkan api.
    **Cm tambah daun kari , cili kisar sikit dan lebihkan serbuk kari.