LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
Showing posts with label pasta. Show all posts
Showing posts with label pasta. Show all posts

Tuesday, January 21, 2014

Spaghetti goreng Dengan Labu.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Spagheti Goreng Dengan Labu.

Bahan-bahannya:

1/2 peket spaghetti.-rebus dan toskan.
1/2 cawan isi ayam.
5 ketul sosej ayam berkeju-potong bulat.
5 keping jejari ketam-potong bulat.
1 potong labu yang sederhana saiznya-potong kiub-goreng sehingga masak ketepikan.
3 tangkai cili kering-potong kecil.
1/2 biji lada benggala-potong kiub.
1/2  labu bawang besar-dadu.
4 ulas bawang putih-tumbuk halus.
1 tsp lada hitam.
Garam secukup rasa.
Gula secukup rasa.
Minyak jagung untuk menumis.
Cara-caranya:


  • Panaskan minyak dan tumis bawang putih,cili kering  dan bawang besar sehingga naik baunya.
  • Masukkan isi ayam,sosej ,jejari ketam ,lada hitam,garam dan gula.Kacau rata.Jika perlu tambahkan sedikit air.Jangan banyak ya.
  • Kemudian masukkan lada benggala dan spagheti.Gaul sehingga sebati.
  • Akhir sekali baru dimasukkan labu dan gaul sehingga sekata.
  • Siap untuk di hidangkan.
Satu menu yang sungguh ringkas jika anda kesuntukan masa untuk menyediakan makan tengahari pada anak-anak yang akan balik dari sekolah sekejap lagi.Insyallah anak-anak pasti suka dengan menu seperti ini.Cepat dimasak dan sedap dimakan :)

Wednesday, November 13, 2013

Kwey Teow Goreng.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Jika nak dapatkan kwey teow goreng  yang sedap jangan masak dalam kuantiti yang banyak.Goreng sikit sikit macam kat kedai tu.Itulah pesanan  seorang teman Cm bila ditanya kenapa kwey tiow yang dia masak sungguh sedap.

Bahan-bahannya:

1/2 peket kwey teow.
8 ekor udang.
1/2 cawan kerang yang siap di kopek.
5 ulas bawang putih-ketuk.
2 batang sawi.-dipotong.
3 kelopak daun kobis-dihiris..
1/2 cawan tauge.
1 biji telur.
4 keping fish cake.-potong kecil.
Sedikit sos ikan(.nampla.)
Sedikit kicap manis.
Sedikit sos tiram.
Sedikit pes cili & oil.(1 tsp)-boleh ganti dengan 3-4 biji cili api -ketuk.
Garam secukup rasa.
Gula secukup rasa.

Bawang goreng.
Daun bawang.
Limau kasturi.

Cara-caranya:


  • Panaskan sedikit minyak dalam kuali.Masukkan cili paste & cili oil dan di kacau-kacaukan.
  • Masukkan kwey teow ,kicap manis dan sos ikan.Gaul sehingga rata.Keluarkan dari kuali.
  • Panaskan sedikit minyak masak.Tumis bawang putih sehingga wangi.
  • Masukkan udang,kerang dan fish cake.Kacau hingga rata.Masukkan garam,gula,kicap dan sos ikan secukup rasa.
  • Kemudian masukkan sawi dan kobis.
  • Pecahkan telur dan kacau sehingga sekata.
  • Masukkan kwey teow tadi dan gaul sehingga mesra.
  • Akhir sekali masukkan tauge dan kacau sekejap .Siap.
  • Taburkan dengan hirisan daun bawang,limau kasturi dan bawang goreng.

Selamat mencuba insyallah rasanya tidak mengecewakan.Sedap dimakan dengan sambal yang Cm masak semalam.Sambal  ini sangat pedas tetapi apabila tunggu 2-3 hari rasa pedasnya berkurangan.




Thursday, October 31, 2013

Mee Kuning.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Bebeapa kali Cm buat Mee Kuning tetapi masih belum berpuas hati dengan hasilnya.Cm suka makan Mee Kuning yang berkuah seperti Mee bandung..Mee Sup dan bakso tetapi Mee  yang Cm buat ni selalunya tidak kenyal.Bila masak yang bersup ianya mudah patah.Cm harap kawan-kawan dapat memberi petua bagaimana nak dapatkan hasil Mee  yang kenyal. atau ada tak sesiapa yang ada resipi Mee kuning yang kenyal seperti yang terdapat kat kedai tu :).....
Bahan-bahannya:

500 gm tepung gandum.
1 biji telur.
1 tsp serbuk kunyit.
1 tbsp air kapur.
Sedikit garam.

Air+telur+serbuk kunyit+garam+air kapur=250 ml.

Cara-caranya:


  • Satukan semua bahan-bahan di atas dan uli hingga sebati.Doh untuk mee ni agak keras.
  • Bahagikan doh menjadi beberapa ketul.Bulat bulatkan.
  • Gelek dengan mesen pasta bahagian yang licin  beberapa kali sehingga memperolehi permukaan yang licin.
  • Kemudian gelek di bahagian mee.
  • Taburkan dengan tepung agar tidak melekat.
  • Panaskan air dalam periuk.Celur mee selama 2-3 minit dan toskan airnya.
  • Bilas dengan air paip.Lumurkan dengan minyak.


Friday, December 7, 2012

Mee Telur

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.Cm teringin nak makan mee kuning tebal yang di jual di kedai tetapi terpaksa lupakan kerana suami alah pada mee seperti itu.Sudah lama kami tak menikmati mee kuning yang dibeli di pasar.Setiap kali makan pastinya suami Cm akan sakit perut dan muntah-muntah.Tak tahulah apa kandungan yang terdapat didalam mee kuning itu.
Semalam semasa menonton rancangan Chef At Home ,Chef Michael Smith  tunjukkan cara-cara nak buat homemade pasta...wah mudahnya..main campak-campak je.....jadi pagi ni Cm cuba ingat-ingat balik resipinya........oleh kerana kandungan telur yang agak banyak jadi Cm namakan Mee telur..pstt pandai pandai tukar nama ..Michael Smith tak perasan pun hikhik..

Bahan-bahannya:

4 cawan tepung gandum.
6 biji telur grade C.
2-3 tbsp minyak zaitun.
Sedikit garam.

Cara-caranya:


  • Satukan semua bahan-bahan ke atas papan pencanai.gaul hingga sebati.Jika agak lembik tambahkan sedikit tepung agar doh agak-agak keras/kental.Uli sehingga betul-betul sebati.
  • Bentukkan menjadi sebiji bebola dan balut dengan cling wrap selama 10-15 minit.
  • Kemudian potong menjadi beberapa potongan agar senang untuk di mesin nanti.
  • Gelek dan tabur tepung kemudian lipat dan gelek sekali lagi.
  • Masukkan ke dalam mesen pasta no 5,gelek hingga nipis.
  • Tukar ke bahagian corak pasta dan mesin doh hingga selesai.
  • Sementara kerja kerja menggelek selesai bolehlah sidai mee seperti gambar yang Cm tunjukkan di atas.Guna lah kreativiti masing masing:)..Sidai pada hanger pun boleh :)
  • Akhir sekali panaskan air di dalam periuk.Masukkan sedikit minyak masak.Biarkan mendidih.Masukkan mee berperingkat-peringkat selama 2-3 minit.(celur) kemudian toskan dan gaul dengan sedikit minyak masak.(Jika nampak mee terlebih tebal bolehlah di tarik-tarik perlahan lahan sebelum dicelur)
Alhamdulillah mee yang Cm buat kali ini lebih kenyal berbanding dengan yang sebelum ini yang agak lembut dan cepat putus bila di tarik.
Alhamdulillah.Inilah hasilnya.Selamat mencuba ya :)

Thursday, July 26, 2012

Pan Fried Salmon Dengan Sos Bbq.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Ikan Salmon kaya dengan minyak  omega 3.yang banyak khasiatnya tetapi seperti yang kita sedia maklum ikan  jenis ini harganya agak mahal jika di bandingkan dengan ikan biasa..

Anak bongsu Cm tak suka makan ikan tetapi suka pulak jika dimasak  ikan Salmon.Jadi beberapa hari lepas Cm beli ikan salmon kat Pasar Borong (...nak bagi sokongan dan galakan berpuasa:)...jika lauk biasa biasa pun beliau tetap berpuasa walaupun demam.Sayang anak mama ni:)...kebetulan pada hari tu harga salmon lebih kurang dengan harga ikan tenggiri....agak murah jika dibandingkan harga  kat pasaraya.

Cm tertarik bila baca artikel INI...wah bagusnya ..dapat menurunkan insiden penyakit jantung dan stroke dan kesihatan tulang.Baik untuk diet kanak-kanak yang sedang membesar dan orang tua yang ada masalah tulang.

Bahan-bahannya:

4 keping ikan salmon.-lumur dengan sos bbq.
2 tsp biji lada hitam-tumbuk kasar.
3 tbsp sos bbq.
1 tangkai daun rosemarry segar.
1 tsp butter.


Cara-caranya:

Panaskan butter dalam kuali nonstick.Masukkan ikan.Masak  dengan api yang perlahan.Balik-balikkan.Kemudian taburkan lada hitam  dan daun rosemarry pada kedua-dua belah permukaan salmon.Balik-balikan perlahan-lahan agar masak sekata.Siap:)...sangat cepat dan ringkas.

.

Wednesday, July 11, 2012

Dadar Lapis Ayam Berkeju

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.




Inilah menu makan malam Si Adik.Katanya dia dah makan nasi di sekolah petang tadi jadi tak mau makan nasi dah..........menu yang sungguh simple tetapi mengenyangkan....Alhamdulillah.

Bahan-bahannya:

Dadar.

2 cawan tepung gandum.
2 1/2 cawan air,
1 biji telur.
Setitis pewarna kuning.
Secubit garam.,

Cara-caranya:

Masukkan semua bahan-bahan di atas kedalam blender.Blend hingga sebati.Jika adunan nampak agak pekat tambahkan sedikit lagi air.Adunan dadar ni lebih cair sedikit dari INI dan di dadar lebih nipis.Se elok eloknya guna kuali yang tidak melekat.Dadarkan sehingga selesai dan ketepikan.

Inti.

1 keping dada ayam-ambil isinya dan kisar.
1 labu bawang besar.-cincang.
2 ulas bawang putih-cincang.
1 tsp rempah kerutub atau rempah kari daging.
Gula dan garam secukup rasa.
1 tbsp sos spaghetti segera.
Daun sup,daun bawang dan cili masak untuk hiasan.
1 biji kentang-dadu kecil.
Keju parut secukupnya.
Minyak untuk menumis.

Cara-caranya:

Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi.Masukkan rempah kerutub atau rempah kari dan sedikit air.Kacau hingga rata.Kemudian masukkan sos spaghetti ,garam dan gula.Masak sehingga inti agak kering dan kentang empuk.




Cara-cara untuk membakarnya:

Letakkan sekeping dadar atas dulang yang sesuai.Letakkan inti di atasnya ,ratakan..Kemudian taburkan dengan keju parut.Tutup dengan sekeping dadar dan ulangi proses yang sama sebanyak 4 keping dadar semuanya.Akhir sekali tutup dengan sekeping dadar dan tabur dengan keju parut secukupnya.Bakar sehingga permukaan dadar nampak garing atau keemasan warnanya.

**Hias dengan potongan daun bawang,daun sup dan cili potong.


Tuesday, May 29, 2012

Fettuccine With Chicken & Basil Pesto.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Cuti.

Selamat bercuti pada anak-anak semua.Sekolah cuti dua minggu.Tentu macam-macam aktiviti telah dirancang awal.Di musim cuti begini ibu-ibu lah yang paling sibuk.Jika berada dirumah maka tak kering tangan di dapur.Menyiapkan makanan untuk anak-anak.Yang pastinya penat tapi seronok.

Buat Cm semuanya  cuma  tinggal kenangan.Masa anak-anak berebut-rebut menjamah masakan ibu telah berlalu.Anak-anak semuanya sudah ada kehidupan sendiri kecuali si bongsu yang masih tinggal  bersama kami.Itulah fitrah kehidupan.Yang kecil akan membesar.Yang muda akan tua......dan yang hidup pasti akan menemui kematian.Hidup bagaikan pusingan roda.....


Hari ini kami makan selera "ala barat" atas permintaan suami.Minggu lepas dia hadiahkan sebuah buku PASTA good eating pada Cm...sebenarnya tiap -tiap bulan suami Cm hadiahkan buku jika beliau ke kedai buku.......kali ini beliau ingin makan pasta sebab senang & mudah menyediakannya.

Bahan-bahannya:

Untuk 4 orang.

2 tabsp minyak jagung.
1 ketul dada ayam.Ambil sisnya.
350 fettuccine kering.
Garam dan lada hitam
1 tangkai daun basil untuk hiasan.
3 ulas bawang putih.-cincang.

Pesto.

100 gm daun basil.
125 ml minyak zaitun.
3 tbsp pine kernels(Cm ganti dengan badam )
3 ulas bawang putih.
55 gm parmesan cheese(Grated)
Garam.

Cara-caranya:


Pesto.


Masukkan bawang putih,basil,minyak zaitun,pine kernels dan garam ke dalam food processor.Proses hingga smooth dan masukkan cheese.


Ayam.

Panaskan minyak jagung.Tumis bawang putih.Pan fry dada ayam hingga masak dan kering airnya.Letakkan garam dan lada  hitam .Balik-balikkan.Kemudian dada ayam  dipotong kiub kecil.Ketepikan,

Pasta.

Masukkan air kedalam peruik.Letakkan garam.Masak air hingga mendidih.Masukkan pasta dan rebus sehingga lembut.Tapiskan.

Hidang.

Campurkan semua pesto,ayam dan pasta.Gaul hingga rata.Masukkan garam dan serbuk lada hitam.gaul hingga sekata.Hiaskan dengan daun basil.Makan ketika masih panas.


Sunday, May 13, 2012

Lasagna Sempoi:)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Hari Ibu.


Pertama sekali Cm nak ucapkan selamat hari ibu buat semua insan yang di panggil ibu,mak,mama,mami,wan,mek,cek,bonda........Semoga anda semua dikurniaankan seribu kebahagiaan bersama keluarga tersayang.......semoga anda memperolehi kebahagiaan di dunia dan kebahagian berlipat kali ganda di akhirat nanti..amin......

Terima kasih buat Angah & Joe kerana belanja kami makan  sempena hari ibu :)..walaupun ada "orang" tu yang hampir nak angkat punggung kerana menunggu makanan yang tak kunjung tiba tapi makan malam tadi adalah satu makan malam yang indah...bukan senang nak dapat masa bersama-sama berborak dan ketawa terkekek..kekek :) cuma lain kali kita pangkah je restoran tu ya! hehe.


Lasagna.


Inilah makan malam kami 3 beranak.Lasagna adalah makanan kegemaran si Adik.Jika kita masak sendiri baru puas memakanya.....Dapat makan berulang-ulang sampai "pengsan" kekenyangan.Walaupun rupa kurang "Cun"tapi rasa nya tetap sedap:)puji diri sendiri.




Bahan-bahannya:)


400 gm daging ayam cincang.
1 biji telur.
1/2 cawan sos pasta /spaghetti.-Cm guna jenama  Prego .
3 tbsp sos tomato.
Minyak zaitun secukupnya.
1 labu bawang besar-cincang .
3 ulas bawang putih-cincang.
3 tbsp sos cili.
1/2 tsp serbuk lada hitam.
3 tangkai daun basil.
Garam dan gula secukup rasa.
Keju parut secukupnya.
1 tangkai daun ketumbar.
Kulit Lasagna secukupnya.
 (Sila abaikan bayang-bayang tangan halus yang tak sabar nak korek Lasagna ini:)

                                   
Cara-caranya:


  • Rebus kulit Lasagna sekejap dan toskan airnya.
  • Panaskan minyak zaitun dan tumis bawang besar dan bawang merah hingga layu.
  • Masukkan daging  ayam cincang dan kacau rata.
  • Masukkan sos spaghetti,sos tomato,sos cili,daun basil,serbuk lada hitam,daun ketumbar.Kacau hingga rata,
  • Kemudian masukkan garam dan gula secukup rasa.
  • Masak sehingga kuahnya agak pekat.
  • Matikan api dan masukkan telur.Gaul hingga sebati.
  • Alaskan kulit lasagna kedalam bekas yang sesuai.Letakkan inti dan taburkan denga keju parut,
  • Kemudian lapiskan  dengan kulit lasagna dan lakukan proses yang sama sehingga selesai.
  • Akhir sekali tutup permukaan dengan kulit lasagna dan taburkan dengan  keju parut..Renjis  dengan minyak zaitun pada permukaannya.
  • Bakar hingga warna perang keemasan.Sedap dimakan ketika masih panas.....

Wednesday, January 4, 2012

Spaghetti Bebola Daging.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.




Selamat tengahari dan selamat menjamu selera.Hari ini hari pertama persekolahan 2012.Anakanda Cm segak berpakaian uniform putih dan hijau ke sekolah .Cm ada bagitau yang si adik  dah dewasa dan kena belajar bersungguh sungguh..beliau  mengangguk-angguk tanda faham......apabila sampai di pagar sekolah katanya tak payah hantar sehingga kedalam sekolah sebab dia dah besar dan jangan cium didepan kawan-kawan...hanya salam dan cium tangan saja tau hikhik....
Sebagai tanda sokongan sebab si adik dah " dewasa" Cm tunaikan permintaannya nak makan Spaghetti Bebola Daging apabila balik dari sekolah nanti:)..makanan kegemarannya.....

Bahan-bahan untuk Bebola Daging:

400 gm daging kisar.
4 keping roti putih.
1/2 cawan susu segar.
1 biji telur.
1/2 tsp serbuk lada hitam.
3 tbsp cheese parut.
garam secukup rasa.
1 tangkai daun ketumbar.-cincang.
1 labu bawang besar-cincang.
3 ulas bawang putih-cincang.

Cara-caranya:

  • Rendam roti dengan susu hingga lembut.
  • Satukan semua bahan-bahan diatas dan gaul hingga sebati.
  • Bentukkan seperti bebola .
  • Aturkan diatas dulang dan bakar dalam oven hingga masak.

Bahan-bahan untuk Sos:


1 labu bawang besar dicincang .
3 ulas bawang putih-cincang.
1 tin Sos Spaghetti  tomato Prego tradisional.(300gm)
1 tangkai daun ketumbar.
garam dan gula secukup rasa.
Sedikit serbuk lada hitam.

Cara-caranya:

  • Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah hingga wangi.
  • Masukkan sos Prego dan kacau rata.
  • Masukkan 1/2 tin Prego air dan biarkan mendidih sekejap.
  • Kemudian masukkan bebola daging tadi dan kacau hingga sebati.
  • Akhir sekali masukkan sedikit garam,serbuk lada hitam dan gula mengikut selera masing masing.Jika selera kami anak beranak memang suka kuah yang agak manis.. atau .seimbangkan rasa manis..masin dan masam....Taburkan dengan sedikit daun ketumbar dan sedia untuk dihidangkan bersama Spaghetti....


Komen:Ini adalah Spaghetti ala ala  tekak melayu hehe.Jika orang putih makan hmm tak tahu lah apa dorang komen.....komen kami anak beranak "Fuyoo"(bangga) sedap giler:)p...suami kasi 90 markah !hihi.

**Petang nanti Cm cuba balas komen kawan kawan ya sebab sekejap lagi nak ambik orang "dewasa" dari sekolah..selamat mencuba resepi ini:)bye..bye...

Monday, October 3, 2011

Macaroni Sup

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Apa khabar kawan kawan Cm yang disayangi :) semoga ceria-ceria selalu ya...beberapa hari tiada posting masak masak...bukan tak masak ya tapi terlalu sibuk hingga tiada masa nak ambik gambar makanan yang dimasak.Bila siap makan baru teringat hehe..Jom lihat menu Cm untuk makan tengahari nanti..dah siap.....sebelum tu nak ucapkan ribuan terima kasih pada sahabat baik Cm Puan Neo kerana banyak membantu,memberi semangat dan motivasi ketika Cm sangat sangat memerlukannya.Allah sajalah yang dapat membalasnya....
Bahan-bahannya:

1/2 ekor sotong potong bulat.(sotong besar ni Cm beli sekor rm8/
6 ekor udang-buang kulit.
1 batang pokok sawi.
1/2 batang celery
3 ulas bawang putih-ketuk
1/2 batang karot-potong bulat.
Sedikit daun sup
1 cawan macaroni
Sedikit bawang goreng.
1 ketul kiub  ayam
 1 tsp serbuk lada hitam.
Garam dan gula secukup rasa.

Cara-caranya:

  • Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih hingga naik baunya.
  • Masukkan 3 cawan air .Biarkan mendidih baru masukkan sotong,udang,kiub ayam,serbuk lada hitam ,garam dan gula secukup rasa.
  • Masukkan macaroni(yg direbus terlebih dahulu).
  • Akhir sekali masukkan sayur sayuran tadi.
  • Hidang bersama potongan daun bawang dan bawang goreng
Nak selitkan gambar si Adik yang teringin nak cuci kaki..katanya kakinya kotor nak suruh  ikan bersihkan.
10 minit =5 rm

Wednesday, September 28, 2011

Macaroni Makanan Laut.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...


Ini lah menu untuk makan tengahari kami dua beranak.Sebelum keluar untuk menjemput si Adik dari sekolah Cm masak macaroni makanan laut  kegemarannya.Tiap tiap hari makan pun tak apa katanya:)

Bahan-bahannya:
300 gm macaroni-rebus dan toskan.
1 labu bawang besar -cincang
100 gm cendawan-siat-siatkan.
7 ekor udang segar.
150 gm mozarella cheese.
2 ekor sotong-bersih dan potong bulat.
Sedikit bunga kobis,brokoli,lada benggala warna kuning,merah  dan hijau.
1 biji buah tomato-potong kiub.
2 1/2  cawan susu segar.
3 tbsp tepung gandum.
12 tbsp butter.
Sedikit serbuk lada hitam.
Garam dan gula secukup rasa.

Cara-caranya:

  • Panaskan butter dan masukkan tepung gandum.Masak hingga kekuningan .
  • Masukkan susu segar dan kacau hingga rata.Kemudian masukkan sotong dan udang.
  • Jika kuah terlalu pekat boleh tambahkan sedikit air.Masukkan pasta dan gaul hingga mesra.
  • Masukkan sayur sayuran dan rasa lah garam dan gulanya.Taburkan serbuk lada hitam dan cheese.Kacau hingga rata.
  • Siap untuk dihidangkan:)




Tuesday, August 16, 2011

Kambing Panggang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera........................


Hari ni dah 16 hari berpuasa.Tak lama lagi hari raya akan menjelma.Semoga dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat melipat gandakan ibadah  sehingga ke penghujung Ramadhan nanti.Insyallah.
Daging kambing panggang ni zuhri yang masak.Berpeluh-peluh kat dapur tu semalam.Baunya semerbak.Setelah Cm nyalakan dapur arang Zuhri ambil alih tugas  memanggangnya.Daging kambing ni telah diperap dan disimpan dalam peti sejuk terlebih dahulu..Jom kita lihat bahan-bahannya ya:)

5 keping daging kambing(Cm beli kat Cold Storage yg telah siap di potong)
1 ketul kecik halia(agak-agak)-tumbuk
Garam secukupnya.
3 ulas bawang putih-tumbuk
1 tbsp sos tiram.
 2 tbsp sos bbq
1 tbsp sos perasa maggi.
3 tbsp sos lea perrins.
2 tbsp sos lada hitam.
Minyak zaitun secukupnya untuk sapuan semasa memanggang nanti.
Cara-caranya:
Perap daging kambing dengan bahan-bahan diatas beberapa jam.Simpan dalam peti sejuk.Kemudian panggang hingga masak.Hidang bersama sos bbq,mayonis dan cili sos.

Dimakan bersama makroni.

Labu panggang.

Selamat mencuba ya:)

Thursday, February 10, 2011

Mee Kuning

Salam dan selamat petang.Pertamanya nak ucapkan jutaan terima kasih pada Along Roz kerana Sudi berkongsi resepi mee kuning ini.Seronok sangat kerana ini merupakan kali pertama Cm berjaya buat mee sendiri.Berbaloi baloi:).Banyak cerita tentang mee kuning yang ada kat pasaran tu..ada yang mengatakan tak selamat  untuk dimakan sebab banyak menggunakan bahan pengawit dan sebagainya.Sekarang Cm tak risau lagi sebab dah tahu nak buat mee kuning sendiri.:)

Memasak juga merupakan satu terapi.Jika hati tak berapa seronok,risau atau sedih cm akan masuk dapur dan fikir kan apa yang hendak direka atau cipta resepi .....atau jika memasak tak ada idea Cm akan ke kebun ditepi rumah dan siram pokok atau  membaja dan sebagainya.Jika berkebun pun tak "jalan" Cm akan ambik wuduk dan baca quraan....bila baca quraan banyak pulak godaan tu..mata pulak mengantuk......syaitan dan iblis ni memang tak senang duduk jika kita nak jadi baik hehe...ok lah jom kita lihat bagaimana nak buat mee kuning resepi Along Roz ni......
Mee yang sebelum dicelur.

Bahan-bahannya:
500 gm tepung gandum
1/2 tsp garam
1/2 tsp air abu
1/2 tsp air kapur
220ml air
Sedikit pewarna kuning.
Cara-caranya:
  • Satukan air kapur,garam dan pewarna kuning kedalam 110 ml air.
  • Campurkan air abu kedalam 110 ml air yang selebihnya.
  • Masukkan air kapur tadi kedalam tepung dan gaul rata  kemudian baru masukkan air abu yang dibancuh tadi.Dan uli hingga sebati.
  • Jangan risau jika didapati dohnya agak keras.Jangan tambah apa apa lagi.
  • Bahagikan doh kepada 4 bahagian agar senang nak di gelek dgn mesin pasta. seperti gambar diatas.
  • Last sekali gelek dgn mesin berbentuk mee dan celur dalam air panas selama 2 minit.
  •  Toskan hingga airnya kering baru di lumurkan dengan sedikit minyak agar kelihatan berkilat dan tidak melekat.Siap:)